Daripada Sayidatina Aisyah Ummul Mukminin radhiallahu 'anha, bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:
إِنِّي لَأَعْلَمُ إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً، وَإِذَا كُنْتِ عَلَيَّ غَضْبَى» قَالَتْ: فَقُلْتُ: مِنْ أَيْنَ تَعْرِفُ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: «أَمَّا إِذَا كُنْتِ عَنِّي رَاضِيَةً، فَإِنَّكِ تَقُولِينَ: لاَ وَرَبِّ مُحَمَّدٍ، وَإِذَا كُنْتِ عَلَيَّ غَضْبَى، قُلْتِ: لاَ وَرَبِّ إِبْرَاهِيمَ» قَالَتْ: قُلْتُ: أَجَلْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا أَهْجُرُ إِلَّا اسْمَكَ
Maksudnya: "Sesungguhnya aku benar-benar tahu apabila engkau redha kepadaku dan apabila engkau marah kepadaku." Aisyah bertanya: "Bagaimana engkau mengetahuinya?" Baginda menjawab: "Apabila engkau redha kepadaku, ketika bersumpah engkau berkata: “Tidak, demi Tuhan Muhammad.” Tetapi apabila engkau marah kepadaku, ketika bersumpah engkau berkata: “Tidak, demi Tuhan Ibrahim." Aisyah menjawab: "Benar, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak meninggalkanmu (ketika marah) selain tidak menyebut namamu sahaja." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah ‘Aisyah RA mengajar para wanita menunjukkan rasa marah. Tetap dalam kelembutan, bukan dengan terjerit pekik kepada suaminya. Jauh sekali untuk menimbul dan menambahkan lagi ketegangan. Seorang wanita mulia dan beriman, tidak akan bermasam muka berhari-hari atau berminggu-minggu kepada suaminya, jauh sekali dari meninggalkan suami keseorangan di tempat tidur. Seorang wanita Muslimah yang mulia itu juga tidak akan menolak perdamaian dari suaminya, apatah lagi untuk menolak ajakannya, atas nama marah seorang isteri.
Seorang wanita mulia ketika marah, kekal dalam kemuliaannya. Hanya yang berbeza pada ungkapannya sahaja, seperti memberitahu terkilan di dalam hati terhadap suami, agar mengerti.
Bagaimana pula dengan kita apabila marah? Adakah kita keterlaluan dalam menunjukkan kemarahan? atau kita langsung tidak menzahirkannya dan hanya memendamnya dalam hati tanpa meluahkannya, sehingga pasangan kita tidak tahu apa yang membuatkan kita marah sehingga pasangan kita tidak dapat memperbaiki dirinya?
Kedua-dua keadaan ini adalah tidak tepat. Sebaliknya, adalah normal untuk kita merasa marah kerana kita adalah manusia yang mempunyai perasaan dan emosi. Kita bukanlah mesin atau robot yang tidak merasa atau beremosi.
Adalah sesuatu yang biasa untuk kita menunjukkan kemarahan, tetapi dengan cara yang lembut dan matang, dengan kestabilan emosi yang tinggi. Misalnya, dengan menunjukkan sedikit kesedihan di wajah atau mengubah beberapa kata-kata manja kepada kata-kata yang lebih serius. Sebagai contoh, jika kita biasa memanggilnya dengan panggilan sayang seperti "sayang" atau "hati", kita mungkin boleh memanggilnya dengan namanya sahaja. Atau jika kita biasa memberi urutan atau perhatian khusus, mungkin kita boleh berhenti sejenak untuk memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang telah berubah.
Betapa mulia dan indahnya seorang wanita yang sedar akan kemuliaan dirinya. Oleh itu wahai para isteri, walaupun ketika marah! Kemarahanmu tidak mengganggu kasih sayang dan cinta antara kamu dan suamimu.
Jika anda kagum dengan cara ibu kita, Aisyah RA mengendalikan kemarahannya, maka lebih mengagumkan lagi, Nabi Muhammad SAW dapat mengetahui bahawa isterinya sedang marah, dan baginda dapat merasainya. Baginda dapat memahami perasaan isteri baginda ‘Aisyah hanya melalui kata-katanya dan dapat memahami emosi dan mood ‘Aisyah RA.
Jika kita bercakap tentang kemampuan sebagai orang yang berupaya memahami perasaan orang lain tanpa perlu orang itu mengungkapkannya secara langsung, sebaliknya dia dapat memahaminya melalui bahasa tubuh seseorang, pandangan mata, atau beberapa kata yang diucapkan, maka Nabi kita adalah contoh terbaik dalam masalah ini. Baginda telah mengajarkan kecerdasan emosi ini melalui hadis baginda ini.
Betapa indahnya kemahiran ini yang sangat kita perlukan, baik sebagai suami mahupun isteri!
Contohnya, isteri perlu memahami bahawa suaminya sedang marah apabila pulang ke rumah, hanya dengan perubahan nada percakapannya atau melalui riak wajahnya. Maka, seorang isteri perlu mengambil kira perkara ini dan cuba meredakan ketegangan, walaupun dia belum tahu punca kemarahan tersebut.
Begitu juga, seorang suami perlu memahami jika isterinya sedang cemburu – mungkin dengan melihat perubahan pada nada bicaranya yang sedikit tajam – lalu suami itu perlu memahaminya, menenangkan perasaannya, dan menunjukkan sikap penyayang terhadapnya.
Perhatikan juga bagaimana komunikasi yang baik dan dialog yang saling menghormati berlaku antara Nabi SAW dan ‘Aisyah RA. Tiada siapa yang memperkecilkan perasaan atau kata-kata pasangannya.
Apabila Nabi Muhammad SAW berkata kepada Aisyah RA: "Aku tahu bila kamu redha kepadaku dan bila kamu marah.” Aisyah tidak menjawab dengan nada yang menolak atau tidak mempedulikan, seperti berkata: "Tidak penting bagiku jika kamu tahu atau tidak," atau: "Apa gunanya jika kamu tahu?" seperti yang dilakukan oleh sebagai para isteri, yang akhirnya akan menambahkan buruk lagi keadaan. Sebaliknya, Aisyah bertanya dengan penuh perhatian: "Bagaimana kamu tahu, wahai Rasulullah?" dan beliau menunggu jawapan baginda.
Betapa kita semua, baik lelaki mahupun wanita, suami dan isteri, memerlukan contoh tauladan dari Rasulullah SAW dan para isteri baginda dalam menghadapi masalah rumah tangga. Masalah adalah lumrah dalam setiap rumah tangga, tetapi dengan mencontohi akhlak Nabi SAW dan para isteri baginda, dapat membimbing kita dalam melayari rumah tangga agar lebih damai, penuh kasih sayang, dan rahmat.