Soalan:
Salam.. nak tanya ni..adakah ibu susuan dan adik beradik susuan terputus kerana agama berbeza.. ibu dan adik beradik beragama lain (budha , contohnya).. menyusu anak orang melayu( islam).. adakah akan terputus kerana itu( berlainan agama)..
Jawapan:
Perbezaan agama antara ibu yang menyusukan dan bayi yang disusukan tidak menghalang penyusuan dan tidak menghalang terjalinnya hubungan susuan antara mereka. Demikian juga hubungan adik-beradik susuan tidak terputus dengan perbezaan agama. Ini kerana dalil-dalil berkaitan hukum penyusuan dalam al-Quran dan Sunnah adalah umum dan tidak menyebut perbezaan agama.
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 22/255 dinyatakan:
إِنِ ارْتَضَعَ مُسْلِمٌ مِنْ ذِمِّيَّةٍ رَضَاعًا مُحَرِّمًا حُرِّمَتْ عَلَيْهِ بَنَاتُهَا وَفُرُوعُهَا كُلُّهُنَّ وَأُصُولُهَا كَالْمُسْلِمَةِ؛ لأَِنَّ النُّصُوصَ لَمْ تُفَرِّقْ بَيْنَ مُسْلِمَةٍ وَكَافِرَةٍ، وَقَدْ صَرَّحَ بِذَلِكَ الْمَالِكِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ وَلاَ تَأْبَى ذَلِكَ قَوَاعِدُ الْمَذَاهِبِ الأُْخْرَى
“Sekiranya seorang Muslim menyusu daripada wanita zimmi (bukan Islam yang hidup di bawah perlindungan pemerintahan Islam) dengan penyusuan yang menyebabkan pengharaman (yakni cukup syarat menjadi mahram), maka haramlah ke atasnya anak-anak perempuan wanita itu dan semua furu’ perempuan itu (anak dan cucu wanita tersebut), begitu juga ibu dan neneknya (dan ke atas), sama seperti jika wanita itu seorang Muslimah. Ini kerana dalil-dalil syarak tidak membezakan antara wanita Muslim dan wanita kafir dalam hukum ini. Perkara ini telah dinyatakan secara jelas oleh ulama mazhab Maliki dan Hanbali, dan kaedah-kaedah mazhab lain juga tidak menolaknya.”
Justeru, thabit hubungan mahram disebabkan susuan yang memenuhi syarat, antara seorang muslim dengan bukan muslim. Penthabitan mahram susuan ini berlaku antara seorang anak dengan ibu susuan yang berlain agama, demikian juga antara adik beradik susuan yang berlainan agama.
Bagaimana pula jika mahram yang disebabkan susuan seperti ayah atau abang adalah seorang kafir, adakah seorang wanita Muslimah boleh bermusafir dengannya dan tinggal berdua dengannya? Dalam hal ini terdapat dua keadaan:
Keadaan Pertama:
Jika mahram kafir disebabkan susuan tersebut rosak akhlaknya, atau menganut fahaman atau agama yang membolehkan hubungan dengan mahram, seperti ajaran yang menghalalkan sumbang mahram, maka tidak boleh bagi wanita Muslimah bermusafir dengan mahram sepertinya atau berdua-duaan dengannya. Ini kerana fitnah yang mungkin berlaku seumpama fitnah dengan lelaki ajnabi, malah mungkin lebih dahsyat.
Ibnu Qudamah رحمه الله berkata:
ولا ينبغي أن يكون في المجوسي خلاف؛ فإنه لا يؤمن عليها، ويعتقد حلها
“Dan tidak sepatutnya ada khilaf tentang orang Majusi, kerana seorang majusi tidak boleh dipercayai terhadap seorang wanita muslimah, bahkan dia menganggap ia halal baginya.” (Al-Mughni, jilid 5, halaman 34)
Maka sesiapa yang mengikuti ajaran seperti ini yang menghalalkan hubungan dengan mahram, maka dia dihukum sama seperti Majusi.
Keadaan Kedua:
Jika mahram disebabkan susuan itu seorang kafir yang boleh dipercayai, amanah, dan menjaga maruah, maka majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpandangan dia tetap dianggap sebagai mahram, dan wanita Muslimah boleh bermusafir dengannya, kerana dalam keadaan ini tidak dibimbangi berlaku fitnah.
Namun, mazhab Hanbali berbeza pandangan, seorang kafir tidak boleh menjadi mahram bagi wanita Muslimah. (Rujukan: Al-Mughni, 5/34)
Namun al-Syaikh Ibn ‘Uthaymin رحمه الله memilih pendapat majoriti ulama dan beranggapan seorang wanita Muslimah boleh bermusafir berduaan dengan mahramnya yang kafir jika sudaranya yang kafir itu seorang yang boleh dipercayai. (Lihat Syarh al-Mumti’, 7/41)