Bayaran Diat Dipikul Oleh 'Aqilah
Majoriti fuqahaa' berpandangan pelaku jenayah YANG BELUM BALIGH, sama ada jenayah yang dilakukan itu membabitkan pembunuhan, menyebabkan kecederaan atau seumpamanya, mereka tidak dihukum balas sekalipun mereka melakukannya dengan niat. Ini kerana niat dan maksud perlakuan mereka tidak dikira sebagai niat yang sempurna dan maksud yang sebenar disebabkan pertumbuhan jasad dan akal yang belum sempurna, maka tidak thabit ke atas mereka Ahliyyah alAdaa' alKamilah (أهلية الأداء الكاملة) sebaliknya hanya Ahliyyah alAdaa' alQasirah (أهلية الأداء القاصرة).
Seorang yang belum baligh namun telah mumayyiz, apabila melakukan kesalahan kerosakan pada harta (حقوق العباد المالية), maka wajib diganti dari harta pelaku kesalahan sekalipun dia seorang yang mumayyiz dan belum baligh.
Jika membabitkan jenayah yang berkait dengan hukuman Qisas (hukuman balas), maka tidak wajib dikenakan qisas ke atasnya menurut pandangan majoriti fuqahaa'. Namun wajib dari perbuatan jenayahnya itu dikenakan hukuman diat kerana 'Ismah alMahal.(lihat alMausu'ah alFiqhiyyah 7/151)
Kata Imam Ibn Qudamah alMaqdisi RH: "Tiada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama pada ketiadaan qisas ke atas kanak-kanak dan orang gila... asas dalam perkara ini ialab hadis Nabi SAW: "diangkat pena (tidak dikira sebagai satu kesalahan) dari 3 golongan kanak-kanak sehingga baligh, orang tidur sehingga dia sedar dan orang gila sehingga waras." Ini kerana qisas adalah hukuman berat, ia tidak wajib dikenakan ke atas kanak-kanak dan yang kurang akal sama seperti hukuman hudud. Ini kerana mereka tidak mempunyai maksud (yang sebenar), (jenayah) mereka seperti seorang yang membunuh kerana tersilap." (Lihat alMughniy 9/358)
Tiga dari mazhab fiqh yang masyhur iaitulah mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali berpandangan kanak-kanak mumayyiz yang membunuh, wajib dikenakan diat yakni sejumlah harta yang diserahkan kepada mangsa atau waris mangsa yang dibunuh. Ia tergolong dalam القتل الخطأ yang mana keempat-empat mazhab fiqh sepakat wajib dikenakan diat yang ditanggung oleh 'Aqilah (العاقلة) iaitulah keluarga lelaki sebelah bapa. Dalil mereka antaranya berdasarkan beberapa athar dari sebahagian salaf. Imam alBaihaqi menyebut di dalam sunannya:
"Bab apa-apa yang diriwayatkan pada kesengajaan seorang kanak-kanak (melakukan jenayah)." Setelah itu beliau meriwayatkan daripada Umar RA yang brkata: "Sengajanya seorang kanak-kanak dan tersilapnya adalah sama." Seumpama ini juga diriwayatkan daripada Ali RA yang brrkata: "Sengajanya seorang gila dan seorg kanak-kanak adalah tersilapnya." (Sunan alBaihaqi: 8/61). 'Abd alRazzaq juga meriwayatkan di dalam kitab Musannafnya daripada alZuhri yang berkata: "Telah berlalu di dalam sunnah bahawa kesengajaan seorang kanak-kanak adalah tersilap." Daripada Qatadah pula yang berkata: "Kesengajaan seorang kanak-kanak adalah tersilap (darinya)." Kata Sufyan alThauri: "Tidak dilaksanakan hudud melainkan ke atas sesiapa yang telah baligh. Telah ada beberapa hadis dalam perkara ini." (Musannaf 'Abd alRazzaq 9/474)
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan di dalam Bab Jinayah alSobiy al'Amd wa alKhata', daripada alHasan yang berkata tentang seorang kanak-kanak dan seorang gila, katanya: "kesilapan dan kesengajaan dari mereka sama, kesalahan itu dipikul oleh al'Aqilah (keluarga lelaki sebelah bapa)." (Musannaf Ibn Abi Syaibah 5/406)
Kata Ibn 'Abd alBarr: "berdasarkan inilah mazhab Malik, Abu Hanifah dan sahabat mereka berdua, alAuza'ie dan alLaith bin Sa'ad pada pembunuhan yang dilakukan seorang kanak-kanak sama ada secara sengaja atau tersilap, bahawa semua kesilapan (jenayah dilakukannya) dipikul oleh al'Aqilah apa-apa yang dipikul oleh kesalahan yang dilakukan kerana tersilap oleh seorang dewasa..." (lihat alIstizkar 8/51)