Soalan:
Saya telah berkahwin dua tahun yang lalu. Sekarang mempunyai seorang anak berumur 9 bulan. Saya seorang wanita bekerjaya. Masalah saya ustaz, Suami langsung tidak membantu dalam kerja-kerja rumah. Bila saya berungut dengan kerja-kerja rumah yang berlambak. Suami sering mengugut dengan katanya: “Kalau tak larat buat kerja rumah, berhenti sahaja dari bekerja.” Soalan saya, bolehkah suami saya mengugut saya sedemikian rupa? apakah kerja-kerja memasak dan membasuh masih di bawah tanggungjawab saya? Dan tidakkah menjadi kesalahan kepada suami saya yang langsung tidak membantu dalam melakukan kerja-kerja rumah?
Jawapan:
Puan, termasuk dalam keindahan berumah-tangga apabila wujud ketenangan dan keharmonian bersama pasangan. Setiap pasangan mesti berusaha menjauhi sebarang bentuk suasana pertikaian dan soal-mempersoalkan sesama mereka. Justeru untuk memastikan suasana ini wujud, Agama Islam telah meletakkan peraturan yang perlu diketahui oleh setiap pasangan. Para ulama berbeza pandangan, ke atas siapakah kerja-kerja rumah itu dipertanggungjawabkan. Berdasarkan pandangan yang lebih kuat, kerja-kerja rumah adalah terpikul di atas bahu seorang isteri, bahkan ia termasuk di dalam tugas asal seorang isteri jika dia berkahwin iaitulah berkhidmat untuk suaminya. Manakala seorang suami pula bertanggungjawab mencari rezeki dan menjamin keberlansungan nafkah untuk keluarga. Sila rujuk soal-Jawab Kerja-Kerja Rumah Tugas Siapa?
Namun, seorang suami yang baik, sudah tentu tidak akan membebankan isterinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan. Bahkan dia bersedia membantu isteri dalam menguruskan kerja-kerja rumah tangga. Inilah akhlak yang dicontohkan oleh Nabi SAW. Hal ini juga dapat mengerat hubungan dan memperteguhkan lagi rasa kasih sayang sesama pasangan.
Oleh yang demikian, setiap pasangan hendaklah berusaha menjauhi wujudnya hubungan antara mereka seperti seorang pengarah dengan orang yang diarahkan. Seseorang suami pula tidak boleh marah kepada isterinya yang tidak mampu melakukan sesuatu kerja rumah, sebaliknya dia sendiri bersedia membantu isterinya dalam melakukan kerja tersebut.
Berkaitan dengan kerjaya puan. Sememangnya suami puan ada hak untuk mengarahkan puan berhenti bekerja, dan puan wajib mentaatinya. Hal ini kerana seorang isteri wajib mentaati suaminya dalam perkara perkara yang bukan maksiat. Maka arahan supaya berhenti kerja bukan suatu maksiat, puan pula tidak dibebankan dengan kewajipan mencari rezeki, apatah lagi jika arahan suami puan tersebut dapat mengharmonikan rumah tangga. Abu Hurairah RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:
إذا صلت المرأة خمسها، وصامت شهرها، وحصنت فرجها، وأطاعت بعلها دخلت من أي أبواب الجنة شاءت
Maksudnya: “Apabila seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, memelihara kemaluannya, taat kepada suaminya, dia akan masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.” (Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya)