Soalan:
Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan anak perempuan bekas isterinya yang dilahirkan daripada lelaki lain?
Contohnya; Ahmad berkahwin dengan Laila, kemudian menceraikannya. Selepas itu Laila berkahwin dengan lelaki lain lalu melahirkan Sarah. Adakah Ahmad boleh berkahwin dengan Sarah?
Jawapan:
Tidak boleh seorang lelaki mengahwini anak perempuan bekas isterinya yang telah disetubuhinya, hasil perkahwinan dengan lelaki lain, sama ada sebelum atau sesudahnya. Al-Syeikh ‘Abdul Aziz bin Baz RH pernah ditanya:
أنا تزوجت امرأة وطلقتها، ثم تزوجت بشخص آخر وأنجبت من الزوج الثاني بنتا، فهل أكون محرما للبنت، مع أني لست محرما لأمها لأني طلقتها؟ وهل ذلك سواء كان في الطلقة الأولى أو الثانية، أو كان بعد الطلقة الثالثة؟
فأجاب: إذا كنت قد دخلت بأمها، والدخول هو الوطء، فإن بناتها من الأزواج بعدك يعتبرن من الربائب، وهن محارم لك؛ لقول الله عز وجل في بيان المحارم من النساء: (وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ)، والدخول هو الوطء كما قدمنا. أما قوله سبحانه: (اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ)، فهو وصف أغلبي، وليس بشرط، في أصح قولي العلماء؛ ولهذا قال سبحانه: (فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ)، ولم يُعد لفظ: (اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ)، ولقول النبي صلى الله عليه وسلم لأم حبيبة رضي الله عنها: (لا تعرضن علي بناتكن ولا أخواتكن) يعني بذلك للتزوج بهن، ولم يشترط في البنات اللاتي في الحجور
Soalan:
Saya telah berkahwin dengan seorang wanita dan menceraikannya. Kemudian dia berkahwin dengan lelaki lain dan melahirkan seorang anak perempuan daripada suami keduanya. Adakah saya menjadi mahram kepada anak perempuan itu, sedangkan saya bukan lagi mahram kepada ibunya kerana saya telah menceraikannya? Adakah hukumnya sama, sama ada selepas talak pertama, kedua, atau selepas talak ketiga?
Jawapan:
Jika kamu telah melakukan hubungan persetubuhan dengan ibunya, maka anak-anak wanita tersebut yang dilahirkan dari hubungan suami selepas kamu dikira sebagai anak tiri kamu, dan mereka adalah mahram bagimu. Ini berdasarkan firman Allah dalam menerangkan perempuan-perempuan yang haram dikahwini: “Dan anak-anak tiri perempuan kamu yang berada dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang telah kamu setubuhi; tetapi jika kamu belum setubuhi mereka (wanita yang kamu kahwini), maka tidak berdosa kamu mengahwini mereka (anak-anak tiri).” (An-Nisā’: 23) Al-Dukhul yang dimaksudkan ialah persetubuhan. Adapun firman Allah: “anak-anak tiri yang berada dalam pemeliharaan kamu” itu hanyalah sifat kebiasaan, bukan satu syarat, menurut pendapat paling sahih di kalangan para ulama. Oleh sebab itu, Allah berfirman berikutnya: “jika kamu belum mencampuri mereka, maka tidak berdosa atas kamu,” dan tidak mengulangi lafaz “yang berada dalam pemeliharaan kamu.” Begitu juga sabda Nabi ﷺ kepada Ummu Habibah رضي الله عنها: “Janganlah kamu menawarkan anak-anak perempuanmu (anak tiri baginda) atau saudara-saudaramu kepadaku (untuk dinikahi),” yang menunjukkan larangan berkahwin dengan anak tiri atau ipar dan baginda tidak mensyaratkan tegahan tersebut hanya kepada anak tiri yang dalam penjagaan baginda.” (Majmū‘ Fatāwā Ibn Bāz (21/14–15))
Kata al-Syaikh Ibn ‘Uthaimin RH:
فروع الزوجة على الزوج، وهنا لا بد من الدخول، فإذا حصل دخول فبناتها من زوج قبله، أو بعده حرام عليه تحريمًا مؤبدًا
Maksudnya: (Termasuk dalam wanita yang diharamkan) Furu’ isteri (anak, cucu cicit isteri dan seterusnya) ke atas suaminya. Dalam hal ini, mestilah telah berlaku persetubuhan (الدخول). Maka, jika telah berlaku persetubuhan, maka anak-anak perempuan isteri itu, sama ada daripada suami sebelumnya atau selepasnya adalah haram (mahram) selama-lamanya ke atas suami tersebut.” (al-Syarḥ al-Mumti’ ‘alā Zād al-Mustaqni‘, jil. 12, hlm. 128 oleh Ibn ‘Uthaymīn (w. 1421H)