SDI 1639: Hukum Seorang Suami Menghalang Isteri Berhubung Dengan Adik-Beradiknya

Soalan:

Bolehkah seorang suami menghalang seorang isteri berhubung dengan adik beradiknya sendiri atas alasan tidak suka?

Jawapan:

Seorang suami tidak boleh menghalang seorang isteri berhubung dengan adik-beradiknya atau mana-mana ahli keluarga siisteri. Melainkan ada sebab-sebab yang dibenarkan di dalam agama. Di dalam al-Syarh al-Soghir oleh al-Dardir RH dinyatakan:

وَلَيْسَ لَهُ مَنْعُ أَبَوَيْهَا وَوَلَدِهَا مِنْ غَيْرِهِ أَنْ يَدْخُلُوا لَهَا، وَكَذَا الْأَجْدَادُ, وَوَلَدُ الْوَلَدِ, وَالْإِخْوَةُ مِنْ النَّسَبِ

Maksudnya: “Dan suami tidak boleh menghalang kedua orang tua isteri dan anak isteri dari menziarahinya, demikian juga datuk dan nenek, cucu dan adik beradik dari nasab.”

Di dalam Manh al-Jalil Syarh Mukhtasar Khalil dinyatakan pula:

وَرَوَى ابْنُ أَشْرَسَ وَابْنُ نَافِعٍ إنْ وَقَعَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِ امْرَأَتِهِ كَلَامٌ فَلَيْسَ لَهُ مَنْعُهُ مِنْهَا

Maksudnya: “Ibn Asyras dan Ibn Nafi’, jika berlaku masalah antara seseorang lelaki dengan adik-beradik isterinya, maka dia tidak boleh melarang adik-beradik isteri itu dari menziarahi/berhubung dengan isterinya.”

Maka berdasarkan nukilan-nukilan ini menunjukkan jika seseorang suami melarang isterinya berhubung dengan adik-beradiknya, tidak wajib ke atas siisteri mentaatinya. Hal ini kerana ketaatan kepada makhluk hanyalah dalam perkara yang makruf. Tiada ketaatan dalam perkara maksiat, sedangkan memutuskan silatur rahim adalah termasuk di dalam dosa-dosa besar.


Cetak  
Wallahu a'lam