Hukum Akad Nikah Melalui Video Conference

HUKUM AKAD NIKAH MELALUI VIDEO CONFERENCE

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Pendahuluan

Kemajuan teknologi dan kaedah berkomunikasi pada hari ini telah mengubah trend kehidupan harian manusia. Jarak masa, tempat dan sempadan seperti tidak lagi menjadi halangan dalam berkomunikasi pada hari ini. Perubahan ini secara langsung memberi kesan kepada berbagai aktiviti termasuklah berkaitan ‘Uqud yang dahulunya hanya terlaksana melalui Ittihad al-Majlis yang berlaku di dalamnya pertemuan antara dua pihak yang berkontrak dan individu-individu yang berkaitan. Namun hari ini menunjukkan ‘uqud dapat dilaksanakan melalui jarak jauh, melalui pengutusan mesej, perbualan chat, whatsApp dan seumpamanya yang sudah tentu turut membabitkan akad pernikahan.    

 

Pengertian Nikah

Asal kalimah al-Nikah pada bahasa ia bermaksud himpun dan gabung (الضم والجمع). Dalam bahasa ‘Arab ia diitlaqkan secara hakikat membawa  maksud  al-Wath’ (الوطء). Secara majaz memaksudkan kepada akad, kerana ia adalah sebab kepada al-Wath’ al-Mubah.[1]

Pada istilah, ia memaksudkan kepada akad perkahwinan secara hakikat, memaksudkan kepada persetubuhan (al-Wath’) secara majaz. Ada juga yang berpandangan sebaliknya, iaitu memaksudkan persetubuhan secara hakikat dan memaksudkan kepada akad secara majaz. Ada juga pandangan yang lain.[2]

 

Apa Yang Dapat Menggantikan Lafaz Ijab Qabul Pernikahan

            Ulama dahulu ada membincangkan hukum akad nikah selain lafaz seperti akad melalui isyarat, penulisan dan wakil, apakah memenuhi syarat sah nikah ataupun tidak. Secara ringkas adalah seperti berikut:


Akad Nikah Melalui Isyarat

            Para ulama keempat-empat mazhab bersepakat sah ijab dan qabul pernikahan dengan isyarat yang difahami dari seorang bisu (الأخرس) [3].

            Mereka berbeza pandangan dalam beberapa syarat seperti apakah disyaratkan seorang bisu yang diterima isyarat ijab dan qabulnya mestilah seorang yang tidak tahu menulis. Demikian juga apakah disyaratkan dia seorang yang bisu sejak dilahirkan bukan bisu setelah dewasa.[4]

            Ijab dan qabul pernikahan dengan isyarat bagi yang mampu berkata-kata tidak dikira oleh majoriti ulama melainkan ulama mazhab Maliki. Demikian juga apakah disyaratkan tidak mampu menulis?  

 

Akad Nikah Melalui Tulisan

Akad nikah melalui tulisan sama ada dari seorang bisu atau selainnya.

Para ulama berpandangan sah ijab dan qabul pernikahan dari seroang bisu dengan tulisan kerana ia lebih kuat berbanding isyarat.

            Adapun ijab dan qabul dengan penulisan bagi seorang yang boleh berkata-kata dan hadir dalam majlis akad nikah adalah tidak sah di sisi ulama mazhab Hanafi, Maliki, pandangan al-Sahih di sisi ulama Hambali dan al-Mazhab di sisi ulama Syafi’ie. Ada juga pandangan di sisi ulama mazhab Syafie yang mengatakan sah[5].

            Jika ijab dan qabul dengan penulisan kepada seorang yang gha-ib, terdapat dua pandangan ulama:

Pertama: Majoriti ulama berpandangan tidak sah termasuklah ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hambali. Ini kerana tulisan adalah satu kinayah, manakala pernikahan tidak boleh dengan kinayah[6].

Kedua: Sah ijab dan qabul dengan tulisan kepada gha-ib di sisi ulama mazhab Hanafi[7], satu pandangan di sisi ulama syafi’ie dan ulama mazhab Hambali. Pandangan pilihan Ibn Taimiyyah[8] dan al-Syaukani[9].

 

Akad Nikah Melalui Utusan Atau Wakil

Ulama keempat-empat mazhab mengharuskan ijab dan qabul akad perkahwinan melalui wakil atau utusan[10].

Di dalam mazhab Hanafi dinyatakan jika seorang lelaki menghantar seorang utusan kepada seorang perempuan atau dia menulis surat kepada perempuan tersebut melalui seorang wakil mengatakan: “Aku kahwini dikau تزوجتك” lalu perempuan itu terima di hadapan dua orang saksi yang mendengar perkataan utusan tersebut atau mendengar bacaan surat yang diutuskan, harus demikian itu kerana ia berlaku ittihad al-Majlis dari sudut makna. Ini kerana percakapan seorang utusan adalah percakapan orang yang mengutuskannya. Utusan itu memindahkan ibarah dari pengutusnya. Demikian juga penulisan berada pada kedududan utusan. Mendengar perkataan utusan atau bacaan surat dengan mendengar perkataan orang yang mengutuskan atau orang yang menulis adalah semakna.

Jika dua orang saksi tidak mendengar perkataan utusan atau bacaan surat, maka tidak boleh di sisi Abu Hanifah dan Muhammad al-Syaibani RH. Dan pandangan mereka berdua ini bersamaan dengan pandangan ulama mazhab Maliki, Syafi’ie dan Hambali.[11].

 

Akad Nikah Melalui Perbualan Telefon Atau Internet

Persoalan ini tidak disentuh oleh ulama silam. Namun ada dibincangkan oleh ulama semasa. Hasilnya mereka berbeza pandangan:

Pertama: Harus. Inilah pandangan al-Syeikh Mustafa al-Zarqa[12]’, Dr. Wahbah al-Zuhaili[13], Dr. Muhammad ‘Uqlah dan selain mereka.

Kedua: Ditegah. Inilah pandangan kebanyakan fuqaha di dalam Majma’ al-Fiqh al-Islami di Jeddah Saudi Arabiah dan Lajnah Daimah Arab Saudi.

            Alasan untuk pandangan yang melarang ini ialah[14]:

  1. Adanya teknologi yang boleh meniru suara. Sedangkan عقد الزواج يجب أن يحتاط فيه ما لا يحتاط في عيره حفظا للفروج وتحقيقا لمقاصد الشريعة الإسلامية  

Namun kebimbangan ini tertolak dengan adanya kemudahan video live demikian juga dengan campur tangan keluarga dan urusan permohonan perkahwinan.

  1. Majma’ al-Fiqh al-Islami melarang dengan alasan akad perkahwinan disyaratkan al-Isyhad.

Namun alasan ini tertolak disebabkan kedua-dua saksi dapat mendengar suara dan turut serta dalam majlis akad di samping mengenali kedua-dua pihak yang berakad. Selain itu saksi juga boleh meminta maklumat berkaitan bagi mengenal pasti kedua-dua mempelai.

  1. Terdedah kepada masalah teknikal ketika berlangsung majlis akad yang membawa kepada terputus perbualan, terutamanya ketika proses ijab dan qabul. Masalah taknikal itu pula boleh berlaku kerana masalah pada peralatan, kadang-kala berlaku pada server yang boleh memakan beberapa jam atau hari.

Kebimbangan ini juga tertolak dengan kemudahan talian internet yang semakin baik dan memiliki banyak pilihan.

Dr. ‘Abd al-‘Aziz Syakir Hamdan[15] mentarjihkan harus akad nikah secara perbualan sama ada telefon atau internet kerana memenuhi syarat-syarat nikah, iaitulah:

  1. Berlaku talaffuz ijab dan qabul.
  2. Kedua-dua pihak yang berakad mendengar suara yang berakad dengan mereka.
  3. Kewujudan wali dan saksi.

Beliau juga berkata:

Permasalah kedua-dua pihak dikira gha-ibain tidak menimbulkan masalah kerana sekalipun mereka tidak berhadapan akan tetapi kedudukan mereka yang melafazkan akad dianggap hadhirain kerana setiap pihak mendengar pihak yang satu lagi. Demikian juga saksi dapat mendengar ucapan ijab dan qabul.

 

Akad Nikah Melalui Video Confrence

            Akad nikah melalui video conference termasuk persoalan baharu yang belum pernah disentuh di dalam kitab-kitab ulama silam. Ia merupakah akad nikah yang berlaku secara online, di mana perbualan antara wali nikah dengan pengantin lelaki melalui talian internet beserta suara dan video secara langsung atau live. Sekalipun mereka saling berjauhan, namun wali dan dua orang saksi dapat melihat dan mendengar suara penganting lelaki secara lansung dan akad juga berlaku dalam majlis yang sama secara hukman, saling mendengar percakapan sesama mereka pada waktu yang sama, ijab dan qabul juga boleh berlaku secara berturutan (الموالاة), demikian juga wali dan dua orang saksi dapat mendengar suara dan melihat secara langsung pengantin lelaki dalam waktu yang sama.

            Terdapa dua persoalan yang menjadi asas hukum dalam persoalan akad nikah melalui video confrence:

  1. Ittihad al-Majlis untuk ‘akad nikah.

Ittihad ialah صيرورة الذاتين واحدة, manakala al-Majlis ialah موضع الجلوس[16]. Itihad al-Majlis di sisi fuqaha dimaksudkan kepada majlis yang satu المجلس الواحد.

Manakala ulama mazhab Hanafi memaksudkan dengan Ittihad al-majlis sebagai تداخل متفرقات المجلس. Ini menunjukkan al-Majlis di sisi ulama mazhab Hanafi bukan hanya merujuk kepada موضع الجلوس bahkan ia lebih umum. Justeru ittihad al-Majlis boleh berlaku dalam bentuk berada di satu tempat, boleh juga berlaku dalam bentuk tempat dan keadaan yang berbeza (تغاير المكان والهيئة)[17].

Ittihad al-Majlis di dalam ‘Uqud dan selainnya terbahagi dua: Hakiki; (iaitulah) berlaku penerimaan (al-Qabul) dalam majlis penawaran (al-Ijab). Hukmi; apabila majlis qabul berbeza dengan majlis ijab, seperti berkaitan al-Kitabah dan al-Murasalah yang berlaku ittihad secara hukum.[18]

            Akad melalui video conference dalam bentuk kedua-dua pihak boleh saling melihat dan berbicara secara langsung (live) adalah terhitung dalam kumpulan al-Majlis al-Wahid hukman. Tidak terdapat pertikaian di kalangan ulama semasa akan hal ini.[19] Sehinggakan keputusan Majma’ al-Fiqh berkaitan ‘uqud melalui alat telekomunikasi moden bersetuju mengatakan:

إذا تم التعاقد بين طرفين في وقت واحد، وهما في مكانين متباعدين، وينطبق ذلك على الهاتف، واللاسلكي، فإن التعاقد بينهما يعتبر تعاقداً بين حاضرين، وتطبق على هذه الحالة الأحكام الأصلية المقررة لدى الفقهاء

Maksudnya: Apabila sempurna akad di antara dua pihak dalam waktu yang sama, mereka pula berada di dua tempat yang berjauhan, ia dilaksanakan melalui telefon tanpa wayar, maka akad di antara mereka berdua dikira akad yang berlaku antara dua orang yang hadir, terlaksanalah dalam keadaan ini hukum-hakam asliyyah yang diputuskan di kalangan fuqaha.”[20]

            Jika dilihat dari sudut Takhrij Fiqhi[21], maka terdapat perkataan al-Imam al-Nawawi yang memiliki persamaan, iaitulah perkataan beliau berkaitan akad jual-beli yang berlaku antara dua orang yang berjauhan dan saling dapat mendengar suara laungan, mereka pula berada di dua tempat yang berbeza, sama ada antara mereka berdua saling dapat melihat ataupun tidak. Beliau berkata:

لو تناديا وهما متباعدان وتبايَعا، صحَّ البيع بلا خلاف

Maksudnya: “Jika saling berseruan antara mereka berdua, dan kedua-duanya saling berjauhan dan saling berjual-beli, sah jual-beli mereka tanpa ada khilaf.”[22]

Selain itu, yang dikehendaki dengan Ittihad al-Majlis ialah Ittihad al-Zaman atau al-Waqt, di mana kedua-dua pihak yang berakad sibuk dengan usaha menjayakan akad mereka. Bukanlah ittihad al-Majlis yang dikehendaki itu mestilah setiap pihak yang berakad berada di tempat yang sama.   

 

  1. Penyaksian akad. Apakah penyaksian melalui video conference boleh diterima?

Fatwa Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Dauli pada tahun 1990 telah mengecualikan akad nikah dalam kumpulan ‘uqud yang diharuskan melalui alat komunikasi moden. Sebab pengecualian ialah kerana persoalan al-Isyhad. Dalam perkara ke-4 dinyatakan:

رابعاًإن القواعد السابقة لا تشمل النكاح لاشتراط الإشهاد فيه، ولا الصرف لاشتراط التقابض، ولا السلم لاشتراط تعجيل رأس المال

“(4) Sesungguhnya kaedah-kaedah (keharusan ‘uqud melalui alat perhubungan moden) yang dinyatakan di atas tidak merangkumi akad nikah kerana disyaratkan ada saksi di dalamnya, pertukaran wang yang disyaratkan taqabudh (التقابض), dan al-Salam yang disyaratkan pendahuluan modal.”

 

  1. Saksi Bagi Pernikahan

Para ulama sepakat pernikahan tanpa saksi dan tanpa al-I’lan adalah tidak sah. Kesepakatan ulama juga berlaku akan sahnya nikah yang disaksikan oleh dua orang saksi lelaki atau lebih dan terlaksana al-I’lan.

Mereka berbeza pandangan berkaitan nikah yang ada beberapa saksi akan tetapi tidak berlaku al-I;lan dan pernikahan itu pula disembunyikan termasuk oleh kedua-dua saksi. Demikian juga nikah yang berlaku al-I’lan akan tetapi tidak ada saksi.

Selain itu keberadaan wali di dalam akan nikah itu sendiri menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama seperti berikut:

Pertama: Pandangan al-Imam Malik RH menyatakan al-Isyhad bukan satu syarat dalam pernikahan. Sebaliknya yang menjadi syarat ialah al-I’lan dan al-Zuhur (الإعلان و الظهور). Ibn ‘Abd al-Barr menukilkan bahawa Imam Malik dan para sahabatnya juga berpandangan pernikahan yang disaksikan oleh beberapa orang saksi, namun mereka bersepakat menyembunyikannya adalah Nikah Sirr yang wajib ditafriqkan. Nikah seperti ini tidak dibolehkan. Berbeza dengan nikah yang tiada penyaksian terhadap akad jika ia tidak disembunyikan[23].

            Namun mutaakhirin Malikiyyah berpandangan al-Isyhad satu rukun dalam akad nikah, tidak sah tanpanya. Ada juga di kalangan mereka yang berpandangan al-Isyhad itu satu syarat bukan rukun dan membolehkan akad nikah dilaksanakan tanpa penyaksian, dan diterima penyaksian nikah sekalipun selepas akad.[24]

            Ibn Rusyd ada menisbahkan kepada imam Malik pandangan mensyaratkan saksi bagi akad nikah[25], namun yang sebenarnya mazhab Imam Malik ialah tidak menjadi syarat saksi bagi akad nikah, hanya disyaratkan al-I;lan dan tidak disembunyikan[26].

