Soalan: dari saudara Rosli yang bertanya: "Apakah hukum suami isteri yang telah bercerai dan jatuh talak, masih dalam iddah, rujuk semula sendiri-sendiri dengan bersaksikan anak kandung tanpa rujuk Pejabat Agama. Sah Kah mereka sebagai suami isteri? Mohon pencerahan dari Ustaz."
Jawapan:
Dari sudut sah, yang dinamakan rujuk, apabila seseorang suami kembali ataupun menarik semula lafaz talak ataupun seorang suami menyatakan dia hendak kembali kepada isteri dia ataupun dia memerintahkan isterinya untuk kembali kepada dia. Itu rujuk. Dari sudut apakah berlaku rujuk, dari sudut hukum di situ telah berlaku rujuk.
Cumanya, jika perceraian mereka telah didaftarkan, maka rujuk juga perlu didaftarkan.
Ada dua isu, pertama hukum sah rujuk. Kedua isu pentadbiran. Di mana Jabatan Agama Negeri telah menetapkan peraturan, rujuk perlu melalui Jabatan Agama atau pun mesti didaftarkan di Jabatan Agama. Maka tak buat pendaftaran di Jabatan Agama telah melanggar perintah, telah melanggar peraturan. Peraturan ini amat-amat perlu dalam suasana kehidupan pada hari ini.
Cuma, kita kena dapat bezakan, satu hukum, satu lagi peraturan. Kedua-duanya ada dosa dan pahala. Melanggar peraturan menyukarkan pentadbiran masyarakat. Kerana hari ini kalau berlaku perbalahan, katalah berlaku perbalahan, siisteri kata tak berlaku rujuk, sisuami pula kata telah berlaku rujuk. Di mana tempat nak menyelesaikan perbalahan-perbalahan seumpama ini? Maka tak ada lain melainkan Jabatan Agama. Maka Jabatan Agama, berdasarkan pengalaman mereka untuk mengelak berlaku perbalahan yang tidak berkesudahan, maka Jabatan Agama memastikan rujuk mesti didaftarkan di Jabatan Agama. Maka menjadi kewajipan setiap orang Islam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.