SDI 1733: Siapakah Ahli Keluarga Yang Wajib Diberikan Nafkah Jika Mereka Dalam Kesusahan?

Soalan:

Siapa dari kalangan ahli keluarga yang wajib wajib kita berikan nafkah kepada mereka jika memerlukan?

Jawapan:

Ahli keluarga yang wajib diberikan nafkah apabila mereka memerlukan ialah ahli keluar terdekat (القريب) dengan kita. Maksud "al-qārib" dalam konteks ini adalah al-Far‘u (الفرع) iaitulah anak dan ke bawah dan al-Asl (الأصل) iaitu ibu-bapa dan keatas bagi seseorang. Adapun ahli keluar selain dari al-Asl dan al-Far‘u ini tidak termasuk dalam kategori qarib dalam bab nafkah. Dalam Hasyiah al-Jamal (dari mazhab Syafi'i) ketika menjelaskan frasa:

قوله بنفقة قريب -أي واجبة- وهي نفقة الأصل والفرع فخرج بها النفقة المتبرع بها على غير الأصل والفرع فلا تمنع الفقر والمسكنة

 "Perkataan “nafaqah qārib” bermaksud nafkah yang wajib, iaitu nafkah al-Asl (ibu-bapa dan ke atas) dan al-Far‘u (anak-anak dan ke bawah)." Oleh itu, nafkah yang diberikan secara sukarela kepada selain al-Asl dan al-Far‘u tidak dianggap sebagai nafkah wajib…”

Inilah pandangan mazhab Syafi'i, iaitu nafkah hanya diwajibkan kepada al-Usul (الأصول) dan al-Furu’ (الفروع). Manakala, bagi saudara mara yang lain, tidak diwajibkan nafkah kepada mereka. Al-Syeikh Zakaria al-Ansari dalam "Asna al-Matalib Fi Syarh Rawdah al-Talib" 3/442-443 menyebut:

 (وَإِنَّمَا تَجِبُ -يعني النفقة- عَلَى ذِي قَرَابَةٍ بَعْضِيَّةٍ وَ) تَجِبُ (لَهُ وَهُمْ الْفُرُوعُ)، وَإِنْ نَزَلُوا (، وَالْأُصُولُ)، وَإِنْ عَلَوْا (فَقَطْ) أَيْ دُونَ سَائِرِ الْأَقَارِبِ كَالْأَخِ، وَالْأُخْتِ وَالْعَمُّ وَالْعَمَّةُ (ذُكُورًا، وَإِنَاثًا)، وَارِثِينَ وَغَيْرَ وَارِثِينَ

 Hanya yang wajib – iaitu nafkah – ke atas mereka yang mempunyai hubungan qarabah ba’dhiyyah (darah secara langsung) dengan seseorang. Mereka ialah al-Furu’ dan ke bawahnya dan al-Usul dan ke atasnya sahaja, tidak wajib nafkah kepada selain mereka seluruh ahli keluarga lain seperti adik-beradik lelaki dan perempuan, bapa dan emak saudara sama ada yang mewarisi ataupun tidak.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam