Soalan:
Assalamualaikum,
Suami sedang mengurut betis isteri dan berkata, ' Betis isteri kalau dilihat memang tahu tu jenis/bentuk betis wanita, sama macam seperti betis ibu dan mak saudara '.
Penyamaan jenis dan bentuk betis isteri itu dilakukan kerana suami pernah mengurut betis ibu dan mak saudaranya sebelum ini. Ketika lafaz dilakukan, suami tiada niat zihar.
Soalan: Adakah perbuatan tersebut jatuh hukum zihar?
Jawapan:
Tidak berlaku zihar antara saudara dengan isteri disebabkan perkataan saudara tersebut. Ini kerana lafaz yang saudara tuturkan tidak termasuk dalam lafaz sarih zihar dan saudara pula tidak bertujuan zihar.
Huraiannya adalah seperti berikut:
Zihar ialah seorang suami menyamakan isterinya pada pengharaman pernikahan dengan salah seorang daripada mahram suami seperti ibu atau adik-beradik perempuan suami. Terdapat dua bentuk lafaz zihar:
Pertama: Lafaz sarih atau jelas yang tidak dapat difahami melainkan membawa maksud zihar, seperti seorang suami berkata: “Kamu itu (merujuk kepada isterinya) padaku adalah sama seperti belakang ibuku”, atau: “Kamu (merujuk kepada isteri) di sisiku seperti belakang ibuku.” Lafaz sarih ini jika dituturkan oleh seorang suami kepada isterinya, maka berlaku zihar, sama ada ia memiliki niat ataupun tidak.
Kedua: Lafaz kinayah atau tidak jelas. Ia boleh difahami sebagai zihar dan boleh juga difahami bukan zihar, seperti seorang suami yang berkata kepada isterinya: “Kamu padaku, seperti ibuku dan saudara perempuanku”, atau: “Kamu di sisiku umpama ibuku dan saudara perempuanku.” Lafaz kinayah ini jika dilafazkan oleh seorang suami kepada isterinya, tidak masuk dalam zihar, melainkan jika sisuami memiliki niat zihar, iaitulah bertujuan mengharamkan hubungan pernikahan dengan isterinya tersebut. Jika sisuami tiada niat zihar, maka ia bukan zihar.
Jika seorang suami menyamakan isterinya atau anggota tertentu isteri dengan mahram atau anggota tubuh mahram suami termasuk ibu suami sebagai menyatakan kasih sayang, penghormatan, keakraban atau sememangnya ada persamaan dari sudut fizikal atau sikap, bukan kerana bertujuan mengharamkan hubungan pernikahan, ia bukanlah zihar.
Ibn Qudamah dalam al-Mughniy 8/7 menyatakan:
وإن قال: أنت علي كأمي، أو: مثل أمي، ونوى به الظهار، فهو ظهار في قول عامة العلماء، وإن نوى به الكرامة والتوقير، فليس بظهار
Maksudnya: “Jika seseorang lelaki berkata kepada isterinya, “kamu di sisi-ku seperti ibu-ku.” Atau “seumpama ibu-ku.” Dan dia niatkan zihar. Maka ia menjadi zihar berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Jika dia niatkan sebagai satu kemuliaan dan penghormatan, maka ia bukan zihar”
Oleh yang demikian, tindakan saudara yang menyamakan betis isteri dengan ibu dan emak saudara tanpa niat zihar adalah bukan zihar.