Bai' al-Salam (بيع السلم)

Friday, June 12, 2009

Pengenalan

Al-Salam dari sudut bahasa (اللغة) ialah al-Salaf (السلف) yang bermaksud (التقديم) iaitu mendahulukan. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai: Menjual sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan lafaz al-Salam atau al-Salaf. Di dalam al-Fiqh ‘ala Mazahib al-‘Arba’ah menyatakan al-Salam ialah bahasa penduduk Hijaz, manakala al-Salaf ialah bahasa penduduk Iraq.

Sayyid Saabiq di dalam bukunya Fiqh al-Sunnah menyebut al-Salam dinamakan juga sebagai al-Salaf. Ianya penjualan sesuatu dengan dinyatakan sifat-sifatnya dalam tanggungan dengan bayaran segera. Di bahagian nota kakinya disebut, (al-Salam yang dinamakan juga al-Salaf) diambil dari perkataan al-Taslif (التسليف) iaitu al-Taqdiim (التقديم - mendahulukan) kerana harganya didahulukan kepada penjual.

Di dalam buku Fiqh dan Perundangan Islam, Bai’ al-Salam didefinasikan sebagai menjual sesuatu yang bertangguh dengan yang segera, ataupun menjual suatu yang disifatkan dalam tanggungan, iaitu dengan mendahulukan harga dan menangguhkan barangan untuk ke suatu tempoh. Dengan perkataan lain, ia menyerahkan tukaran yang ada untuk tukaran yang ditetapkan sifatnya dalam tanggungan sehingga ke suatu tempoh.

Ulama mazhab Syafie dan Hanbali mendefinasikannya sebagai satu akad ke atas suatu perkara yang disifatkan dalam tanggungan serta bertangguh dengan harganya diterima di dalam majlis ‘akad berkenaan. Ulama Maliki pula mendefinasikan sebagai “jualan yang didahulukan harga dan ditangguhkan barangan ke suatu tempoh.”

Para fuqaha’ (الفقهاء) menamakan juga Bai’ al-Salam ini sebagai al-Mahaawiij (المحاويج – Barang-barang yang diperlukan), kerana ia adalah jualan sesuatu yang tidak ada (غائب) di dalam majlis jual-beli, dimana kedua-dua pihak yang melakukan jual beli memerlukan antara satu sama lain. Pemilik modal (صاحب رأس المال) memerlukan barang jualan, manakala pemilik barang (صاحب السلعة) memerlukan wang. Maka ini termasuk dalam maslahat keperluan. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المسلم) atau pemilik al-Salam (رب السلم) iaitu yang menyerahkan bayaran, dan penjual disebut sebagai al-Muslam ‘Alai (المُسلمُ عليه), dan barang yang dijual disebut sebagai al-Muslam fiih (المسلم فيه), dan harganya disebut sebagai Ra’su Maal al-Salam (رأس مال السلم).

Maka Bai’ al-Salam atau al-Salaf adalah jual beli secara tempahan, di mana pembeli menempah barang dan melunaskan harganya. Manakala penjual menerima bayaran dan barangan yang ditempah akan diserahkan kepada pembeli dalam suatu tempoh tertentu.

Dalil-Dalil Pensyariatan

Asas pensyariatan ‘aqad Bai’ al-Salam terdapat di dalam al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ ulama.

Al-Quran

Di dalam al-Quran terkandung ayat berhubung dengan penghutang, iaitulah di dalam surah al-Baqarah ayat 282, Allah swt berfirman :

Maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu…” (al-Baqarah : 282)

Al-Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim menyebut satu riwayat dari Ibn ‘Abbas r.’anhuma, dimana ketika beliau menafsirkan ayat ini, Ibn ‘Abbas berkata :

“Aku bersaksi bahawa al-Salaf (Bai’ al-Salam) yang terjamin untuk suatu tempoh yang tertentu telah dihalalkan oleh Allah dan telah diizinkan padanya, kemudian beliau membaca (ayat di atas).”

