SDI 0710: Sunnah Pada Hari Ke-7 Kelahiran Dan Hukum Buat Kenduri Akikah

 
Soalan: 
 
Assalamualaikum Ustaz, berkenaan ibadah aqiqah. Saya memahami ianya sunnah dilakukan pada hari ke7 selepas kelahiran bayi. Boleh saya tahu apakah sunnah sunnah yg dilakukan pada hari tersebut? Sekiranya saya tidak berkesempatan melakukan kenduri pada hari tersebut, adakah cukup untuk melakukan sembelihan aqiqah pada hari tersebut. Terima kasih. Jaza kallahu khairan kathira...
 
Jawapan:
 
Waalaikumussalam warahmatullah. 
 
Antara sunnahb lain pada hari yang ke tujuh kelahiran ialah: 
 
1) Memberikan nama kepada bayi. Daripada 'Aishah RA katanya: 
 
"Rasulullah SAW menyembelih akikah alHasan dan alHusain pada hari ketujuh (kelahiran) dan baginda memberika nama kepada mereka berdua." (Ibn Hibban 12/127, alHakim 4/264 dan dinilai Sahih oleh alHafidz Ibn Hajar di dalam alFath 9/589) 
 
Memberi nama kepada anak juga sunat dilakukan pada hari pertama kelahiran, berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA katanya: "Sabda Nabi SAW: "Dilahirkan untukku seorang anak pada malam ini, maka aku namakan anakku itu dengan nama moyangku Ibrahim (Nabi Ibrahim)..." (Riwayat Muslim) 
 
2) Mencukur rambut bayi, berdasarka hadis:
 
كُلُّ غُلَامٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ ، وَيُسَمَّى فِيهِ، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
 
Maksudnya: "Setiap anak tertebus dengan akikahnya, disembelih akikah itu pada hari ketujuh, diberikan nama dan dicukur kepalanya." (Riwayat alTirmizi 1522 dan Abu Daud 3838. Dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam Irwa' alGhalil 1165) 
 
Sunat juga menimbang rambut bayi yang dicukur dan disedekahkan menurut nilai perak. Jika disedekah menurut nilai emas juga tidak mengapa. Daripada Ali bin Abi Talib RA, katanya:
 
عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الحَسَنِ بِشَاةٍ، وَقَالَ: (يَا فَاطِمَةُ، احْلِقِي رَأْسَهُ ، وَتَصَدَّقِي بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً) ، قَالَ: فَوَزَنَتْهُ فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ
 
Maksudnya: "Rasulullah melaksanakan akikah Hasan dengan seekor kambing. Baginda bersabda: "Wahai Fatimah, cukur kepalanya dan bersedekahlah menurut nilai perak timbangan rambutnya." Kata Ali: "Maka aku menimbangnya (rambut alHasan), rambutnya seberat satu dirham atau sebahagian dirham.) (HR alTirmizi 1519. Dinilai Hasan oleh alAlbani di dalam Sahih alTirmizi
 
Namun semua anjuran ini adalah dalam bentuk sunat bukan wajib. Jika dibuat pada hari-hari lain juga tidak mengapa. Sunat akikah adalah menyembelih kambing, makan sendiri, menghadiahkan kepada adik-beradik, jiran-tetangga dan sedekahkan kepada orang miskin, sama sepertimana dilakukan terhadap daging korban. Inilah sunnah akikah dan tidak semestinya dibuat kenduri. Bahkan sebahagian ulama menghukumkan Makruh buat kenduri dari akikah. Namun jika dibuat kenduri juga akikah tersebut tetap Sah. Sebahagian ulama menganjurkan buat kenduri akikah jika ia bebas dari sikap angkuh.

Cetak  
Wallahu a'lam