Thursday, June 13, 2013
Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum berkahwin dengan wanita hamil dari perbuatan zina. Penjelasannya adalah seperti berikut:
- Ulama mazhab Maliki dan Hambali demikian juga pandangan Abu Yusuf dari Mazhab Hanafi: Tidak boleh menikahi wanita tersebut sebelum dia melahirkan kandungannya, sama ada kandungan itu hasil hubungan dengan lelaki yang hendak menikahinya ataupun dengan lelaki lain. Dalil:
i. Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim, beliau mensahihkan hadis ini:
لا توطأ حامل حتى تضع
Maksudnya: “Jangan disetubuhi wanita hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan kandungannya.”
ii. Diriwayatkan daripada Sa’ied bin al-Musayyib RA tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan, kemudian dia mendapati wanita itu telah mengandung. Lalu perkara itu diadukan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda memisahkan mereka berdua. (lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah Fasl Iza Zanat al-Mar’ah Lam Yahill Liman Ya’lam Zalik Nikahaha Illa Bisyartain. Lihat juga al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, beliau berkata: Hadis ini Mursal)
2. Ulama mazhab Syafie dan Hanafi: Harus menikahi wanita hamil dari zina. Kerana hubungan zina tidak ada kemuliaan dan tidak dapat menthabitkan nasab. Dalil:
i. Hadis al-Bukhari dan Muslim:
الولد للفراش وللعاهر الحجر
Maksudnya: “Anak itu dinasabkan kepada suami yang sah, manakala bagi yang berzina adalah hukuman rejam dengan batu.”
Jika wanita hamil kerana zina berkahwin dengan lelaki yang bukan berzina dengannya. Mereka tidak dihalalkan melakukan hubungan persetubuhan sehinggalah wanita tadi melahirkan anak zinanya. Ini berdasarkan hadis:
لا توطأ حامل حتى تضع
Maksudnya: “Jangan disetubuhi wanita hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan kandungannya.” Demikian juga hadis:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يسق ماءه زرع غيره
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan dia memasukkan benihnya ke ladang orang lain.” (HR al-Tirmizi dan beliau menilai sebagai Hasan)
Jika wanita itu dinikahi oleh lelaki yang berzina dengannya, mereka boleh melakukan hubungan persetubuhan berdasarkan pandangan kedua ini. Pernikahan tersebut juga adalah sah.