Soalan:
Saya ada masalah dgn isteri. Dia tidak menghormati saya dan mcm2 masalah lagi. Kadang2 saya terfikir nak minta balasan dikenakn kpdnya. Apa hukum ust?
Jawapan:
Doa keburukan dari seorang suami terhadap isteri yang buruk akhlaknya termasuk dalam doa yang tidak akan dimaqbulkan oleh Allah SWT. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
ثلاثة يدعون الله، فلا يستجاب لهم: رجل كانت له امرأة سيئة الخلق فلم يطلقها، ورجل كان له على رجلٍ مال فلم يشهد عليه، ورجل أعطى سفيهاً ماله، وقد قال عزّ وجل: (وَلا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ) [النساء:5].
Maksudnya: "Tiga golongan yang berdoa kepada Allah, namun tidak diperkenankan untuk mereka: seorang lelaki yang memiliki isteri yang buruk akhlak, namun tidak menceraikannya. Seorang lelaki yang memberi hutang kepada seorang lelaki lain, namun tanpa disertai saksi. Seorang lelaki yang menyerahkan seorang safih (bodoh) akan hartanya. Sedangkan Allah telah berfirman: "dan jangan kamu serahkan kepada orang-orang sufaha' akan harta mereka" (alNisaa':5 - hadis ini dinilai Sahih oleh alHakim dan alAlbani)
Hadis ini menunjukkan doa seorang suami yang meminta keburukan untuk isterinya disebabkan buruk akhlak siisteri tidak diterima oleh Allah SWT. Ini kerana sisuami tersebut memiliki kuasa untuk menceraikan isterinya yang buruk akhlak tersebut.
Kepada penyoal, pilihlah antara dua pilihan yang ada:
i) Bersabar dengan buruk akhlak dan adab isteri. Anda akan beroleh pahala yang besar di sisi Allah, Nabi SAW brsabda:
لا يفرك مؤمن مؤمنة، إن كره منها خلقا رضى منها آخر.
Maksudnya: "jangan seorang lelaki beriman membenci seorang wanita beriman (isterinya). Jika dia tidak suka kepada isterinya itu disebabkan satu akhlak buruk yang ada padanya, redhalah dengan akhlak baiknya yang lain." (Muslim di dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah)
Namun jika sisuami telah berusaha untuk sabar, tetapi gagal. Maka jalan keluar bagi mengelak berlaku perkara yang lebih buruk ialah dengan memilih pilihan kedua iaitulah:
ii) Mentalak atau menceraikan isteri. Sesungguhnya talak suatu yang dibenarkan di dalam agama.
Jika seseorang suami tak dapat bersabar dengan akhlak buruk isteri, namun tetap sanggup hidup bersamanya, dalam masa yang sama berniat untuk melakukan sesuatu yang tidak wajar seperti mendoakan keburukan, maka doanya tersebut tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. alMunawi ketika mensyarahkan hadis tentang tiga golongan yang tidak dimakbulkan doanya di atas menyebut:
ثَلَاثَة يدعونَ الله عز وَجل فَلَا يُسْتَجَاب لَهُم، رجل كَانَ تَحْتَهُ امْرَأَة سَيِّئَة الْخلق) بِضَمَّتَيْنِ (فَلم يطلقهَا) فَإِذا دَعَا الله تَعَالَى عَلَيْهَا لَا يُسْتَجَاب لَهُ؛ لِأَنَّهُ المعذب نَفسه بمعاشرتها
Maksudnya: "Tiga golongan yang berdoa kepada Allah azza wa jalla, namun tidak diperkenankan untuk mereka: seorang lelaki yang memiliki seorang isteri yang keji akhlaknya, namun tidak mentalakkan isteri tersebut..." iaitulah apabila sisuami meminta kepada Allah mengenakan keburukan untuk isteri, permintaannya itu tidak akan diperkenankan, kerana dia menyiksa dirinya sendiri dengan merelakan hidup bersama isteri yang berakhlak keji tersebut."