Soalan:
Assalamualaikum ustaz, nak tanya, hadis celaan terhadap golongan takhbib, adakah termasuk wanita yg merosakkan rumah tangga org, atau lelaki shj
Jawapan:
Takhbib التخبيب ialah perbuatan merosakkan hubungan seseorang dengan pasangannya, sama ada pasangan suami isteri atau lainnya. Tujuannya untuk dia dapat mengahwini pasangan orang lain, atau untuk pasangan orang itu berkahwin dengan orang lain.
Larangan takhbib ini merangkumi orang lelaki mahupun perempuan. Termasuk orang yang merosakkan hubungan orang lain kerana hasad.
Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا أَوْ عَبْدًا عَلَى سَيّده
Maksudnya: "Bukan dari kalangan kami sesiapa yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya, atau seorang hamba dengan tuannya." (Sahih: al-Albani dalam Sahih al-Jami')
Kesalahan takhbib amat besar, sehinggakan dalam kalangan ulama ada yang berpandangan seorang yang melakukan takhbib kerana hendak mengahwini pasangan orang lain, pernikahannya tersebut tidak sah. Ada pula yang berpandangan pasangan tersebut haram ke atasnya buat selama-lamanya seperti pandangan sebahagian ulama mazhab Maliki. Jika mereka berkahwin juga, hubungan yang terjalin antara mereka seperti perzinaan.
al-Ruhaibani dari mazhab Hambali berkata dalam Matalib Uli alNuha 5/96:
وَعِنْدَ الشَّيْخِ تَقِيِّ الدِّينِ: وَكَذَا قَاتِلُ رَجُلٍ لِيَتَزَوَّجَ امْرَأَتَهُ) لَا تَحِلُّ لَهُ أَبَدًا؛ عُقُوبَةً لَهُ بِنَقِيضِ قَصْدِهِ الْمُحَرَّمِ؛ كَحِرْمَانِ الْقَاتِلِ الْمِيرَاثَ. ذَكَرَ ذَلِكَ فِي كِتَابِ «إقَامَةِ الدَّلِيلِ عَلَى بُطْلَانِ التَّحْلِيلِ» (وَقَالَ) الشَّيْخُ تَقِيُّ الدِّينِ (فِي) جَوَابِ سُؤَالٍ صُورَتُهُ (مَنْ خَبَّبَ) أَيْ: خَدَعَ (امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا) حَتَّى طَلُقَتْ؛ ثُمَّ تَزَوَّجَهَا يُعَاقَبُ عُقُوبَةً؛ لِارْتِكَابِهِ تِلْكَ الْمَعْصِيَةَ وَ(نِكَاحُهُ بَاطِلٌ فِي أَحَدِ قَوْلَيْ) الْعُلَمَاءِ فِي مَذْهَبِ (مَالِكٍ وَأَحْمَدَ وَغَيْرِهِمَا) وَيَجِبُ التَّفْرِيقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: "Dan pandangan alSyeikh Taqiy alDin: dan demikian juga (termasuk wanita yang diharamkan berkahwin selama-lamaya) seorang lelaki yang membunuh seorang lelaki lain untuk mengahwini isterinya. Wanita tersebut tidak halal buat lelaki pembunuh itu selama-lamanya sebagai hukuman ke atasnya dengan hukuman yang menyalahi tujuannya yang haram itu, ia seperti haramnya seorang pembunuh dari mendapat bahagian perwarisan orang yang dibunuhnya... Kata alSyeikh Taqiyuddin: "Siapa melakukan takhbib kepada seorang wanita agar tidak sukakan suaminya, sehigga suami wanita tersebut menceraikannya. Kemudian lelaki yang melakukan takhbib itu menikahi wanita tersebut, lelaki itu dikenakan hukuman disebabkan maksiatnya itu dengan hukuman pernikahannya itu batil berdasarkan salah satu pandangan ulama dalam mazhab Malik, Ahmad dan lainnya, wajib memisahkan perkahwinan antara mereka berdua."