SDI 0646: Apa Nak Buat Dengan Barang Berharga Yang Dijumpai?

Soalan:
Ustaz, klu saya terjumpa brg berharga spt handphone mahal, apa yg perlu saya lakukan? Atau bolehkah saya anggap barang itu menjadi milik saya krn mustahil saya dapat cari tuannya.

Jawapan:

Barang tersebut TIDAK BOLEH terus menjadi milik saudara. Tidak mustahil juga boleh dijumpai pemilik sebenarnya, asalkan saudara bersungguh-sungguh ingin memulangkan kepada tuannya.

Sebenarnya saudara bertanggungjawab melakukan beberapa perkara:

1) Barang berharga yang tercicir wajib diiklankan selama setahun di tempat ia dijumpai. Di tempat perhimpunan orang ramai, di pintu-pintu masjid dan pasar-pasar. Jika dijumpai pemiliknya maka hendaklah diserahkan kepadanya. Jika tidak dijumpai pemiliknya, maka barang itu boleh dimanfaatkan atau diguna oleh orang yang menjumpainya setelah melakukan pengumuman seperti ini selama setahun. Jika pemilik asal barang tersebut datang kepadanya selepas setahun, dan minta dipulangkan barangnya, maka hendaklah dipulangkan barang tersebut atau dipulangkan nilai barang.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh alImam alBukhari (91) dan Imam Muslim (1722) daripada Zaid bin Khalid alJuhaniy:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَهُ رَجُلٌ عَنْ اللُّقَطَةِ فَقَالَ : اعْرِفْ وِعَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً ، ثُمَّ اسْتَمْتِعْ بِهَا فَإِنْ جَاءَ رَبُّهَا : فَأَدِّهَا إِلَيْهِ

Maksudnya: "Bahawa Nabi SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang barang yang dijumpai. Lalu baginda bersabda: "kenalkan tali yang mengikatnya (barang yang dijumpai) dan bekas (beg)nya, kemudiaan iklankan selama setahun, setelah itu (jika tiada yang menuntut) gunakanlah ia, jika pemiliknya datang menuntut (setelah setahun), maka serahkanlah kepadanya."

Cara mengiklankan barang yang dijumpai ini menurut uruf atau kebiasaan setempat. Yang penting iklan itu dilakukan berulangan dan bersungguh-sungguh sehingga diyakini sampai kepada orang ramai.

2) Perlu dijelaskan juga bahawa, orang yang menjumpai barangan tersebut tidak boleh menggunakan barang yang dijumpainya selama setahun dalam tempoh iklan jika barangan itu adalah dari jenis yang tidak memerlukan perbelanjaan lain menjaganya. alImam alSyafie berkata:

لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يَنْتَفِعَ مِنْ اللُّقَطَةُ بِشَيْءٍ حَتَّى تَمْضِيَ سَنَةٌ

"Tidak dihalalkan bagi seseorang mengambil manfaat dari barang yang dijumpainya sedikitpun sehingga tamat setahun (setelah bersungguh mengiklankannya)." (alUmm 4/71)


Cetak  
Wallahu a'lam