Ayat ini (al-Baqarah : 282) dijadikan dalil bolehnya jual beli salam menurut syara’ kerana ia termasuk dari jenis hutang. Ayat tersebut menerima dan membenarkan hutang, dengan itu jual beli salam juga dibenarkan (al-Fiqh al-Manhaji. ms. 46)

al-Sunnah

Ibn ‘Abbas r.’anhuma meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw setelah tiba di Madinah, dalam keadaan penduduk Madinah mengamalkan tempahan terhadap buah untuk tempoh setahun, dua tahun atau tiga tahun. Lalu Baginda saw bersabda :

مَنْ أَسْلَفَ فِيْ شَيْءٍ فَلْيُسْلِفْ فِيْ كَيْلٍ مَعْلُومٍ, وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ إلى أجَلٍ مَعْلُوْمٍ (رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya : “Sesiapa yang menjual beli sesuatu (secara) salaf (salam), hendaklah dia lakukan jual beli salaf (salam) dengan sukatan yang termaklum dan timbangan yang termaklum bagi tempoh yang juga termaklum.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sayyid Saabiq di dalam Fiqh al-Sunnah menukilkan perkataan Ibn al-Munzir (ابن المنذر) yang berkata : “Telah sepakat orang-orang yang kami ambil (ilmu) daripadanya dari kalangan ahli ilmu (ulama), bahawa al-Salam adalah harus.”

Selain dalil dari ayat al-Quran dan al-Hadith di atas, Bai’ al-Salam juga bertepatan dengan kaedah-kaedah syara’ dan ia tidak bertentangan dengan qiyas. Sebagaimana diharuskan menangguhkan bayaran dalam jual beli, maka demikian juga menangguhkan barang dalam jual beli al-salam juga dibenarkan tanpa dibezakan antara keduanya. Seperti hutang yang diharuskan. Selama sifat-sifat barang diketahui dengan jelas dan berada dalam tanggungan dan pembeli menyakini akan dipenuhi oleh penjual, maka ia termasuk keharusan di dalam ayat 282 dari surah al-Baqarah tersebut.

Bai’ al-Salam tidak termasuk larangan Nabi saw, tentang tidak bolehnya seseorang menjual sesuatu yang tidak ada padanya. Ibn ‘Abbas berkata :

“Dan ia (Bai’ al-Salam) tidak termasuk dalam larangan Rasulullah saw, dari seseorang menjual apa yang tidak ada di sisinya sepertimana sabda baginda saw :

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ (أخرجه أحمد و أصحاب السنن وصححه الترمذي وابن حبان)

Maksudnya : “Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak ada di sisi kamu.” (Riwayat Ahmad, dan Ashab al-Sunan, dan disahihkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Hibban)

Larangan yang dimaksudkan di dalam hadith ini ialah seseorang menjual barang yang ia tidak dapat menyerahkannya dan bukan miliknya. Sehingga jual beli itu menjadi gharar (penipuan). Adapun Bai’ al-Salam yang disifatkan (barangannya) dan dijamin dalam tanggungan, disertai dengan sangkaan yang kuat (غلبة الظن) ianya dapat dipenuhi pada waktunya, maka ia tidak termasuk dalam larangan hadith di atas. Disamping itu orang ramai memerlukan ‘akad ini, kerana pemilik tanaman, buah-buahan dan perniagaan sangat memerlukan kepada perbelanjaan untuk mereka ataupun tanaman mereka dan sebagainya sementara menanti buahnya masak. Maka Bai’ al-Salam diharuskan bagi memenuhi keperluan mereka, bagi memberikan kelonggaran dan kemudahan kepada orang ramai.

Rukun Bai’ al-Salam

Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan terdapat empat rukun Bai’ al-Salam.

1- al-‘Aaqidaan (العاقدان) iaitu pihak yang mengikat perjanjian, mereka terdiri dari pembeli dan penjual. Pembeli ialah orang yang mendahulukan wangnya untuk mendapatkan barang dagangan (السلعة) yang dikehendakinya. Pembeli disebut sebagai al-Muslim (المُسلِم) atau pemilik al-Salam (رَبَّ السَلَمِ) iaitu yang menyerahkan atau mendahulukan bayaran. Manakala penjual ialah orang yang menerima wang sebagai bayaran kepada barangan yang akan diberikannya. Ia namakan sebagai al-Muslam Ilai (المُسلَم إليه). Pembeli dan penjual ini disyaratkan sama seperti syarat penjual dan pembeli dalam ‘akad jual beli iaitulah berakal, baligh, sukarela dan seumpamanya.

2- Al-Sighah (الصيغة) iaitu ijab (الإيجاب : Penawaran) dan qabul (القبول : Persetujuan). Sebagai contoh pemilik modal berkata : Saya dahulukan kepada kamu (أسلفتك) RM 1,000.00 ini untuk mendapat 1000 helai baju dengan sifat-sifatnya seperti berikut. Sementara penerima pula berkata : Saya terima pembayarannya (قبلت), atau Saya terima pembayaran yang didahulukan ini (استسلفت), atau seumpama dengannya. Satu pendapat di dalam mazhab al-Syafie menyatakan sighah mesti menggunakan perkataan salam atau salaf sahaja. Tidak sah jika menggunakan perkataan lain. Ini kerana ‘akad salam tidak sama dengan jual beli biasa. Namun satu pendapat yang lain mengatakan jika menggunakan sighah jual dan beli juga sah kerana Bai’ al-Salam juga adalah salah satu daripada bentuk jual beli yang memerlukan penerimaan dalam majlis ‘akad.

3- Ra-s al-Maal (رأس المال) iaitu modal atau harga. Ia bayaran yang dibuat oleh pembeli sebagai mendahulukan bayaran kepada penjual.

4- Al-Muslam fih (المسلم فيه) iaitu barang yang ditempah. Ianya barangan yang dijual dalam perjanjian dan penjual berjanji untuk menyerahkannya kepada pembeli dari bayaran harga yang didahulukan.

Syarat Bai’ al-Salam

Dalam ‘aqad al-Salam dikenakan beberapa syarat. Antaranya berkaitan dengan harga tempahan atau bayaran (رأس المال), yang lainnya berkaitan dengan barang yang dijual dengan al-Salam (المسلم فيه). Ulama empat Mazhab telah sepakat bahawa Bai’ al-Salam ini sah dengan enam syarat, iaitu :

1- Hendaklah ia diketahui jenisnya.

2- Hendaklah diketahui sifatnya.

3- Hendaklah diketahui jumlahnya.

4- Tempoh penyerahan ditentukan.

5- Mengetahui kadar nilai harganya.

6- Hendaklah tempat penyerahannya dimaklumi jika membawa barang tempahan ke sana memerlukan perbelanjaan.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut syarat-syarat Bai’ al-Salam seperti berikut :

1- Barang tersebut mestilah boleh dinyatakan sifat-sifat dan ciri-cirinya.

2- Barang tersebut diketahui jenis, kualiti, jumlah dan sifat oleh kedua-dua pihak. Bagi jenis contohnya gandum atau bali. Kualiti seperti barangan tempatan atau import. Jumlah seperti1,000 gantang jika mengikut sukatan, atau mengikut timbangan jika boleh ditimbang, mengikut bilangan jika boleh dikira atau dengan ukuran jika boleh diukur. Untuk sifat pula contohnya dinyatakan warna, ukiran atau acuan, tebal atau nipis, atau sifat-sifat lain yang berbeza-beza mengikut kehendak pengguna.

3- Barangan tersebut tidak bercampur aduk dengan barang lain yang berlainan jenis. Dan kadar campuran tidak dapat diketahui dengan jelas. Jika kandungan campuran dan kadar setiap campuran dapat diketahui, jual beli salam adalah sah.

4- Barangan tersebut mestilah diperhutangkan, iaitu barang yang disebut sifat-sifatnya dalam tanggungan, tanpa merujuk kepada barangan tertentu.

5- Barang tersebut mampu diserahkan, berdasarkan tempoh dan jenis yang ditetapkan. Dan menurut sangkaan berat, jenis yang ditetapkan itu akan wujud pada masa yang ditetapkan. Jika jual beli salam tersebut membabitkan barangan yang biasanya tidak wujud pada masa yang ditetapkan, contohnya buah anggur dalam musim sejuk atau buah kurma atau sebagainya, maka jual beli salam itu tidak sah.
Jika barangan yang dijual secara jual beli salam mudah didapati, tetapi tidak berjaya diperolehi pada masa yang ditetapkan, perjanjian (al-Salam) tersebut tidak terbatal. Pembeli boleh membuat pilihan samaada menunggu sehingga barang yang ditempah wujud atau membatalkan perjanjian tersebut dan mengambil semula modal atau harga yang telah dibayar, tanpa kurang dan lebih.

6- Tempoh penyerahan perlu ditetapkan. Tempoh penyerahan perlu dihadkan dalam tempoh tertentu yang dimaklumi bersama. Contohnya pembeli berkata : “Saya serahkan RM 1,000.00 untuk 10 helai baju yang mempunyai spesifikasi seperti berikut dengan syarat anda serahkan barangan tersebut kepada saya selepas sebulan dari tarikh kontrak ini atau pada awal bulan hadapan”. Jika tiada sebarang tempoh yang dinyatakan atau ada tempoh dinyatakan tetapi tidak dinyatakan dengan tepat, contohnya pembeli berkata : “Barangan tersebut hendaklah diserahkan pada masa si fulan pulang dari musafirnya.” Maka kontrak ini tidak sah kerana tempoh di sini tidak dinyatakan dengan jelas. Ini kerana masa si fulan itu kembali tidak diketahui dengan tepat. Akibatnya akan berlaku perselisihan dan perbalahan tentang tempoh yang dimaksudkan oleh kedua-dua pihak. Dalil dalam perkara ini ialah hadith Nabi saw yang bermaksud : “Hingga ke tempoh yang dimaklumi.”

Jika penjual membawa barang yang ditempah sebelum tempoh yang ditetapkan, pembeli boleh mengambil barang tersebut dengan syarat tiada sebarang perbelanjaan atau bebanan yang perlu ditangung dalam baki tempoh yang dipersetujui. Pembeli juga tidak mempunyai alasan untuk tidak menerimanya. Namun jika barangan tersebut mempunyai sebab yang dibenarkan syara’ untuk pembeli tidak menerimanya awal dari waktu yang telah ditetapkan, seperti memerlukan tempat penyimpanan dan pembeli ketiadaan tempat, atau barangan tersebut adalah haiwan yang perlu diberikan makan, atau ketika itu berlaku banyak kes rompakan dan pembeli bimbang keselamatan barangnya. Maka pembeli tidak boleh dipaksa untuk menerima barang tersebut dan dia berhak menolaknya.

7- Tempat penyerahan perlu ditetapkan. Ianya bergantung kepada persetujuan bersama diantara pembeli dan penjual.

8- Jumlah (قدرا) dan bentuk (صفة) pembayaran hendaklah dimaklumi oleh kedua-dua pihak. Sebagai contoh bayaran yang dibuat sebanyak RM1,000.00 atau RM 2,000.00. Demikian juga perlu menjelaskan sifat barang tersebut seperti kualiti.

9- Penyerahan harga dari pembeli di dalam majlis perjanjian dan penjual menerima (القبض), sebelum mereka berpisah. Kerana penyerahan inilah makna asal Bai’ al-Salam. Jika tidak ada penyerahan awal, maka jadilah jual beli ini menjual hutang dengan hutang yang tidak dibenarkan.

Kontrak Jual Beli Tempahan (عقد الاستصناع)

Termasuk di dalam bab Bai’ al-Salam ialah jual beli tempahan. Iaitu seseorang meminta seseorang yang mempunyai kemahiran membuat sesuatu berdasarkan ciri-ciri tertentu yang berkaitan dengan kemahirannya. Dan bahan yang diperlukan disediakan oleh pembuat.

Kontrak ini diamalkan secara luas pada zaman ini. Sebagai contoh seseorang meminta dari tukang kasut untuk membuatkan kasut untuknya, dan segala bahan yang diperlukan disediakan oleh pembuat kasut tersebut dan bukan penempah. Demikian juga halnya bagi orang yang menenpah peralatan kayu untuk dibuat perabut dan seumpamanya. Termasuk juga di dalam kategori ini, jual beli rumah yang disediakan oleh pemaju.

Secara umumnya, jika kontrak ini memenuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jual beli Salam, seperti spesifikasi barangan dinyatakan dengan jelas, bahan yang digunakan juga dinyatakan dengan jelas, tempoh penyerahan dinyatakan dengan jelas, bayaran diserahkan ketika kontrak dimeterai di samping syarat-syarat lain. Maka jual beli ini dikira sah sebagai sebahagian dari jual beli Salam. Kerana kontrak tersebut diambil kira dengan niat bukan bergantung kepada lafaz. (al-Fiqh al-Manhaji)

Realiti yang berlaku hari ini, terutamanya dalam urusan jual beli rumah. Kebiasaannya pembeli tidak membayar harga penuh rumah yang ditempah ketika kontrak dimeterai. Sebaliknya pembeli hanya membayar sebahagian kecil sahaja, dan bakinya akan dibayar secara ansuran bulanan. Jual beli sebegini berdasarkan mazhab al-Syafie adalah tidak termasuk di dalam jual beli Salam dan ianya tidak sah. Namun para ulama mazhab Hanafi membenarkan kontrak sebegini dan mereka berpendapat ianya sah. Ini kerana mengambil kira keperluan orang ramai. Namun dengan syarat kontrak tersebut dinyatakan dengan jelas segala perkara berkenaan barang yang ditempah yang mana jika tidak dinyatakan dengan jelas boleh menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak.

Para penulis kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut : “Berdasarkan ini kami tidak melihat adanya larangan untuk mengambil pandangan ulama mazhab Hanafi ini. Dan hukumnya sah untuk urusan ini sebagai memberi kemudahan kepada orang ramai, tambahan pula orang ramai mmerlukannya, sebagaimana kami nyatakan tadi orang ramai mengamalkan kontrak ini dalam kebanyakan urusan mereka. Malah setiap para Imam dan fuqaha sentiasa berusaha mencari kebenaran dan memberikan kemudahan kepada hamba-hamba Allah mengikut cara yang diredhai oleh Allah dan bertepatan dengan sunnah Nabi saw.”

Demikian juga jual beli rumah berdasarkan plan termasuk dalam kategori ini. Jika kedua-dua pihak mengetahui dengan jelas spesifikasi rumah dan bahan yang digunakan dan sebagainya, dan bayaran diserahkan ketika memeterai kontrak, maka jual beli ini sah dan termasuk dalam jual beli salam.

Kesimpulan

Jual beli al-Salam atau Bai’ al-Salam adalah salah satu cara jual beli yang dibenarkan di dalam Islam. Kebenaran ini dibina di atas dalil-dalil dari al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan juga al-Qiyas. Bersesuaian dengan Islam sebagai sebuah agama yang bersifat memberikan kemudahan kepada penganutnya, maka jual beli al-Salam dibenarkan kerana ia merupakan perniagaan yang dihajati oleh menusia. Disamping membenarkan jual beli al-Salam, Islam telah menetapkan beberapa peraturan-peraturan yang perlu dipenuhi agar jual beli salam ini tidak mengandungi sebarang unsur penipuan dan sesuatu yang tidak jelas yang akhirnya akan menimbulkan permusuhan dan perkelahian.

Ini bersesuai dengan lima tujuan (المقاصد) utama yang Islam datang untuk memeliharanya, iaitulah memelihara agama الدين) حفظ), memelihara diri (حفظ النفس), memelihara ‘akal (حفظ العقل), memelihara keturunan (حفظ النسْل) dan memelihara harta (حفظ المال).

Maka Islam sebagai agama yang datang dari Allah swt, sentiasa mengutamakan maslahah penganutnya. Peraturan-peraturan Islam senantiasa memberi manfaat (جلب المنافع) kepada manusia dan menolak mudarat (دفع المفاسد) dari mereka. Apabila Islam melihat sesuatu itu dihajati oleh manusia, maka Islam membenarkannya dengan ditetapkan beberapa peraturan untuk menjamin kebaikan itu kembali kepada manusia. Demikianlah Islam telah menghalalkan Bai’ al-Salam ini dan meletakkan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi untuk menjamin kebaikan bersama.

-------------------
Rujukan

1- Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al- Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie (الفقه المنهج على مذهب الإمام الشافعي). Dar al-Qalam. Beserta terjemahan Kitab Fikah Mazhab Syafie. Pustaka Salam Sdn Bhd.

2- Dr. Wahbah al-Zuhaili. Terjemahan الفقه الإسلامي و أدلته (Penj) Md. Akhir Haji Yaacob. Fiqh Dan Perundangan Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1995.

3- Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Juzairiy, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah (الفقه على المذاهب الأربعة ). Al-Maktabah al-‘Asyriah, 2002.

4- Al-Sayyid Sabiq (السيد سابق). Fiqh al-Sunnah (فقه السنة). Al-Maktabah al-‘Asyriah, 2002.
 

Cetak  
Wallahu a'lam