عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِك أنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عُلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِرَأْسِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ يَوْمَ سَابِعِهِمَا فَحُلِقَا وَتَصَدَّقَ بِوَزْنِهِ فِضَّةً
Mafhumnya: “Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW mencukur kepala al-Hasan dan al-Husain pada hari ke-tujuh kelahiran mereka berdua, dan baginda bersedekah perak berdasarkan berat timbangan rambut tersebut.” (HR al-Tirmizi, al-Baihaqi dan al-Hakim)
- Cukur kepada bayi didahulukan sebelum menyembelih korban. Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata: “Untuk dibezakan dengan ibadah haji, dimana di dalam haji disunatkan menyembelih korban selepas itu baru bercukur.”
- Dilarang dari melakukan al-Qaza’[1] (القَزَعُ). Daripada ‘Umar bin Nafi’, daripada bapanya, daripada Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhu yang berkata:
نَهَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ القَزَعِ
Mafhumnya: Rasulullah SAW melarang dari melakukan al-Qaza’ (القَزَعُ). Kata ‘Umar bin Nafi’, saya bertanya kepada Nafi’: “Apakah itu al-Qaza’?”. Beliau menjawab: “Dicukur sebahagian (rambut) kepala bayi, dan ditinggalkan sebahagian.”[2] (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata:
Al-Qaza’ ada empat jenis:
- Mencukur dibeberapa tempat (di kepala) dan membiarkan rambut di tempat yang lain seperti tompokan awan.
- Mencukur rambut di bahagian tengah kepala dan membiarkan di kedua bahagian tepi kepala.
- Mencukur rambut di bahagian tepi kepala dan membiarkan rambut di tengah-tengah kepala (seperti Punk)
- Mencukur di bahagian depan dan membiarkan rambut di sebelah belakang. Semua empat jenis ini termasuk al-Qaza’ yang dilarang oleh Nabi SAW.
- Empat jenis al-Qaza’ yang disebut oleh al-Imam Ibn al-Qayyim ini adalah yang berlaku di zaman beliau. Namun sebahagian umat Islam hari ini ada juga yang mencukur rambut anak-anak mereka di bahagian belakang dan meninggalkan rambut di bahagian depan atau ubun-ubun. Ini juga termasuk al-Qaza’ yang dilarang oleh Nabi SAW, berdasarkan maksud yang diberikan oleh Nafi’. Wallahu a’lam.
----------------------------------
[1] Al-Qaza’ (القزع) ialah perbuatan mencukur sebahagian rambut kepala dan meninggalkan sebahagian.
[2] Lihat Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi