Tiada Wasiat Bagi Waris

Allah Ta‘ala berfirman:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمْ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Diwajibkan atas kamu, apabila salah seorang kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta yang banyak, (agar dia membuat) wasiat untuk kedua orang tuanya dan kaum kerabat dengan cara yang baik; (hukum ini) sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 180)

Daripada ‘Amr bin Khārijah (عمرو بن خارجة) RA bahawa Nabi berkhutbah di atas unta. Daku mendengar Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، وَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya, maka tiada wasiat bagi waris.” (Kata al-Tirmizi: “Hadis hasan sahih.”)[1]

Al-Imam al-Khattābi رحمه الله berkata:

هَذَا إِشَارَةً إِلَى آيَةِ الْمَوَارِيثِ ، وَكَانَتِ الْوَصِيَّةُ قَبْلَ نُزُولِ الْآيَةِ وَاجِبَةً لِلْأَقْرَبِينَ ، وَهُوَ قوْلُهُ تَعَالَى : ( كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إن ترك خيرا الوصية للوالدين والأقربين)، ثمَّ نُسِخَتْ بِآيَةِ المِيرَاثِ. وَإِنَّمَا تَبْطُلُ الْوَصِيَّةُ لِلْوَارِثِ فِي قَوْلِ أَكْثَرِ أَهْلِ العلم مِنْ أَجْلِ حُقُوقِ سَائِرِ الْوَرَثَةِ ، فَإِذَا أَجَازُوهَا، جَازَتْ ، كَمَا إِذَا أَجَازُوا الزَّيَادَةَ عَلَى الثَّلُثِ لِلْأَجْنَبِي، جَازَ

“Ini merupakan isyarat kepada ayat faraid. Dahulu wasiat untuk kaum kerabat adalah wajib sebelum turunnya ayat faraid, iaitu firman Allah Ta‘ala: “Diwajibkan ke atas kamu apabila salah seorang kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, (agar dia membuat) wasiat untuk kedua orang tuanya dan kaum kerabat...” (al-Baqarah: 180) Kemudian hukum itu dimansukhkan dengan ayat faraid (pembahagian pusaka). Sesungguhnya wasiat untuk waris terbatal menurut kebanyakan ulama kerana menjaga hak-hak para waris yang lain. Namun, jika mereka mengizinkannya, maka ia boleh dilaksanakan, sebagaimana juga jika mereka mengizinkan pemberian lebih daripada sepertiga (1/3) kepada orang luar, maka ia juga sah.” (Ma‘alim al-Sunan 4/85)

Asal hukum wasiat adalah kepada bukan waris, kerana tujuan asalnya ialah mendekatkan diri kepada Allah (القربة), meraih pahala, dan menampung kekurangan amal semasa hidup. Sedangkan waris sudah pun mendapat bahagiannya dalam pusaka.

Namun kadang kala seorang pewasiat melanggar hal ini, lalu dia mewasiatkan sesuatu kepada salah seorang warisnya. Maka apakah hukum wasiat sebegini?

Dalam mazhab al-Syāfi‘ī, berdasarkan pandangan al-Azhar (الأظهر), wasiat kepada waris adalah harus, tetapi tidak boleh dilaksanakan pemberiannya kepada waris yang diwasiatkan, kecuali dengan izin para waris yang lain. Maka keizinan mereka dianggap sebagai pelaksanaan wasiat pewasiat.

Hukum ini diambil daripada sabda Nabi :

إِنَّ اللَّهَ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، وَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ

“Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya, maka tiada wasiat bagi waris.” (Sunan Abī Dāwud: 2870)

Daripada Ibn ‘Abbās RA, katanya Rasulullah bersabda:

لَا تَجُورُ وَصِيَّةً لِوَارِثِ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ

“Tidak boleh wasiat untuk waris, kecuali jika diizinkan oleh para waris yang lain.” (Sunan al-Dāraqutnī: 4155)

Para ulama juga mengqiaskan wasiat untuk waris dengan wasiat kepada orang luar melebihi sepertiga. Sebagaimana kita katakan: wasiat lebih dari satu pertiga kepada orang luar dari ahli waris bergantung kepada keizinan ahli waris, maka demikianlah wasiat kepada ahli waris, perlu mendapat keizinan dari ahli waris yang lain.

Oleh itu, wasiat kepada waris, wakaf kepadanya, hibah untuknya, atau menggugurkan hutangnya, semua ini memerlukan persetujuan ahli waris yang lain, jika perkara itu dibuat dalam keadaan menghadapi maradh al-maut (مرض الموت) atau penyakit yang membawa kepada kematian.

Kesimpulan  

Berdasarkan mazhab al-Syāfi‘e, Asal hukum; wasiat hanya dibenarkan untuk bukan waris. Jika dibuat juga untuk ahli waris, ia tidak sah dilaksanakan kecuali dengan izin semua waris yang lain selepas kematian pewasiat.

Sama hukumnya dengan pemberian hibah ketika menghadapi maradh al-maut atau pengguguran hutang untuk salah seorang waris, ia tidak berlaku tanpa izin waris yang lain.



[1]  Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2141) dalam Kitab al-Wasāyā - Bāb Mā Jā’a Lā Waṣiyyata Liwārith, dan juga oleh Abu Dāwud (2870), kedua-duanya daripada Abu Umāmah.


Cetak  
Wallahu a'lam