SDI 1265: Iddah Wanita Yang Haid Datang Lewat

Soalan:

Bagaimana nak kira iddah cerai wanita yang haidnya tiba-tiba tak datang?

Jawapan:

1. Wanita yang berhaid sama ada haidnya datang setiap bulan atau beberapa bulan baru datang sekali, wajib ke atasnya beriddah selama tiga kali suci berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan Syafie, sekalipun dia terpaksa menunggu lama.

2. Jika seseorang wanita yang tidak didatangi haid apabila diceraikan, ada dua situasi:

  • Diketahui sebab haid tidak datang seperti sedang menyusukan anak, dalam keadaan nifas atau sakit yang menunggu sembuh, maka hendaklah wanita itu bersabar sehingga haidnya kembali dan dia beriddah selam tiga kali suci.
  • Tidak diketahui sebab haid tidak datang. Wanita seperti ini dinamakan sebagai al-Murtabah المرتابة, iaitulah wanita yang tempoh sucinya menjadi panjang tanpa diketahui sebab haidnya tidak datang. Dia bukan seorang yang sedang hamil, bukan juga seorang yang monopous. Berdasarkan pandangan ‘Umar, Ibn ‘Abbas RA, al-Hasan al-Basri, Ulama mazhab Maliki, pandangan qadim Imam Syafi’ie, pandangan al-Mazhab di sisi ulama Hambali, wanita al-Murtabah perlu beriddah selama tempoh Ghalib hamil iaitulah Sembilan bulan untuk memastikan rahimnya suci, kemudian beriddah selama tiga bulan pula, menjadikan tempohnya selama setahun. Setelah itu dia bebas dari iddah dan boleh berkahwin.

Di dalam Mughniy al-Muhtaj bertepatan dengan mazhab jadid iaitulah wanita al-Murtabah hendaklah beriddah seperti wanita monopous iaitulah selama tiga bulan. Jika haid datang datang tempoh tiga bulan itu, wajib dia beriddah tiga kali suci. Tempoh suci yang panjang itu dikira sebagai sekali suci.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 29/329-330)

Dr. Nurah binti ‘Abdullah al-Mutlaq di dalam kajiannyanya bertajuk “Iddah man irtafa’a Haiduha la ta’lam ma Rafa’ahu” mentarjihkan pandangan wanita al-Murtabah yang tidak mengetahui sebab haid tidak datang, beriddah selama tiga bulan apabila yakin setelah menjalani pemeriksaan dan m mendapat perakuan klinikal dia tidak mengandung melalui ujian makmal ataupun ultrasound. Jika dia tidak melakukan ujian klinikal ini, maka dia hendaklah beriddah selama setahun. Beliau juga mendatangkan beberapa alasan sebab mentarjihkan pandangan ini antaranya ialah kerana kemajuan perubatan hari ini yang dapat mengenalpasti seseorang wanita itu sedang hamil atau tidak. Lalu beliau mendatangkan perkataan al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang berkata:

“Jika seseorang berkata: “setelah kemajuan perubatan hari ini, apakah tidak boleh dikenal pasti keadaan seseorang wanita itu sama ada sedang hamil atau tidak?” Maka jawabnya: “Bahkan boleh, apabila telah dikenal-pasti dan kita telah ketahui wanita itu tidak mengandung, maka wanita tersebut beriiddah berdasarkan bilangan bulan (tiga bulan). Akan tetapi yang lebih utama ialah mengikut salaf dalam permasalahan ini dan ianya lebih berhati-hati iaitulah dia beriddah selama setahun sempurna.” (al-Syarh al-Mumti’ 13/364)  


Cetak  
Wallahu a'lam