SDI 1707: Tanggungjawab Pemimpin Melaksanakan Hukuman Allah

Soalan:  

Dari sudut penguatkuasaan undang-undang, adakah boleh dikenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang melakukan syirik ini jika ia benar-benar bertentangan dengan Alquran dan AsSunnah?

Jawapan:

Ya, menjadi tanggungjawab pemerintah mengguatkuasakan undang-undang hukuman kepada mereka yang melakukan perbuatan syirik dalam kalangan umat Islam.

Perbezaan utama antara sistem pemerintahan Islam dan sistem lain, di mana bagi sistem pemerintahan Islam, syariat Allah SWT adalah menjadi sumber hukum utama. Kepentingan atau maslahah yang hendak diterapkan tidak hanya terbatas untuk urusan kehidupan dunia semata-mata, tetapi merangkumi gabungan kepentingan atau malahah dunia dan akhirat sekali gus. Dengan itu, Islam berbeza dengan sistem pemerintahan lain dari segi prinsip dan tujuannya. Oleh itu, Ibn Khaldun dalam Muqaddimah-nya membezakan antara pemerintahan raja dan khilafah (sistem pemerintahan dalam Islam). Beliau berkata tentang pemerintahan raja:

الملك الطبيعي هو حمل الكافة على مقتضى النظر العقلي في جلب المصالح الدنيوية ودفع المضار، والخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية والدنيوية الراجعة إليها

Raja yang biasa adalah yang mengurus seluruh rakyat berdasarkan pemerhatian akal bagi mencapai kepentingan atau maslahah dan menghindari kemudaratan di dunia. Manakala, khilafah (sistem pemerintahan Islam) ialah mengurus seluruh rakyat berdasarkan pandangan syarak bagi mencapai kepentingan atau maslahah akhirat serta duniawi menurut kepentingan akhirat.

Oleh itu semua urusan duniawi menurut syarak, dikaitkan dengan kepentingan akhirat. kerana itu, khilafah atau sistem pemerintahan Islam adalah melaksanakan pemerintahan bagi memperolehi keredhaan Ilahi yang bertujuan menjaga agama dan mentadbir dunia mengikut panduannya.

Setiap pemimpin bertanggungjawab berhukum dengan hukum syarak dengan kedudukannya sebagai khalifah. Ia merupakan satu Amanah yang wajib dilaksanakan. Sabda Nabi SAW:

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته

"Kamu semua adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggungjawab atas orang yang berada di bawah kepimpinannya."

Pemerintahan dalam Islam tertegak atas dasar menjaga agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama. Inilah maksud menegakkan syariat Allah dalam kalangan makhluk-Nya. Inilah kebenaran dan keadilan yang menjadi tujuan diturunkan kitab-kitab suci dan diutusnya para rasul. Setiap pemimpin akan ditanya tentang amanah ini, dihisab dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Allah SWT berfirman:

يَا دَاوُدُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah (pemerintah) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan." (Surah Sad: 26)

Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Qurtubi berkata:

أي ملكناك لتأمر بالمعروف وتنهى عن المنكر، فتخلف من كان قبلك من الأنبياء والأئمة الصالحين

Maksudnya, Kami telah menjadikanmu sebagai pemimpin untuk memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta menggantikan mereka yang sebelum kamu dari kalangan para nabi dan pemimpin yang soleh.

Kata Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir

و (الحق): هو ما يقتضيه العدل الشرعي من معاملة الناس بعضهم بعضا، وتصرفاتهم في خاصتهم وعامتهم، ويتعين الحق بتعيين الشريعة.

“Istilah "al-Haq" merujuk kepada apa yang ditentukan sebagai keadilan syarak dalam hubungan sesama manusia, baik dalam urusan peribadi mahupun awam. Kebenaran ini ditentukan oleh syariat yang Allah SWT telah tetapkan.”

