Soalan:
Bolehkan meminang wanita yang dalam iddah talak tiga?
Jawapan:
Para ulama telah ittifaq, tidak boleh secara jelas meminang wanita yang berada dalam iddah talak tiga. Sebaliknya harus meminangnya secara al-Talmih (التلميح) dan al-Ta’ridh (التعريض) sahaja. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُمْ بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنْتُمْ فِي أَنْفُسِكُمْ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لَا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلًا مَعْرُوفًا وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي أَنْفُسِكُمْ فَاحْذَرُوهُ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ
maksudnya: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka secara sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.” (al-Baqarah: 235)
Kata al-Khatib al-Syarbini RH:
لا يحل التصريح - بالخطبة - لمعتدة، بائنا كانت، أو رجعية، بطلاق، أو فسخ، أو انفساخ، أو موت، أو معتدة عن شبهة، لمفهوم قوله تعالى: (وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُمْ بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ)، وحكى ابن عطية الإجماع على ذلك. ويحل تعريض لبائن بفسخ أو ردة أو طلاق في الأظهر لعموم الآية, ولانقطاع سلطة الزوج عنها
Maksudnya: “Dan tidak halal secara jelas meminang wanita yang dalam iddah, sama ada idah ba-in (tidak boleh rujuk) atau raj’iyyah (masih boleh rujuk) talak, atau fasakh, infisakh, atau kematian, atau yang dalam idah (kerana nikah) syubhah berdasarkan mafhum firman Allah SWT: “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah).” Ibn ‘Atiyyah menghikayatkan telah berlaku ijmak dalam perkara ini. Dihalalkan ta’ridh kepada wanita yang dalam iddah ba-in disebabkan fasakh atau riddah atau talak menurut pandangan al-Azhar berdasarkan keumuman ayat al-Quran demikian juga berdasarkan telah terputus penguasaan suami ke atas wanita tersebut.” (secara ringkas dari Mughniy al-Muhtaj 4/219)
Yang dimaksudkan dengan al-Talmih ialah seorang lelaki mengungkapkan perkataan yang memiliki maksud berkeinginan berkahwin dengan wanita tersebut dan boleh juga bermaksud tidak, seperti dia berkata kepada wali wanita tersebut: “Memiliki hubungan dengan anda merupakan satu kemuliaan” “Bergabung dengan keluarga seperti anda diingini oleh orang ramai” atau seumpamanya.