Soalan:
Apakah hukumnya seorang suami terminum atau terasa susu isterinya ketika sedang berasmara ?
Jawapan:
Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika membicarakan tentang hubungan antara suami dan isteri, menyebut riwayat dari al-Baihaqi yang menceritakan seorang sahabat ketika bergurau senda dengan isterinya, beliau telah menghisap buah dada isterinya, lalu terminum susunya. Lalu dia bertanyakan kepada Abu Musa al-Asy'ari (الأشعري) RA. Jawab Abu Musa ra: "Diharamkan ke atas kamu." Kemudian lelaki itu pergi bertemu dengan Ibn Mas'ud ra. Jawab Ibn Mas'ud: "Tidak mengapa, (kerana) tidak ada al-Rada'ah (hukum susuan) melainkan dibawah umur 2 tahun." (Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra, hadith ini Mursal, akan tetapi padanya ada Syawahid/sokongan)
Allah swt berfirman:والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
Maksudnya: "Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka dua tahun yang sempurna, bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan tempoh susuan."
Ini membawa maksud penyusuan yang diharamkan itu (kerana menjadi anak susuan) kepada wanita ada tempohnya yang tertentu, iaitulah sebelum 2 tahun. Jika lebih dari dua tahun tidak mengapa.
al-Qaradhawi menyambung: "Maka bagi lelaki dia boleh menyusui isterinya, ini adalah dari bentuk-bentuk keseronokan yang dibenarkan, tidak mengapa dengannya."