Al-Syinqiti dalam tafsirnya Adhwa’ Al-Bayan menyebut:

ومعلوم أن نبي الله داود لا يحكم بغير الحق، ولا يتبع الهوى فيضله عن سبيل الله، ولكن الله تعالى يأمر أنبياءه عليهم الصلاة والسلام وينهاهم ليشرع لأممهم. ولذلك أمر نبينا صلى الله عليه وسلم، بمثل ما أمر به داود، ونهاه أيضا عن مثل ذلك، في آيات من كتاب الله، كقوله تعالى: {وإن حكمت فاحكم بينهم بالقسط} وقوله تعالى: {وأن احكم بينهم بما أنزل الله ولا تتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن بعض ما أنزل الله إليك...

Seperti yang diketahui bahawa Nabi Allah Daud A.S. tidak berhukum dengan selain kebenaran atau bagi juga tidak mengikuti hawa nafsu yang boleh menyesatkannya dari jalan Allah. Namun, Allah SWT tetap memberi perintah dan larangan kepada para nabi sebagai panduan syariat untuk umat mereka. Dengan itu Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW dengan perintah yang sama seperti yang diberikan kepada Nabi Daud A.S., serta melarangnya mengikuti hawa nafsu, seperti dalam firman-Nya: وإن حكمت فاحكم بينهم بالقسط "Jika engkau memutuskan hukuman di antara mereka, maka putuskanlah dengan adil" (Surah Al-Ma'idah: 42), demikian juga dengan firman-Nya: وأن احكم بينهم بما أنزل الله ولا تتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن بعض ما أنزل الله إليك "Hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka dengan apa yang telah Allah turunkan dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah agar mereka tidak memalingkanmu dari sebahagian apa yang telah Allah turunkan kepadamu" (Surah Al-Ma'idah: 49).”

Bagi seorang ayah, tanggungjawab ke atas ahli keluarganya adalah selaras dengan syariat, seperti yang disebut dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" (Surah At-Tahrim: 6).

Dr. Abdul Karim Al-Khatib dalam Tafsir Al-Qur’ani li Al-Qur’an menyebut:

ووقاية الإنسان نفسه من النار، هي في أن يستقيم على شريعة الله، ويقف عند حدود أوامرها ونواهيها، ففي ذلك سلامته من عذاب السعير، أما وقاية أهله، فتكون بنصحه لهم، وإرشادهم إذا ضلّوا، وتنبيههم إذا غفلوا

menjaga diri seseorang daripada api neraka adalah dengan mematuhi syariat Allah dan menunaikan segala perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Dengan itu terhasilnya keselamatan dari azab neraka. Manakala, menjaga ahli keluarga dilakukan dengan memiliki hasrat murni terhadap mereka, membimbing mereka apabila mereka tersasar, dan mengingatkan mereka apabila mereka lalai.

Dengan demikian, keadilan dan tanggungjawab dalam Islam tidak terhad kepada penguasa atau pemimpin semata-mata, tetapi juga mencakupi setiap individu dalam peranan mereka, termasuk pemimpin keluarga, dalam usaha menegakkan kebenaran dan menjaga kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته، الإمام راع ومسئول عن رعيته، والرجل راع في أهله، وهو مسئول عن رعيته

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas orang yang berada di bawah jagaanmu. Pemimpin adalah penjaga dan akan dipertanggungjawabkan atas rakyatnya; seorang lelaki adalah penjaga dalam keluarganya, dan dia akan dipertanggungjawabkan atas ahli keluarganya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda juga bersabda:

إن الله سائل كل راع عما استرعاه، أحفظ ذلك أم ضيع؟ حتى يسأل الرجل عن أهل بيته

"Sesungguhnya Allah akan menanyakan setiap pemimpin tentang apa yang telah diamanahkan kepadanya; apakah dia menjaganya atau mengabaikannya, sehingga seorang lelaki akan ditanya tentang keluarganya." (Hadis riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra, Ibn Hibban dalam Sahih-nya, dan disahihkan oleh al-Albani).

Dalam kitab al-Tawdih li Sharh al-Jami’ al-Sahih oleh Ibn al-Mulaqqin, dijelaskan كلكم راع" yang bermaksud "Setiap kamu adalah pemimpin" membawa maksud: أنه يجب عليك أن تقيم فيهم الأحكام الشرعية “bahawa menjadi kewajipan seseorang untuk menegakkan hukum-hukum syariat terhadap mereka yang berada di bawah tanggungannya.


Cetak  
Wallahu a'lam