            Pandangan wajib al-I’lan tidak al-Isyhad ini dinisbahkan juga oleh Ibn ‘Abd al-Barr kepada Ibn Syihab, kebanyakan ulama Madinah dan al-Laith bin Sa’ad[27]. Pandangan ini disokong oleh Ibn Taimiyyah, beliau juga menisbahkan pandangan ini kepada Imam Malik dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayat dari beliau[28].  Kata Ibn Qudamah:

“Di sisi Ahmad, bahawa sah nikah tanpa penyaksian (شهود) dan ia dilakukan oleh Ibn ‘Umar, al-Hasan bin ‘Ali, Ibn al-Zubair, dua orang anak ‘Abd Allah bin ‘Umar, Salim dan Hamzah. Inilah juga pandangan ‘Abd Allah bin Idris, ‘Abd al-Rahman bin Mahdi, Yazid bin Harun, al-‘Anbari, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir. Ia juga pandangan al-Zuhri dan Malik jika mereka mengi’lankannya[29].”

Kedua: al-Imam Abu Hanifah dan Ahmad di dalam satu riwayat masyhur dari beliau mengatakan al-Isyhad adalah satu syarat sah nikah. Manakala ulama mazhab Syafi’ie berpandangan ia salah satu dari rukun nikah. Dua orang saksi adalah had paling sedikit bagi al-I’lan yang wajib untuk nikah. al-Isyhad juga membezakan antara pernikahan dengan perzinaan (السِفَاح)[30]

            Al-Imam al-Nawawi ketika menghikayatkan pandangan mazhab ulama Syafi’ie berkata:

الركن الثالث: الشهادة، فلا ينعقد النكاح إلا بحضرة رجلين

Maksudnya: “Rukun ketiga: penyaksian, maka tidak terlaksana pernikahan melainkan dengan kehadiran dua orang lelaki (sebagai saksi).”[31]

Dr. ‘Umar Sulaiman al-Asyqar setelah menyenaraikan dalil dan hujah bagi kedua-dua pandangan menyebut satu perkataan yang menarik dengan katanya:

وهذا الاختلاف ليس له أثر في هذه الأيام، لأن عقود النكاح لا تسجل إلا إذا أشهد عليها، فإذا أشهد عليها وسجلت فقد أعلن عنها، وتكون بذلك قد صحت على مذاهب أهل العلم من غير اختلاف

Maksudnya: “Perbezaan pandangan ini tidak memiliki kesan pada hari ini, kerana akad-akad pernikahan (pada hari ini) tidak akan didaftarkan melainkan jika ia memiliki saksi. Maka apabila ia memiliki saksi dan didaftarkan maka ia telah dii’lankan, jadilah akad nikah sedemikian itu sah menurut mazhab-mazhab ulama tanpa ada perbezaan.”[32]

 

  1. Syarat Saksi

Terdapat beberapa syarat saksi pernikahan bersama perbezaan yang timbul antara mazhab. Antara yang utama ialah:

  1. Berakal dan baligh. Hal ini perkara yang disepakati di kalangan ulama, kerana tanpa keduanya gugurlah al-ahliyyah.

 

  1. Islam. Hal ini disepakati oleh ulama jika kedua-dua mempelai adalah muslim. Adapun jika pengantin perempuan seorang zimmiyyah, Abu Hanifah, Abu Yusuf membolehkan syahadah seorang zimmi. Berbeza dengan ulama mazhab Syafi’ie, ulama mazhab Hambali dan Zufar dari mazhab Hanafi. Mereka menyaratkan Islam bagi saksi dengan hadis لا نكاح إلا بولي وشاهدي عدل, bentuk pendalilannya ialah selain muslim bukan seorang yang adil.

