Harus seorang isteri yang kaya mengeluarkan zakatnya kepada suaminya, jika si suami termasuk dalam kalang asnaf yang berhak menerima zakat. Inilah pandangan majoriti fuqaha' seperti al-Thauri, al-Syafie, dua orang sahabat Abu Hanifah, salah satu pandangan Malik dan Ahmad. Dalil keharusan ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Sa'ied al-Khudri RA yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لما أمر النساء بالصدقة ، جاءت زينب امرأة عبد الله ابن مسعود وقَالَتْ : يَا نَبِيَّ اللَّهِ ، إِنَّكَ أَمَرْتَ الْيَوْمَ بِالصَّدَقَةِ وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ ، فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : (صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ ، زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِمْ
maksudnya: "Bahawa Nabi SAW ketikamana mengarahkan para wanita mengeluarkan zakat mereka. Datang Zainab, isteri kepada 'Abdullah bin Mas'ud dan berkata: "Wahai Nabi Allah, sesungguhnya pada hari ini dikau telah mengarahkan mengeluarkan zakat. Bersama denganku ada barang perhiasan milikku, daku hendak mengeluarkan zakat dengannya. Lalu Ibn Mas'ud (suamiku) mendakwa bahawa dia dan anak-anaknya lebih berhak diberikan zakat tersebut." Jawab Nabi SAW: "Benar apa yang dikatakan oleh Ibn Mas'ud (suamimu itu). Suamimu dan anakmu adalah lebih berhak kamu serahkan zakat itu kepada mereka."
Kata al-Hafidz Ibn Hajar: "Dengan hadis ini dijadikan dalil seorang isteri boleh memberi zakat kepada suaminya. Inilah pandangan al-Syafie, al-Thauri, dua orang sahabat Abu Hanifah (Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani) dan salah satu riwayat dariapda Malik dan Ahmad. Hal ini dikuatkan lagi dengan ketiadaan penerangan berada pada kedudukan umum. Iaitulah ketikamana disebutkan sedekah (berdasarkan lafaz hadis), namun tidak diperincikan sama ada sedekah sunat atau wajib (zakat), maka seperti baginda bersabda: "Memadai (sah) sedekah sunat atau wajib (zakat) dari kamu (kepada suami dan anak-anak)."
Hukum ini khusus pemberian zakat dari seorang isteri kepada suami. Adapun suami tidak boleh memberi zakat kepada isterinya sehinggakan Ibn al-Munzir mendakwa telah berlaku ijmak dalam tegahan ini dengan katanya:
أَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ الرَّجُلَ لا يُعْطِي زَوْجَتَهُ مِنْ الزَّكَاةِ لأَنَّ نَفَقَتَهَا وَاجِبَة عَلَيْهِ فَتَسْتَغْنِي بِهَا عَنْ الزَّكَاةِ
maksudnya: "Para ulama telah ijmak bahawa seorang lelaki tidak boleh memberi zakat kepada isterinya, kerana nafkah isteri menjadi tanggungjawab ke atas suami, maka isteri diberikan nafkah bukan zakat."