SDI 1391: Hukum Isteri Membawa Jenazah Suami Ke Kubur Dan Hukum Isteri Ke Masjid

Soalan: > Matzin Musa:

Assalamualaikum...ustaz.

1. Bolehkah isteri mengiringi jenazah suami ke kubur?

2. Apakah hukum isteri ke masjid atau surau utk solat berjemaah.

Terima kasih ustaz atas pencerahannya

Jawapan:

Seorang isteri tidak boleh mengiringi jenazah suami ke kubur, kerana seorang isteri tidak diperintahkan melakukan hal tersebut. Ia bukan satu tuntutan. Dalam masa yang sama terdapat perintah kepada seorang isteri yang kematian suami untuk kekal di dalam rumah, kerana mematuhi perintah ALlah untuk beriddah selama empat bulan 10 hari. Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya:  “Dan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan kamu semua, dan dia meninggalkan isteri, hendaklah para isteri itu beriddah selama empat bulam 10 hari…” (al-Baqarah: 234)

Soalan kedua: Apakah hukum isteri ke masjid atau surau utk solat berjemaah.

Jawapan:

Diharuskan seorang isteri menunaikan solat berjemaah di masjid. Bahkan sabit dari hadis Nabi SAW yang melarang para suami menghalang isteri pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Nabi SAW bersabda:

لا تَمْنَعُوا إماءَ اللهِ مساجِدَ اللهِ، ولَكِنْ لِيَخْرُجْنَ و هنَّ تَفِلاتٌ

Maksudnya: “Jangan kamu semua  (orang lelaki) menghalang para wanita dari masjid-masjid ALlah. Akan tetapi hendaklah para wanita keluar ke masjid dalam keadaan tafilat.

Kalimah Tafilat bermaksud menjauhi wangian dan perhiasan tabarruj agar tidak menimbulkan keburukan kepada orang lelaki yang pada kebiasaannya mudah tertarik kepada wanita.

Hadis ini membicarakan hukum khas bagi wanita yang hendak ke masjid. Mereka hendaklah memiliki hisymah (الحشمة) iaitu perasaan malu dan menghiaskan diri dengan akhlah yang terpuji termasuk menjauhi perhiasan dan sentiasa menjadi diri dan menjauhi perkara yang boleh menimbulkan syahwat.

Terdapat bukti dari hadis lain, tegahan Nabi SAW kepada para suami ini termasuk untuk para isteri keluar ke masjid pada malam hari seperti untuk menunaikan solat ‘Isyak dan Subuh. Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar, bahawa Nabi SAW bersabda:

إذا استأْذَنَكُمْ نِساؤُكُم باللَّيلِ، فأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya:  “Apabila para isteri kamu meminta izin untuk ke masjid pada malam hari, maka izinkanlah kepada mereka.”

Namun hal ini mestilah jika bebas dari sebarang keburukan.


Cetak  
Wallahu a'lam