 

  1. Lelaki, tidak boleh perempuan. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi’ie, ulama mazhab Hambali, al-Nakha’ie dan al-Auza’ie. Manakala ulama mazhab Hanafi berpandangan boleh penyaksian seorang lelaki dan dua orang perempuan.

 

  1. Adil. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi’ie dan Hambali. berbeza dengan ulama mazhab Hanafi. Namun perbezaan antara ulama Hanafi dengan ulama Syafi’ie dan Hambali dalam persoalan ini tidak besar, kerana ulama Syafi’ie dan Hambali secara jelas memaksudkan adil atau ‘adalah di sini ialah keberadaan saksi yang mastur al-Hal[33].

 

  1. Dua saksi mendengar lafaz ijab dan qabul, juga memahami maksud kedua-duanya. Tidak diterima penyaksian seorang yang pekak demikian juga seorang tidur ketika akad dilaksanakan, atau seorang yang berada jauh sehingga tidak mendengar lafaz, juga dari seroang yang mendengar, tetapi tidak memahami bahasa yang digunakan ketika lafaz ijab dan qabul.

Kesemua syarat ini dapat dipenuhi melalui akad nikah secara video conference. Berkaitan fatwa Majma’ al-Fiqh yang mengecualikan akad nikah dalam keharusan beruqud menggunakan alat perhubungan moden, penulis berpandangan fatwa tersebut memaksudkan alat perhubungan semasa yang luas digunakan pada tahun 1990 (Tarikh fatwa 14-20 Mac 1990) dan tidak termasuk video conference. Sangkaan ini berdasarkan teks fatwa yang menyebut, antaranya di bahagian muqaddimah fatwa:

بعد اطلاعه على البحوث الواردة إلى المجمع بخصوص موضوع إجراء العقود بآلات الاتصال الحديثة، ونظراً إلى التطور الكبير الذي حصل في وسائل الاتصال وجريان العمل بها في إبرام العقود لسرعة إنجاز المعاملات المالية والتصرفات

Maksudnya: “Setelah meneliti kajian-kajian yang diserahkan kepada al-Majma', khas berkaitan perlaksanaan akad-akad menggunakan alat perhubungan semasa, dengan memerhatikan juga perkembangan pesat yang berlaku dalam kaeadah-kaedah berkomunikasi dan pengamalannya yang meluas dalam menjayakàn berbagai akad urusniaga harta dan kewangan dengan pantas.”

Seterusnya dalam keputusan pada perkara (1) dinyatakan:

أولاًإذا تم التعاقد بين غائبين لا يجمعهما مكان واحد، ولا يرى أحدهما الآخر معاينة، ولا يسمع كلامه، وكانت وسيلة الاتصال بينهما الكتابة أو الرسالة أو السفارة ( الرسول )، و ينطبق ذلك على البرق والتلكس والفاكس وشاشات الحاسب الآلي (الحاسوب)، ففي هذه الحالة ينعقد العقد عند وصول الإيجاب إلى الموجَّه إليه وقبوله

Maksudnya: "(1) Apabila sempurna akad antara dua pihak yang berjauhan dan tidak berada di satu tenpat, satu pihak tidak saling dapat melihat pihak yang satu lagi, tidak mendengar perkataannya, kaedah komunikasi yang berlaku antara mereka berdua ialah melalui penulisan atau surat atau utusan wakil, majlis itu pula dilaksanakan melalui telegraf, telex, fax atau skrin komputer, maka dalam keadaan ini akad terlaksana ketika sampainya ijab (penawaran) kepada pihak kedua (yang ditawarkan tawaran) dan pihak kedua itu menerimanya."

Dalam perkara (2) pula dinyatakan:

ثانياً: إذا تم التعاقد بين طرفين في وقت واحد وهما في مكانين متباعدين، وينطبق هذا على الهاتف واللاسلكي، فإن التعاقد بينهما يعتبر تعاقداً بين حاضرين، وتطبق على هذه الحالة الأحكام الأصلية المقررة لدى الفقهاء المشار إليها في الديباجة.

Maksudnya: (2) Apabila sempurna akad di antara dua pihak dalam waktu yang sama, mereka beruda pula berada di dua tempat yang berjauhan, ia dilaksanakan melalui telefon tanpa wayar, maka akad di antara mereka berdua dikira akad yang berlaku antara dua orang yang hadir, terlaksanalah dalam keadaan ini hukum-hakam asliyyah yang diputuskan di kalangan fuqaha yang telah dinyatakan pada muqaddimah di atas.

Atas kefahaman ini, penulis meyakini fatwa mengambil kira saksi hendaklah dapat melihat dan mendengar bagi akad perkahwinan yang dibahaskan di kalangan fuqaha. Maka dalam isu ini terdapat dua pandangan fuqaha:

Pandangan Pertama: Penyaksian seorang buta terhadap suara yang didengarnya tidak diterima. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi[34] dan ulama mazhab Syafi’ie[35].

Pandangan Kedua: Penyaksian seorang buta terhadap suara yang didengarnya diterima apabila dia dapat mengenal pasti suara. Inilah pandangan ulama mazhab Maliki[36], ulama mazhab Hambali[37] dan satu wajah di sisi ulama Syafi’ie[38]

 

Tarjih

            Berdasarkan kekuatan dalil dan hujah, pandangan kedua yang mengatakan penyaksian seorang buta terhadap suara yang didengarnya dan suara itu dapat dikenal pasti olehnya adalah lebih rajih. Kata Dr. ‘Abd al-Ilah bin Mazru’ al-Mazru’:

والذي يترجح والله أعلم هو القول الثاني لقوة ما استدلوا به وظهوره، ومن ثم فإن الإشهاد في التعاقد عبر الإنترنت من خلال المخاطبة جائز وصحيح بناء على ما ترجح من جواز شهادة الأعمى إذا تيقن الصوت وعرفه، وهذ الخلاف إنما يكون فيما إذا كان التعاقد عبر الإنترنت من خلال المخاطبة دزن مشاهدة عبر الكاميرا، حيث إنه إذا وجدت الكاميرا وأمكن لكل طرف رؤية الطرف الآخر، فإن الشهادة صحيحة ومقبولة ويعمل بها وفق قواعد المذاهب الأربعة، وهذا في حالة أمن التدليس والتلاعب في الصورة أو الصوت

Maksudnya: “Dan yang rajih – wallahu a’lam – ialah pandangan kedua disebabkan kekuatan dalil dan terserlahnya. Oleh sebab itu, maka sesungguhnya al-Isyhad pada akad melalui perbualan internet adalah harus dan sah berdasarkan terjihan keharusan penyaksian seorang buta jika dia dapat mengenal pasti suara. Perbezaan ini berlaku dalam persoalan akad melalui perbuatan internet tanpa ada gambar kamera (video live), di mana jika terdapat kamera (video live) dan memungkinkan setiap pihak melihat pihak yang satu lagi, maka penyaksian seperti ini adalah sah dan diterima lagi diamalkan bersesuaian dengan kaedah-kaedah keempat-empat mazhab. Hal ini jika bebas dari penipuan dan penyamaran terhadap gambar dan suara.”[39] 



[1] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 44/12

[2] ibid

[3] Muhadharat fi ‘Aqd al-Zawaj wa Atharuh oleh Abu Zahrah 80. Di dalam al-Musu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan sepakat kesemua fuqaha 30/210

[4] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 41/240

[5] al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 41/230

[6] Al-‘Azizi Syarh al-Wajiz oleh al-Rafi’ie 7/495 dan Tuhfah al-Muhtaj oleh al-Haitami 7/223

[7]

[8] Beliau berkata di dalam al-Fatawa al-Kubra 6/277:

