Ustaz saya dengar orang-orang yang kata hukum rejam tak ada seperti wanji:
"Andai penzina muhsan yang merdeka dijatuhkan hukuman rejam, sudah pasti tidak masuk akal untuk melaksanakan hukuman separuh rejam kepada penzina muhsan daripada kalangan hamba. "(https://www.malaysiakini.com/news/470505 insyaAllah jika ada kesempatan saya akan jawab isu yang ditimbulkan satu-persatu)
Rasa macam betul pulak alasan yang wanji sebut kerana bagaimana nak laksanakan hukuman separuh dari hukuman rejam sampai mati?
Jawapan:
Tak betul alasan itu dan saya rasa pelik bagaimana orang mengaji agama boleh faham seperti itu. Ia satu kefahaman yang terlalu pincang dalam memahami ayat al-Quran dan hasil dari "cedokan atau taqlid buta".
Ayat yang disalah-ertikan tersebut ialah firman Allah SWT:
وَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ مِنكُمْ طَوْلًا أَن يَنكِحَ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ فَمِن مَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُم مِّن فَتَيَاتِكُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ۚ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِكُم ۚ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ ۚ فَانكِحُوهُنَّ بِإِذْنِ أَهْلِهِنَّ وَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ مُحْصَنَاتٍ غَيْرَ مُسَافِحَاتٍ وَلَا مُتَّخِذَاتِ أَخْدَانٍ ۚ فَإِذَا أُحْصِنَّ فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ الْعَنَتَ مِنكُمْ ۚ وَأَن تَصْبِرُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan MUHSANAT, lagi beriman, maka berkahwinlah dengan hamba-hamba perempuan beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman kamu, sebahagian daripada kamu adalah dari sebahagian yang lain, kerana itu nikahilah mereka dengan izin dari walinya dan berilah kepada mereka maskahwin dengan yang makruf, kerana mereka Muhsanat, bukan penzina dan bukan pula perempuan yang mengambil lelaki lain sebagai teman simpanan. Maka apabila mereka (para wanita hamba sahaya) telah berkahwin (UHSINN), lalu mereka lakukan perbuatan keji (berzina), maka mereka dikenakan separuh dari hukuman seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan merdeka (MUHSANAT). (kebenaran mengahwini hamba sahaya) itu ialah untuk orang-orang yang bimbangkan kesulitan memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi jika kamu bersabar, itu lebih baik dagi kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Nisa’: 25)
Dari ayat ini, terkelirulah sebahagian orang dengan mempersoalkan: Bukankah hukuman penzina muhsan ialah direjam hingga mati, maka bagaimanakah bentuk hukuman separuh dari hukuman penzina muhsan untuk wanita hamba yang diperintahkan di dalam ayat ini?
Bagi menjawab kekeliruan ini kita katakan:
Mereka keliru dengan memahami kalimah Muhsanat المحصنات yang ada di dalam ayat ini dengan memahami kalimat ini hanya membawa maksud “wanita-wanita yang telah berkahwin”
Sangkaan mereka ini salah kerana المحصنات yang berasal dari الإحصان memiliki tiga maksud iaitulah: Islam (الإسلام), telah berkahwin iaitulah al-Zawaj (الزواج), merdeka iaitulah al-Hurriyyah (الحرية).
Justeru untuk memahami apakah maksud kalimah المحصنات di dalam ayat ini perlulah dilihat kepada keseluruhan ayat. Hasil pemerhatian kepada seluruh ayat kita akan dapati kalimah المحصنات yang dimaksudkan adalah membawa makna الحرائر iaitulah wanita-wanita yang merdeka BUKAN wanita-wanita yang telah berkahwin. Cuba perhatikan di awai ayat, Allah SWT berfirman:
ومن لم يستطع منكم طولا أن ينكح المحصنات المؤمنات فمن ما ملكت أيمانكم
Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan MUHSANAT, lagi beriman, maka berkahwinlah dengan hamba-hamba perempuan beriman yang kamu miliki..”
Maka amat mustahil lafaz AL-MUHSANAT di sini membawa maksud “wanita-wanita yang telah berkahwin”, amat mustahil Allah memerintahkan berkahwin dengan isteri orang. Tidak mungkin juga merujuk kepada “janda”. Sebaliknya ia merujuk kepada “wanita-wanita merdeka (bukan hamba)”, maksud inilah yang tepat untuk kalimah المحصنات di dalam ayat ini. Selain itu maksud المحصنات di dalam ayat ini sebagai “wanita-wanita merdeka” adalah lebih jelas dan bersesuaian bagi lawan kepada “wanita-wanita hamba” yang juga dibicarakan di dalam ayat.
Memahami kalimah al-Muhsanat di dalam ayat ini dengan maksud wanita-wanita yang telah berkahwin adalah suatu kefahaman yang amat pelik dan ganjil. Allah sahaja yang mengetahui sebabnya.
Berikutnya, apakah pula hukuman separuh yang dimaksudkan di dalam ayat? Setelah difahami maksud al-Muhsanat di dalam ayat ini merujuk kepada “wanita-wanita merdeka” maka sudah tentu separuh hukuman tersebut adalah memaksudkan separuh hukuman sebat. Maka jadilah hukuman ke atas hamba wanita yang berzina ialah sebanyak sebanyak 50 sebatan, sama ada hamba wanita itu bujang, mahupun telah berkahwin.
Cuba perhatikan kehalusan firman Allah dalam ayat al-Quran ini, firma-Nya:
فَإِنْ أَتَيْنَ بِفَاحِشَةٍ فَعَلَيْهِنَّ نِصْفُ مَا عَلَى الْمُحْصَنَاتِ مِنَ الْعَذَابِ
Maksudnya: “Maka apabila mereka (para wanita hamba sahaya) telah berkahwin (uhsinn), lalu mereka lakukan perbuatan keji (berzina), maka mereka dikenakan separuh dari HUKUMAN SEKSA yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan merdeka (muhsanat)”
Kalimah العذاب yang diterjemahkan sebagai HUKUMAN SIKSA bukan hukuman bunuh atau rejam. Dalam ayat lain dibezakan hukuman azab dengan hukuman bunuh iatulah firman Allah SWT:
لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: “Pasti aku (Nabi SUlaiman) akan menyeksanya (burung Hud-hud) dengan HUKUMAN SEKSA yang amat berat atau pasti aku akan menyembelihnya (hukuman bunuh) kecuali jika dia membawa alasan yang jelas dan nyata.” (al-Naml: 21)
al-Quran mengandungi teks yang saling berhubung kait antara satu ayat dengan ayat yang lain. Oleh itu wajib kita sedar akan hal ini sebelum membuta tuli mencedok pandangan-pandangan syaz.