Hukum Membunuh Seorang Muslim atau Bukan Muslim Dalam Hukum Jenayah Islam

Membunuh seorang muslim dengan sengaja termasuk di salah satu dosa terbesar. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam firman-Nya:

وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِناً مُتَعَمِّداً فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِداً فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَاباً عَظِيماً

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam, dia kekal di dalamnya, Allah murka kepadanya dan melaknatnya, dan Allah telah sedikan untuk dia azab yang bersangatan.” (al-Nisa’: 93)

Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Ubadah bin Samit RA, Nabi SAW bersabda:

لزوال الدنيا أهون عند الله من قتل مؤمن بغير حق

Maksudnya:  “Musnahnya dunia ini adalah lebih ringan di sisi Allah berbanding kesalahan membunuh seorang yang beriman tanpa alasan yang benar.”

 

Hak Yang Bersangkutan

Apabila berlaku sesuatu pembunuhan, maka terdapat tiga hak yang perlu dipertanggungjawabkan;

Pertama: Hak Allah. Ia boleh gugur dengan taubat. Firman Allah SAW:

وَالَّذِينَ لا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ وَلا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَاماً يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَاناً إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلاً صَالِحاً فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَحِيماً

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak menyeru bersama Allah sesuatu tuhan yang lain, tidak membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan alasan yang benar dan tidak berzina, sesiapa yang melakukan tegahan itu, pasti dia akan mendapat dosa, digandakan azab kepadanya pada hari kiamat, dia kekal di dalamnya dalam keadaan hina melainkan sesiapa yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka itu, Allah akan gantikan kesalahan-kesalahan mereka dengan pahala-pahala, dan Allah benar-benar maha pengampun lagi maha mengasihani.” (al-Furqan: 68-70)

Kedua: Hak keluarga mangsa. Ia boleh gugur dengan hukum balas bunuh (qisas) atau dengan membayar diat atau dengan menerima kemaafan dari mereka.

Ketika: Hak mangsa yang terbunuh. Hal ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Ada di kalangan ulama yang mengatakan telah gugur haknya mangsa setelah pembunuh bertaubat dan mendapat kemaafan dari waris sama ada dengan menyerahkan diat atau tidak. Sebahagian lain berpandangan hak mangsa tidak akan gugur, dan di akhirat dia berhak menuntut dari pembunuh akan haknya.

 

Membunuh Seorang Yang Bukan Muslim

Orang bukan muslim, sama ada dia seorang yang memerangi islam atau tidak. Sudah tentu seorang yang memerangi Islam, tidak menjadi kesalahan permusuhan darinya itu dibalas dengan permusuhan dengan mengambil kira perundangan semasa dan menilai antara maslahah dan mafsadah.

Adapun orang bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam, Islam melarang memerangi mereka. Termasuk dalam kumpulan ini adalah mereka dari kalangan zimmi. Nabi SAW:

ألا من ‏قتل نفساً معاهدة، له ذمة الله وذمة رسوله، فقد أخفر بذمة الله، فلا يرح رائحة الجنة، ‏وإن ريحها ليوجد من مسيرة سبعين خريفاً

Maksudnya: “Ketahuilah sesiapa yang membunuh satu nyawa (bukan muslim) yang ada perjanjian dengan umat Islam, yang memiliki jaminan dari Allah dan Rasul, maka orang yang membunuh itu telah merungkaikan jaminan tersebut, dia tidak akan menghidu bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak 70 tahun perjalanan.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan beliau berkata: Hasan Sahih)

Jika berlaku seorang muslim membunuh seorang non muslim, selain persoalan berkaitan diat, apakah seorang muslim itu dikenakan kafarah sepertimana membunuh seorang muslim iaitulah membebaskan seorang hamba yang beriman, jika tiada hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut?

Ibn ‘Abbas, al-Sya’bi, al-Nakhaie, al-Syafie, Ibn Jarir al-Tabari dan lainnya berpandangan wajib kafarah dari kesalahan pembunuhan yang dilakukan oleh seorang muslim ke atas seorang yang bukan muslim tanpa alasan yang dibenarkan syarak. Hal ini kerana non muslim yang tidak memerangi umat Islam, haram dibunuh.   


Cetak  
Wallahu a'lam