SDI 1719: Bila Seseorang Disunatkan Berkahwin?

Soalan:

Ustaz bilakah seseorang disunatkan berkahwin?

Jawapan:

Seseorang disunatkan berkahwin apabila dia memiliki dua sifat, iaitulah apabila dia ada keinginan terhadap perempuan dan memiliki kemampuan menyediakan nafkah dan mahar kahwin. Dalam Zahrah al-Aqah Fi an-Nikah dinyatakan:

لِتَانِقٍ ذِيْ قُدْرَةٍ عَلَى الْمُؤَنْ - سُنَّ النِّكَاحُ لِحَدِيْثِ فِي السُّنَنْ

“Bagi yang memiliki keinginan, memiliki keupayaan menyediakan keperluan (mahar dan nafkah), disunatkan nikah berdasarkan hadis dalam k itab-kitab Sunan.”

Dua syarat ini terdapat dalam hadis Nabi SAW:

يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ، فإنَّه له وِجَاءٌ

“Wahai para pemuda, barang siapa di antara kamu mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu adalah benteng (penjaga) baginya.”

Sabda Nabi SAW: يا مَعْشَرَ الشَّبَابِ merujuk kepada orang yang pada kebiasaannya memiliki تَوَقَان atau keinginan nikah dan kedua, pada sabdaan baginda SAW: مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ yang merujuk kepada mereka yang memiliki kemampuan menyediakan nafkah. Sabda Nabi SAW: فَلْيَتَزَوَّجْ “maka hendaklah dia berkahwin”, adalah perintah sunat.

Sesiapa yang memiliki keinginan nikah dan hatinya condong kepada wanita, namun tidak memiliki keupayaan harta untuk menunaikan nafkah. Nabi SAW menganjurkan dia berpuasa yang mampu berperanan sebagai benteng menjaganya dari terjebak melakukan maksiat.

Demikian juga bagi sesiapa yang memilki kemampuan al-Ba’ah, akan tetapi tiada tawaqan kepada pernikahan, maka yang afdhal pada nisbah dirinya ialah memenuhkan masanya dengan beribadat kepada Allah. Jika tidak, dia juga disunatkan berkahwin.

Bagi sesiapa yang tidak memiliki al-Ba’ah dan tidak memiliki al-Tawaqan kepada pernikahan, maka makruh baginya berkahwin.


Cetak  
Wallahu a'lam