ينعقد النِّكاح بالإشارة إذا تعذَّرت العبارة، وينعقِدُ بالكتابة أيضًا، ومعلومٌ أن حقيقة العقدِ لم تختلف، وإنما اختَلَفت دلالتُه وصِفتُه

[9] Beliau berkata di dalam al-Sail al-Jarrar 361:

صحَّةُ العقدِ بالرِّسالةِ والكتابة ومِن المُصمَت والأخرس بالإشارةِ: فلا نزاعَ في مثله، ولم يرِدْ ما يدُلُّ على أنَّه لا بدَّ أن يكونَ لفظًا

[10] Laman dorar.net (dilayari pada 14 Jun 2020)

[11] alukah.net : حكم عقد الزواج بواسطة التقنيات المعاصرة: وسائل الاتصال المسموعة والمرئية أنموذجا. Di lihat pada 14 Jun 2020

[12] Hukm Ijra’ al-‘Uqud bi wasa-il al-Ittisalat al-Hadithiyyah oleh Muhammad ‘Uqlah, Amman Jordan 113

[13] Majllah Majma’ al-Fiqh al-Islami bilangan 6, juzuk 2 halaman 888

[14] Hukm Ibram ‘Uqud al-Ahwal alSyakhsiah wa al-‘Uqud al-Tijariah ‘Abr al-Wasa-il al-Iliktroniyyah oleh Dr. Muhammad bin Yahya bin Hasan al-Nujaimi 

[15] Terjihan yang sama oleh Dr. Muhammad bin Yahya bin Hasan al-Nujaimi 

[16] Al-Misbah al-Munir (جلس)

[17] Lihat Mu’jam al-Mustalahat al-Iqtisadiyyah fi Lughah al-Fuqaha’ 23

[18] Ibid

[19] ‘Aqd al-Zawaj ‘Abr al-Internet oleh ‘Abd al-Ilah bin Mazru’ al-Mazru’

[20] مجلة مجمع الفقه الإسلامي التابع لمنظمة المؤتمر الإسلامي الدورة السادسة 2/1256

[21] Takhrij Fiqhi yang dimaksudkan di sini ialah Takhrij al-Furu’ ‘ala al-Furu’ iaitulah: نقل حكم مسألة إلى ما يشبهها والتسوية بينهما فيه

[22] Al-Majmu’ 10/200

[23] Lihat al-Istizkar 16/213

[24] Al-Syarh al-Saghir 2/236

[25] Bidayah al-Mujtahid 2/17

[26] Dr. ‘Umar Sulaiman al-Asyqar

[27] Al-Istizkar 16/212

[28] Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam 32/35

[29] Al-Mughniy 9/347

[30] Ahkam al-Zawaj fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah oleh Dr. ‘Umar Sulaiman al-Asyqar 165

[31] Raudhah al-Talibin 7/45

[32] Ahkam al-Zawaj fi Dhau’ al-Kitab wa al-Sunnah oleh Dr. ‘Umar Sulaiman al-Asyqar 169

[33] Kata al-Nawawi: والمستور من عرفت عدالته ظاهرا لا باطنا. (al-Raudhah 7/46)

[34] Lihat Mukhtasar Ikhtilaf al-‘Ulama oleh al-Tahawi 3/336 dan al-Mabsuth oleh al-Syarkhasi 16/129

[35] Lihat al-Umm oleh al-Imam al-Syafi’ie 7/46 dan Raudhah al-Talibin oleh al-Nawawi 11/261

[36] Lihat al-Mudawwanah al-Kubra 5/43

[37] Lihat Mukhtasar al-Khiraqi 145

[38] Al-‘Aziz 7/518 dan al-Wasit 7/371

[39] Lihat ‘Aqd al-Zawaj ‘Abr al-Internet oleh ‘Abd al-Ilah bin Mazru’ al-Mazru’ 14


Cetak  
Wallahu a'lam