Soalan berikutnya: "Apakah jatuh derhaka anak menantu, jika berdebat dengan kedua orang tua yang terlalu terikat dengan Amalan khurafat seperti menggantung minyak-minyak di setiap pintu rumah, menggantung bubu ikan di hadapan pintu mengharap dipermudahkan rezeki serta berdebat tentang kewajipan solat yang dianggap tidak penting. Mohon pencerahan."
Jawapan:
Pertama sekali saya cadangkan, saya nasihatkan kepada sesiapa yang menghadapi masalah seperti ini dengan mertua, saya nasihatkan cuba hadapi permasalahan itu dengan cara, dalam suasana yang harmoni. Maksudnya, kita tak semestinya berdebat, tetapi kita boleh dalam bentuk nasihat, kita boleh dalam bentuk ajakan yang lembut dan lunak.
Pertama sekali usahakan jangan menantu yang cakap hal tersebut. Akan tetapi anak sendiri, anak kepada mertua kita sendiri yang cakap. Kita minta pasangan kita yang cakap. Kerana dia memikul tanggungjawab yang lebih berat berbanding kita sebagai menantu. Anak memiliki tanggungjawab yang lebih berat untuk memperbaiki apa-apa kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tua dia.
Apa pun, siapa jua orang tua kita, sama ada dia buat amalan-amalan tersebut dengan iktikad-iktikad yang salah, wajib ke atas setiap anak menjalinkan hubungan yang baik dalam urusan dunia dengan kedua ibu bapanya. Wajib dia berbakti kepada kedua ibubapanya dalam urusan dunia. Adapun dalam urusan akhirat, dalam urusan agama, yang mana kedua ibu-bapanya memiliki kefahaman-fahaman yang salah. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memperbaiki, menjadi tanggungjawab anak maksud saya, menjadi tanggungjawab anak untuk menasihati dan dengan cara yang baik, agar kedua orang tuanya kembali ke jalan yang lurus.
Dalam masa yang sama, jika menantu nak membantu, nak memberi sumbangan dalam dakwah, semua Itu adalah kerja dakwah. Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah memerintahkan Nabi Musa untuk bercakap dengan Firaun dengan bahasa yang lembut dan baik قولا لينا dengan bahasa yang lembut Allah Taala perintahkan kepada Nabi Musa untuk bercakap kepada Firaun. Kesalahan Firaun lebih besar. Kesalahan Firaun mengaku diri sebagai Tuhan. Dalam masa yang sama, Allah memerintahkan Nabi Musa untuk bercakap kepada Firaun dengan bahasa yang lembut.
Maka Begitulah kita, bila kita nak berhadapan dengan kedua orang tua kita, walaupun mereka melakukan kesalahan dalam bentuk keyakinan-keyakinan agama, maka mereka memerlukan bimbingan dan kesabaran dari kita untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan. Percayalah di sebalik semua usaha yang kita lakukan untuk orang tua kita, ada pahala yang berlipat kali ganda di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semua kesabaran yang kita pikul untuk memperbaiki, memperbetulkan ibu bapa kita, kita dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berbuat baiklah kepada mereka, bimbinglah mereka jika benar mereka tersilap dalam persoalan agama.