SDI 1680: Hukum Hendak Poligami Tetapi Dibelenggu Hutang

Soalan:

Assalamualaikum tuan 

saya ingin bertanya tentang orang yang banyak hutang tetapi ingin berpoligami. hutang ini bukanlah personal loan, tetapi hutang dengan kawan-kawan atau saudara mara. adakah beliau perlu meminta izin daripada pemberi hutang sebelum beliau menikah lagi satu.

sekian terima kasih

 

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Akad perkahwinan yang memenuhi rukun dan syarat sahnya adalah sah. Seseorang dikira melakukan dosa jika sengaja melengahkan membayar hutang, jika hutang tersebut bukan dari kumpulan hutang yang diberi tangguh oleh pihak yang memberi hutang.

Adapun tentang poligami, Islam tidak mengharuskannya dalam semua keadaan. Poligami diharuskan jika ia memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan termasuk memiliki kemampuan harta dan tubuh-badan. Demikian juga disyaratkan mampu berlaku adil antara isteri-isteri. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Dan jika kamu semua (orang lelaki) bimbang tidak dapat berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang wanita sahaja.” (al-Nisa’: 3)

               Syarat memiliki kemampuan dari sudut harta dan tenaga pula dinyatakan oleh Nabi SAW, berdasarkan hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Mas‘ud RA yang berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَبَابًا لَا نَجِدُ شَيْئًا فَقَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ منكُم الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Kami para pemuda yang serba kekurangan pernah bersama dengan Nabi SAW. Baginda bersabda kepada kami semua: “Wahai sekelian pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang mampu menyediakan ba’ah, maka berkahwinlah, kerana perkahwinan ini lebih dapat menundukkan pandangan dan lebih dapat memenuhi tuntutan syahwat. Sesiapa yang tidak mampu menyediakan ba’ah, maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia mampu menjadi benteng kepadanya.”

Al-Ba’ah (الْبَاءَة) yang dimaksudkan dalam hadis ialah seseorang yang memiliki kemampuan menunaikan tanggungjawab nafkah merangkumi penyediaan mahar, keperluan keberlangsungan kehidupan dan kelengkapan berumah-tangga seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Hadis ini juga menjadi bukti pernikahan bukan semata-mata akad dan menunaikan tuntutan syahwat. Sebaliknya perkahwinan itu disertai dengan kesanggupan dan kemampuan memikul tanggungjawab dan kewajipan seorang lelaki yang diamanahkan untuk menjaga dan memastikan kebaikan untuk isterinya dan ahli keluarganya. Seseorang yang ada potensi untuk mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami berhak dihalang niatnya dari berpoligami oleh pihak pemerintah.

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam