Hadis al-Qasāmah (القَسامةُ)

Sa‘id bin Musayyib RH menyatakan:

كانت القَسامةُ في الجاهليةِ ،ثم أقرَّها رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم في الأنصاريِّ الذي وُجِدَ مقتولاً في جُبِّ اليهودِ، فقالت الأنصارُ: اليهودُ قتلوا صاحبَنا

al-Qasāmah telah diamalkan pada zaman Jahiliah, kemudian Rasulullah memperakuinya dalam kes seorang lelaki Ansar yang didapati mati terbunuh di dalam perigi milik orang Yahudi. Kaum Ansar berkata: “Orang Yahudi telah membunuh sahabat kami.” (Status hadis: Sahih (li ghairihi).
Sumber: Sahih an-Nasa’i, no. 4723, 4709) dengan lafaznya, Abd al-Razzaq (18252), al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (4579) — dengan sedikit perbezaan lafaz)

Riwayat dalam Sahih Muslim menyebut:

أنَّ رَسولَ اللهِ صلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أَقَرَّ القَسَامَةَ علَى ما كَانَتْ عليه في الجَاهِلِيَّةِ. وفي روايةٍ: وزَادَ: وَقَضَى بهَا رَسولُ اللهِ صلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ بيْنَ نَاسٍ مِنَ الأنْصَارِ في قَتِيلٍ ادَّعَوْهُ علَى اليَهُودِ

“Sesungguhnya Rasulullah telah mengesahkan qasāmah sebagaimana ia diamalkan pada zaman Jahiliah.” Dalam satu riwayat lain terdapat tambahan: “Rasulullah memutuskan qasāmah ini antara sekumpulan orang Ansar dalam kes seorang yang mereka dakwa telah dibunuh oleh orang Yahudi.” (Sahih Muslim, no. 1670. Diriwayatkan juga oleh an-Nasa’i (4707), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa (797), dan Abu ‘Iwanah (6478), dengan lafaz mereka semua.”

Huraian:

Islam mengharamkan penumpahan darah tanpa hak yang sah menurut syarak. Islam juga telah menetapkan hukuman yang tegas bagi sesiapa yang melakukan pembunuhan yang diharamkan, serta menetapkan cara untuk membuktikan atau menafikan tuduhan ke atas orang yang dituduh. Islam juga menentukan kadar diyat bagi setiap jenis luka atau pembunuhan.

Dalam hadis ini, seorang sahabat Rasulullah memberitahu bahawa Baginda telah menetapkan qasāmah sebagaimana ia dilakukan pada zaman Jahiliah dan berhukum dengannya. Al-Qasāmah ialah:

أنْ يُقْسِمَ مِن أولياءِ الدَّمِ خَمْسُونَ نفرًا على استحقاقِهم دَمَ صاحبِهم إذا وَجدُوه قتيلًا بَيْنَ قومٍ ولم يُعرَفْ قاتلُه، فإنْ لم يكونوا خَمسين أَقسَمَ الموجودون خمسين يمينًا، ولا يكونُ فيهم صبٌّي ولا امرأةٌ ولا مجنونٌ ولا عبْدٌ، أو يُقْسِمُ بها المتَّهمونَ على نفْيِ القْتلِ عنهم؛ فإنْ حلَفَ المدَّعونَ استحقُّوا الدِّيةَ، وإنْ حَلفَ المتَّهمونَ لم تَلزمْهمُ الدِّيةُ

Lima puluh orang dari kalangan wali darah (ahli keluarga mangsa) bersumpah bahawa mereka berhak ke atas darah si mati apabila si mati dijumpai terbunuh dalam kalangan sesuatu kaum dan pembunuhnya tidak diketahui. Jika jumlah mereka kurang daripada lima puluh, maka orang yang ada akan bersumpah sebanyak lima puluh kali. Tidak boleh ada dalam kalangan mereka kanak-kanak, wanita, orang gila atau hamba. Atau orang yang dituduh pula boleh bersumpah untuk menafikan pembunuhan itu. Jika pihak yang mendakwa bersumpah, mereka berhak mendapat diyat. Jika pihak yang dituduh bersumpah, maka diyat tidak diwajibkan ke atas mereka.

Rasulullah telah berhukum dengan qasāmah ini antara sekumpulan Ansar — penduduk Madinah — dalam kes seorang yang mereka dakwa telah dibunuh oleh orang Yahudi.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, terdapat kisah seorang lelaki Ansar yang dibunuh itu. Rasulullah bersabda kepada kaum Ansar:

أتَسْتحِقُّون قَتيلَكم -أو قال: صاحبَكم- بأيمانِ خَمسينَ منكم؟ قالوا: يا رسولَ اللهِ، أمرٌ لم نَرَهُ، قال: فتُبرِّئُكم يَهودُ في أيمانِ خَمسينَ منْهم؟ قالوا: يا رسولَ اللهِ، قومٌ كُفَّارٌ، فوَدَاهم رَسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ مِن قِبَلِه

“Adakah kamu mahu mendapat hak orang yang terbunuh dari kalangan kami atau (darah) sahabat kamu dengan lima puluh sumpah dari kalangan kamu?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, perkara itu kami tidak menyaksikannya.” Baginda bersabda: “Adakah Yahudi akan membersihkan diri mereka dengan lima puluh sumpah dari kalangan mereka?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, mereka itu kaum kafir.”
Maka Rasulullah
membayar diyat bagi pihak Baginda sendiri, yakni Baginda memberi mereka diyat dari harta Baginda sendiri.”

Maksudnya Baginda tidak menghukum ke atas Yahudi, kerana wali darah tidak menerima sumpah daripada pihak yang dituduh. Dalam hadis ini terdapat pengesahan Rasulullah terhadap sebahagian amalan Jahiliah yang selaras dengan maqasid syariah Islam.


Cetak  
Wallahu a'lam