Soalan:
Apa hukum seorang anak yang mengetahui namanya dibinkan kepada bukan bapa sebenarnya, tetapi dia tetap tidak mahu mengubah bin nya kepada bapa sebenarnya?
Jawapan:
Banyak implikasi hukum jika seseorang tidak dibinkan kepada bapa sebenar. Antaranya ia membabitkan hukum-hakam mahram, isu perwalian, isu pewarisan harta dan seumpamanya.
Bahkan seseorang yang tidak dibinkan kepada bapanya yang sebenar telah melakukan salah satu dosa besar. Dalam hadis daripada Abu Zar RA, beliau pernah mendengar Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلا كَفَرَ، وَمَنْ ادَّعَى قَوْمًا لَيْسَ لَهُ فِيهِمْ نَسَبٌ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Maksudnya: “Tiada seorang lelaki yang dinasabkan kepada bukan bapa sebenarnya, sedangkan dia mengetahui perkara tersebut, melainkan lelaki itu telah kafir (maksudnya berdosa besar). Sesiapa yang mendakwa satu kaum itu dari keluarganya sedangkan dia bukan dari nasab kaum tersebut, maka dia siapkanlah tempat untuknya di dalam neraka.” (al-Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana itu, seseorang yang mengetahui dia telah dibinkan kepada bukan bapa sebenarnya, menjadi kewajipan kepadanya untuk mengubah mengubah binnya kepada bapanya.