SDI 0690: Hukum Bersama Isteri Selepas Kering Darah Haid Sebelum Mandi

Soalan: 
 
Kawan saya bgtahu, kita tak boleh bersama dgn isteri yg baru lepas kering haid, melainkan stlh siisteri mandi dari haid. Klu tidak dikira berdosa, betul kah ustaz? Selama ni saya bersma dgn isteri saya sblm dia mandi junub, apa yg perlu saya buat? 
 
Jawapan: 
 
Pandangan yang kawan saudara sebut itu adalah pandangan majoriti ulama. Iaitulah seorang wanita yang berhaid jika telah berhenti darah haidnya, tidak boleh bagi suaminya menyetubuhinya melainkan setelah siisteri mandi mengangkat hadas besar terlebih dahulu. Mereka berdalil dengan firman Allah SWT:
 
فاعتزلوا النساء في المحيض، ولا تقربوهن حتى يطهرن، فإذا تطهرن فأتوهن من حيث أمركم الله، إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين
 
Maksudnya: "Maka jauhilah para wanita ketika mereka berhaid, jangan kamu semua mendekati mereka sehinggalah mereka suci. Apabila mereka telah bersuci, maka datangilah mereka seperti yang diperintahkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah sayangkan orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang membersihkan diri." (AlBaqarah: 222) 
 
Manakala sebahagian ulama fuqaha lain berpandangan memadai bagi siisteri tersebut boleh disetubuhi oleh suaminya dengan membasuh kemaluannya sahaja setelah berhenti darah haid. Tidak wajib dia mandi mengangkat hadas besar terlebih dahulu. Inilah pandangan yang dipilih oleh Dr. Yusuf alQaradhawi. Saya akan jelaskan di bawah nanti. 
 
Selain itu, bagi ulama mazhab Hanafi pula, mereka ada pendetailan. Mereka berpandangan haid isteri yang berhenti kurang dari 10 hari, tidak halal bagi sisuami menyetubuhinya, sehinggalah siisteri terlebih dahulu mandi mengangkat hadas, atau berlalu waktu solat. Jika darah haid berhenti setelah 10 hari, boleh pula siisteri disetubuhi sebelum mandi, berdasarkan firman Allah SWT:
 
حتى يطهرن
 
Maksudnya: "sehinggalah mereka (para isteri) suci" iaitulah sehingga berhenti haid. Ini kerana wanita yang haidnya berhenti selepas 10 hari adalah dikira telah suci dengan berhentinya darah. Dalam qiraat lain ada yang membaca dengan tasydid, menjadikan para ulama mazhab Hanafi memahaminya dengan maksud sehingga siisteri mandi. Ini kerana haid yang berhenti kurang dari 10 hari (tempoh paling lama haid di sisi mereka) tidak dikira wanita itu telah suci dengan berhenti darah sahaja. Ini kerana ada kemungkinan darah haid datang semula. Apabila mereka mandi atau masuk waktu solat, maka barulah mereka dikira sebagai suci. 
 
Namun Ibn Hazm memiliki pandangan yang menarik dalam masalah ini. Seperti yang saya nyatakan di atas bahawa Dr Yusuf alQaradhawi memilih pandangan Ibn Hazm ini. Di bawah ini saya jelaskan secara ringkas pandangan Ibn Hazm tersebut: 
 
Beliau berpandangan, wanita berhaid apabila mendapati haidnya telah berhenti, harus pula bagi sisuami menyetubuhinya, apabila wanita itu melakukan SALAH SATU dari tiga perkara ini: 
 
1) Mandi, iaitulah meratakan air ke seluruh badannya (mandi hadas) atau bertayammum jika dia dari kalangan mereka yang dibolehkan tayammum. Ini telah ijma'. 
2) Berwudhu' sepertimana wudhu solat. Atau tayammum jika dia dari kalangan mereka yang diharuskan tayammum. 
3) Membasuh kemaluan dengan air. 
 
Maka mana-mana SALAH SATU perkara di atas yang dilakukan oleh seseorang wanita setelah berhenti haidnya, menjadi halal sisuami menyetubuhinya. Kata Ibn Hazm: 
 
"Bukti dalam perkara ini adalah firman Allah Taala: "Maka jauhilah wanita ketika mereka berhaid, dan jangan menghampiri (menyetubuhi) mereka sehinggalah mereka suci. Apabila mereka bersuci, datangilah mereka (setubuhilah mereka) sepertimana yang diperintahkan oleh Allah." (alBaqarah: 222) 
 
Firman Allah yang bermaksud: "...sehingga mereka suci..." maknanya sehingga berhasil kepada mereka suci, iaitulah tiada lagi haid. Manakala firman Allah yang bermaksud: "Maka apabila mereka telah bersuci" ia adalah sifat bagi perbuatan mereka (wanita yang telah berhenti haid). Maka setiap (dari tiga perkara) yang kami nyatakan (berwudhu, bertayammum atau basuh kemaluan), dinamakan di dalam syari'at sebagai bersuci (تطهّرا، طهورا وطهرا) iaitulah mana-mana (dari tiga perkara yang disebut sebelum ini) yang dilakukan, maka wanita itu dikira telah bersuci (yang dibolehkan untuk disetubuhi). Allah berfirman:
 
فيه رجال يحبون أن يتطهروا
 
Maksudnya: "...Di situ terdapat beberapa orang lelaki yang suka bersuci." (alTaubah: 108) Ayat alQuran ini secara nas dan ijma' memaksudkan orang-orang lelaki (di Quba') yang membasuh kemaluan qubul dan dubur dengan air (apabila buang air). Sabda Nabi SAW pula:  "Dan dijadikan untuk ku bumi itu sebagai tempat solat dan alat bersuci." Telah sahih juga bahawa tayammum untuk junub dan untuk hadas itu adalah bersuci. Firman Allah Taala: "dan jika kamu berjunub maka bersucilah." Sabda Nabi SAW: "Allah tidak menerima solat tanpa bersuci." Sesiapa yang berpada hanya dengan firman Allah: "maka apabila mereka telah bersuci" lalu menjadikan mereka memahami mesti mandi dengan membasuh seluruh tubuh (mandi hadas), tidak boleh hanya berwudhu' atau tayammum atau membasuh kemaluan dengan air sahaja. Maka sesungguhnya dia telah meneka sesuatu yang dia tidak memiliki ilmu padanya, dan dia telah mendakwa bahawa Allah Taala menghendaki makna sebahagian dari apa-apa makna yang terkandung dalam firmannya tanpa bukti dari Allah Taala." 
 
Kata Ibn Hazm lagi: "Dan kalaupun Allah Taala menghendaki dengan firmanNya "(maka apabila) mereka telah bersuci" membawa maksud sebahagian (dari cara bersuci bukan kesemuanya) bukan keseluruhannya, mengapa pula nabi tidak menjelaskannya? Jika mereka berkata: "Pandangan kami ini (boleh setubuhi isteri yang berhenti haid hanya setelah mereka mandi) adalah lebih ahwath atau berhati-hati." Kami katakan: "Amat jauh bagi Allah (dari perkara tersebut), sebaliknya yang lebih berhati-hati adalah kita tidak mengharamkan ke atas sisuami apa-apa yang telah dihalalkan oleh Allah Azza wa jalla, dari persetubuhan tanpa sesuatu yang pasti."
 
Kata beliau lagi: "Tidak terdapat bukti dari seorang sahabatpun dalam permasalahan ini. Tidak juga kami ketahui dari seorang tabi'en sama sekali, melainkan daripada Salim bin Abdillah, Sulaiman bin Yasar, alZuhri dan Rabi'ah yang berpandangan tidak boleh seorang suami menyetubuhi isterinya yang baru berhenti haid sehinggalah isterinya mandi terlebih dahulu. Pandangan mereka ini tidak memilikk hujjah sekalipun jika pandangan mereka ini sahaja yang ada. Maka bagaimana pula apabila terdapat tokoh-tokoh lain yang seumpama mereka yang berbeza dengan pandangan mereka ini?" 
 
Kata beliau lagi: "Antara tokoh yang berpandangan seperti pandangan kami ini ialah 'Ato', Towus, Mujahid dan pandangan ashab-ashab kami." Setelah menyertakan hujah-hujah Ibn Hazm ini di dalam fatwanya, Dr Yusuf alQaradhawi berkata: 
 
"Illah larangan menghampiri (menyetubuhi) wanita haid adalah disebabkan kewujudan darah haid dengan pernyataan dari ayat alQuran. Oleh kerana itu dikaitkan perintah menjauhi isteri kerana adanya darah (kotoran) tersebut dengan huruf (ف) (فاعتزلوا النساء في المحيض), apabila berhenti darah haid, maka telah berhenti kotoran tersebut yang menjadi punca larangan. Maka hukum menurut sebabnya sama ada ada atau tiada. Maka memadai seorang isteri itu membasuh kemaluannya dari kesan darah untuk menjadikan dia sebagai seorang isteri yang suci (yang boleh disetubuhi menurut yang dinyatakan di dalam alQuran) seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hazm di mana siisteri itu boleh menjadi suci (boleh disetubuhi) sama ada dengan mandi atau berwudhu atau membasuh kemaluan seperti maksud yang terkandung dari ayat 108 dari surah alTaubah. Ianya sesuai bagi wanita yang berhaid." (Fatwa al-Qaradhawi atas talian: https://fatwa.islamonline.net/19667 )

Cetak  
Wallahu a'lam