SDI 1702: Pengiraan Iddah Wanita Khulu'

Soalan:

Seorang wanita telah menjalani proses khuluk dan memperoleh keputusan pengesahan khuluk pada 22/11/2024. Dia mengalami haid sehari sebelum keputusan itu, iaitu pada 21/11/2024. Selepas itu, jika dia didatangi haid berikutnya pada 23/12/2024. Adakah selepas haid pada bulan Januari 2025 dia boleh berkahwin? Dan bilakah tarikh yang tepat untuk dia boleh melangsungkan perkahwinan?

Jawapan:

Majoriti ulama mengatakan ‘iddah (tempoh menunggu) bagi wanita yang bercerai melalui khulu‘ adalah sama seperti ‘iddah wanita yang ditalak biasa, iaitu tiga quru' (tiga kali suci di sisi ulama mazhab Syafie) bagi yang masih mempunyai haid, atau tiga bulan bagi yang tidak berhaid, atau sehingga melahirkan anak bagi yang hamil.

Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa ‘iddah wanita yang bercerai dengan khulu‘, tamat dengan satu kali haid bagi yang berhaid, atau sebulan bagi yang tidak berhaid.

Ibn Qudamah -rahimahullah- menyebut dalam al-Mughni menyebut:

وأكثر أهل العلم يقولون: عدة المختلعة عدة المطلقة؛ منهم سعيد بن المسيب، وسالم بن عبد الله، وعروة، وسليمان بن يسار، وعمر بن عبد العزيز، والحسن، والشعبي، والنخعي، والزهري، وقتادة، وخلاس بن عمرو، وأبو عياض، ومالك، والليث، والأوزاعي، والشافعي، وروي عن عثمان بن عفان، وابن عمر، وابن عباس، وأبان بن عثمان، وإسحاق، وابن المنذر، أن عدة المختلعة حيضة، ورواه ابن القاسم عن أحمد

“Kebanyakan ulama berpendapat bahawa ‘iddah wanita yang khulu‘ adalah sama dengan ‘iddah wanita yang ditalak. Dalam kalangan majoriti ini ialah Sa‘id bin al-Musayyib, Salim bin ‘Abdullah (سالم بن عبد الله), ‘Urwah, Sulaiman bin Yasar, ‘Umar bin ‘Abdul Aziz, al-Hasan, asy-Sya‘bi, an-Nakha‘i, az-Zuhri, Qatadah, Khallas bin ‘Amr (خلاس بن عمرو), Abu ‘Iyadh (أبو عياض), Malik, al-Laits, al-Auza‘i dan asy-Syafi‘i. Ia juga diriwayatkan daripada ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Aban bin ‘Uthman (أبان بن عثمان), Ishaq, dan Ibn al-Mundzir bahawa ‘iddah wanita yang khulu‘ hanyalah satu kali haid. Perkara ini juga diriwayatkan oleh Ibn al-Qasim daripada Ahmad.” – Tamat nukilan.

Seseorang wanita mula mengira ‘iddah daripada waktu suami melafazkan talak, atau waktu khulu‘, atau dengan keluarnya tarikh keputusan penghakiman mahkamah terakhir (setelah tiada lagi rayuan atau bantahan).

Jika keputusan muktamad khulu‘ telah dikeluarkan oleh hakim, pada ketika itu pula wanita tersebut sedang dalam keadaan haid, maka pusingan haid tersebut tidak dikira sebagai sebahagian daripada ‘iddah.

Ibn Qudamah -rahimahullah- turut menyebut dalam al-Mughni:

الفصل الثالث: أن الحيضة التي تطلق فيها، لا تحسب من عدتها، بغير خلاف بين أهل العلم؛ لأن الله تعالى أمر بثلاثة قروء، فتناول ثلاثة كاملة

“Bahagian ketiga: Haid yang berlaku ketika wanita itu ditalak tidak dikira dalam ‘iddahnya, tanpa sebarang perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Ini kerana Allah Ta‘ala memerintahkan beriddah selama tiga quru‘, yang bermaksud tiga kitaran haid yang lengkap.” – Tamat nukilan.

Oleh itu, haid pada tarikh 23/12/2024 adalah haid pertama untuk pengiraan iddahnya. Maka berdasarkan pendapat majoriti ulama – ‘iddahnya tidak berakhir melainkan wanita tersebut perlu melepasi dua kali haid lagi selepas haid tersebut.


Cetak  
Wallahu a'lam