SDI 0564: Hukum Khulu' Dan Kisah Isteri Thabit Bin Qais

Soalan: 
 
Assalamualaikum Ustaz. Maaf mengganggu. saya ingin bertanya soalan. Tentang hadith mengenai khuluk, perempuan kepada Thabit bin Qais yang bertemu Rasulillah untuk berpisah. Soalan saya, adakah Baginda Rasul memang tidak bertanya lanjut mengenai peribadi Qais sebelum terus membenarkan khuluk? Soalan kedua, adakah Ustaz tahu serba sedikit sebab wurud hadis, atau latar belakang perempuan Qais ini yang dikatakan bernama Jamilah, atau Habibah. 
 
Jika Ustaz berkelapangan diharapkan Ustaz dapat memberi pencerahan tentang perkara ini. Jazakallahu Khair 
 
Jawapan: 
 
Ada beberapa hadis tentang isteri Thabit bin Qais ثابت بن قيس. Di bawah ini sebahagian hadis-hadis tersebut dan sedikit maklumat yang sempat saya kongsikan: 
 
1) Di dalam Sahih alBukhari dinyatakan:
 
أن امرأة ثابت بن قيس بن شماس أتت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت : يا رسول الله ، ثابت بن قيس ما أعتب عليه في خلق ولا دين ، ولكني أكره الكفر في الإسلام . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : أتردين عليه حديقته ؟ قالت : نعم ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اقبل الحديقة وطلقها تطليقة
 
Maksudnya: "Bahawa isteri Thabit bin Qais bin Syammas datang bertemu Nabi SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, Thabit bin Qais, tidak aku mencela akhlak dan agamanya. Akan tetapi aku tidak mahu menderhakainya." Jawab Rasulullah SAW: "apakah kamu akan kembalikan kebun yang dia berikan kepadamu sebagai mahar dahulu?" Jawabnya: "Ya." Sabda Rasul SAW kepada Thabit (suaminya): "terimalah semula kebun mu itu, dan talakkan dia satu talak." (Hadis daripada Ibn 'Abbas RA) 
 
2) Di dalam Sunan alNasa'ie dinyatakan:
 
أن ثابت بن قيس بن شماس ضرب امرأته فكسر يدها - وهي : جميلة بنت عبد الله بن أبي ابن سلول - فأتى أخوها يشتكيه إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فأرسل إليه فقال : خذ الذي لها عليك وخل سبيلها . قال : نعم ، فأمرها رسول الله صلى الله عليه وسلم أن تتربص حيضة واحدة وتلحق بأهلها
 
Maksudnya: "Bahawa Thabit bun Qais bin Syammas telah memukul isterinya, sehingga patah tangannya - isterinya bernama Jamilah binti Abdillah bin Ubai bin Salul - saudara lelakinya mengadu hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah mengutus seorang wakil kepada Thabit dan berkata: "Ambil apa-apa yang ada padanya (isterimu) yang menjadi milikmu (mahar yang engkau berikan kepadanya) dan lepaskan dia (talakkan dia)." Kata Thabit: "Ya." Lalu baginda Rasulullah SAW memerintahkan Jamilah beriddah sekali haid, setelah itu dia kembali kepada keluarganya." 
 
Ali alQari di dalam Mirqah alMafatih mengatakan yang benar, isteri Thabit bukan Jamilah, sebaliknya Habibah binti Sahl. 
 
3) alDaraqutni di dalam Sunannya meriwayatkan juga kisah ini dengan ada tambahan. Iaitulah setelah Rasulullah bertanya kepada Isteri Thabit: "Mahukah kamu kembalikan kebun yang telah diberikan Thabit kepadamu (sebagai mahar dahulu)?" Jawab isteri Thabit: "Ya, bahkan aku akan beri lebih dari itu." Lalu Rasulullah memerintahkan dia kembalikan semula kepada Thabit apa yang Thabit telah berikan kepadanya tanpa perlu tambahan. Apabila sampai perkara itu kepada Thabit, beliau berkata:
 
قد قبلت قضاء رسول الله صلى الله عليه وسلم
 
Maknanya: "Aku terima keputusan Rasulullah SAW." Kata alDaraqutni: "Isnad hadis ini Sahih." 
 
4) Kata Imam Ibn Qudamah RH:
 
إن المرأة إذا كرهت زوجها لخُلقه أو خَلقه أو دينه أو كبره أو ضعفه أو نحو ذلك، وخشيت ألا تؤدي حق الله في طاعته جاز لها أن تخالعه بعوض تفتدي به نفسها
 
Maksudnya: "Apabila seseorang perempuan bencikan suaminya, sama ada disebabkan akhlaknya (yang buruk) atau rupanya, atau agamanya ata tuanya atau lemahnya atau seumpamanya, dan isteri itu bimbang tidak dapat melaksanakan kewajipannya taat kepadanya, maka boleh dia meminta khulu' dengan sesuatu gantian untuk menebus dirinya." (7/246) 
 
5) Kata Imam Ibn Kathir RH:
 
إذا تشاقق الزوجان، ولم تقم المرأة بحقوق الرجل، وأبغضته، ولم تقدر على معاشرته، فلها أن تفتدي منه بما أعطاها، ولا حرج عليها في بذلها له، ولا حرج عليه في قبول ذلك منها
 
Maksudnya: "Apabila suami isteri saling tidak bersefahaman. Siisteri tidak dapat lagi melaksanakan hak suaminya dan dia pula tidak suka kepada suaminya, dan tidak mampu lagi bergaul dengannya. Bagi si isteri berhak menebus dirinya dari suaminya dengan (mengembalikan) apa-apa yang telah diberikan kepadanya oleh suaminya. Tidak mengapa ke atas siisteri, dan tidak mengapa ke atas suami menerimanya semula pemberian-pemberian yang telah diberikannya kepada siisteri." (Tafsir Ibn Kathir 1/272)

Cetak  
Wallahu a'lam