Saya Beli Vitamin Utk Seseorang dan Dpt Voucher, Adakah Saya Boleh Ambil Voucher Itu?

Soalan:

Saya ada soalan, sekiranya si A, mewakilkan saya untuk membeli vitamin harga RM50, kemudian saya beli dan dapat voucher RM5, adakah halal saya ambil voucher tersebut untuk diri saya?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

Seorang wakil tidak boleh mengambil vaucher tersebut. Perkara ini berdasarkan akad wakalah itu adalah mengembalikan manfaat kepada orang mewakilkan. Sekalipun demikian, saya tidak nafikan seorang wakil boleh mengambil upah dari kerja yang dilakukan. Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:

اتفق الفقهاء على أن الوكالة قد تكون بغير أجر وقد تكون بأجر

“Telah sepakat semua para fuqaha bahawasanya wakalah kadang-kala boleh dengan memberi upah, boleh juga tidak ada upah.” kemudian dinyatakan juga:

يجب على الوكيل أن يرد ما في يده لموكله من مال وغيره 

“Wajib ke atas orang yang diwakilkan untuk mengembalikan apa-apa yang ada di tangannya kepada orang yang mewakilkannya terdiri daripada harta atau selainnya.”

لأن ما في يد الوكيل للموكل أمانة

“Kerana apa-apa yang ada di tangan orang yang diwakilkan kepada yang mewakilkannya itu adalah satu amanah.”

Jadi jika saudara menerima wakil dari seseorang untuk membeli vitamin, apa-apa yang saudara dapat dari jual-beli tersebut adalah satu amanah yang perlu dikembalikan kepada orang yang mewakilkan. Kemudian disebutkan juga di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

والوكيل آمين

‘"seorang yang diwakilkan itu adalah seorang yang memegang amanah.”

وهو ملزم برد الأمانة إلى صاحبها

“Maka dia diwajibkan untuk mengembalikan amanah itu kepada pemiliknya “ iaitulah orang yang mewakilkannya. Melainkan jika orang yang mewakilkan saudara mengizinkan saudara mengambil vaucher tersebut.


Cetak  
Wallahu a'lam