SDI 1906: Hukum Wanita Dalam Iddah Kematian Keluar Rumah Kerana Ada Urusan

Jawapan:

Dibolehkan bagi wanita yang berada dalam ‘iddah kerana kematian suami untuk keluar dari rumah bagi suatu keperluan (hajah) atau darurat, namun dengan beberapa syarat:

  1. Tidak sesiapa yang boleh membantunya menunaikan keperluannya bagi pihaknya.
  2. Keluar itu sekadar tempoh yang singkat menurut kebiasaan, tanpa berlebih-lebihan atau melengah-lengahkan masa.
  3. Keadaan aman terhadap dirinya yang tidak akan menimbulkan sebarang keburukan.
  4. Tempat yang ditujui itu dekat dengannya menurut adat kebiasaan.

Disebutkan dalam Tuhfah al-Muhtaj (8/261–262):

ولها الخروج في عدة وفاة، وكذا بائن بفسخ أو طلاق في النهار لشراء طعام، وبيع أو شراء غزل ونحوه كقطن، ولنحو احتطاب إن لم تجد من يقوم لها بذلك، وذلك لخبر مسلم أنه صلى الله عليه وسلم أذن لمطلقة ثلاثا أن تخرج لجذاذ -أي قطاف- نخلها. وقيس به غيره. قال الشافعي رضي الله عنه: ونخل الأنصار قريب من دورهم، ويؤخذ منه تقييد نحو السوق والمحتطب بالقريب من البلد المنسوب إليها، وإلا فيظهر أنها لا تخرج إليه إلا لضرورة، ولا تكفي الحاجة، ومحله إن أمنت. وكذا لها الخروج ليلا إلى دار جارة بشرط أن تأمن على نفسها يقينا، ويظهر أن المراد بالجار هنا الملاصق أو ملاصقة ونحوه، لغزل، وحديث، ونحوهما، لكن بشرط أن يكون زمن ذلك بقدر العادة، وأن لا يكون عندها من يحدثها ويؤنسها على الأوجه، وأن ترجع وتبيت في بيتها لإذنه صلى الله عليه وسلم في ذلك، كما في خبر مرسل اعتضد بقول ابن عمر رضي الله عنهما بما يوافقه

“Wanita yang berada dalam ‘iddah kematian dibenarkan keluar pada siang hari, demikian juga wanita dalam ‘iddah bain kerana fasakh atau talak, untuk membeli makanan, menjual atau membeli benang dan seumpamanya seperti kapas, serta untuk mencari kayu api dan seumpamanya, sekiranya dia tidak mendapati ada orang lain yang boleh melakukannya bagi pihaknya. Hal ini berdasarkan hadis Muslim bahawa Nabi mengizinkan seorang wanita yang ditalak tiga untuk keluar memetik (menuai) buah kurmanya. Maka perkara selainnya diqiyaskan dengannya.

Al-Imam al-Syafi‘i رحمه الله berkata: Kebun kurma orang Ansar dekat dengan rumah-rumah mereka. Daripadanya diambil kefahaman bahawa keluar ke tempat seperti pasar atau tempat mencari kayu api diikat dengan syarat dekat dengan kawasan yang dinisbahkan kepadanya. Jika tidak, maka yang zahirnya dia tidak boleh keluar kecuali kerana darurat, dan ada keperluan (hajah) semata-mata tidak mencukupi. Hal ini juga dengan syarat dia berada dalam keadaan aman. Demikian juga dia dibenarkan keluar pada waktu malam ke rumah jiran dengan syarat yakin aman terhadap dirinya. Yang dimaksudkan dengan jiran di sini ialah yang bersebelahan atau hampir dan seumpamanya, untuk tujuan seperti memintal benang, berbual, dan seumpamanya, dengan syarat tempohnya sekadar kebiasaan, dan tidak ada di sisinya orang yang boleh menemani berbicara dengannya dan menghiburkannya menurut pendapat yang lebih kuat (Awjuh). Dia hendaklah dia pulang dan bermalam di rumahnya, berdasarkan keizinan Nabi dalam perkara tersebut, sebagaimana dalam satu hadis mursal yang dikuatkan dengan pendapat Ibn ‘Umar رضي الله عنهما yang selari dengannya.”


Cetak  
Wallahu a'lam