Soalan:
Mestikah dibuat secara sama rata dalam pemberian seseorang kepada anaknya? Bagaimana pula jika pemberian itu dari seorang anak kepada kedua ibu bapanya, atau pemberian antara adik beradik?
Jawapan:
Pemberian dari kepada anak-anak disunatkan dibuat secara adil berdasarkan hadis Nabi SAW: “
اتقوا الله واعدلوا بين أولادكم
Maksudnya: “Bertaqwalah kamu semua kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anakmu.”
Melainkan jika ada sesuatu yang wajar dilebihkan pemberian kepada seorang anak tertentu berbanding yang lain, seperti dia dalam situasi memerlukan, dia lebih berbakti dan seumpamanya.
Demikian juga, pemberian kepada ibu-bapa, sunat diberi secara sama rata. Namun jika hendak melebihkan salah seorang dari ibu bapa, maka dilebihkan pemberian kepada ibu.
Anjuran ini tidak termasuk pemberian kepada adik-beradik atau saudara mara.
Berkata al-Khatib al-Syarbini رحمه الله:
تتمة: يسن للوالد - وإن علا - العدل في عطية أولاده، بأن يسوي بين الذكر والأنثى، بخبر البخاري: (اتقوا الله وعدلوا بين اولادكم). ويكره تركه لهذا الخبر، ومحل الكراهة: عند الاستواء في الحاجة أو عدمها، وإلا فلا كراهة وعلى ذلك يحمل تفضيل الصحابة، لأن الصديق فضل السيدة عائشة على غيرها من أولاده، وفضل عمر ابنه عاصما بشيء، وفضل عبد الله بن عمر بعض ولده على بعضهم رضي الله تعالى عنهم أجمعين. ويسن أيضا أن يسوي الولد اذا وهب لوالديه شيئا، ويكره له ترك التسوية كما مر في الأولاد، فإن فضل أحدهما فالأم أولى لخبر: (إن لها ثلثي البر ). والإخوة ونحوهم لا يجري فيهم هذا الحكم، ولا شك أن التسوية بينهم مطلوبة، لكن دون طلبها في الأصول والفروع .
“Tambahan: Disunatkan bagi seorang bapa – dan ke atas – berlaku adil dalam pemberian kepada anak-anaknya, iaitu dengan memberi secara sama rata antara anak lelaki dan perempuan, berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari: “Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anak kamu.” Makruh meninggalkan perbuatan ini kerana hadis ini, dan berlaku hukum makruh (melebihkan sebahagian anak dalam pemberian) ketika mana wujud keperluan atau hajat yang sama (antara anak²) atau tidak wujud keperluan yang sama. Jika tidak, maka tiada hukum makruh (melebihkan sebahagian anak dalam pemberian seperti disebabkan sebahagian anak lebih memerlukan berbanding anak lain atau seumpamanya), dan perkara ini diambil contoh perbuatan para sahabat, kerana al-Siddiq (Abu Bakar) telah melebihkan Sayyidah ‘Aisyah daripada anak-anaknya yang lain. ‘Umar juga telah melebihkan anaknya ‘Asim dengan sesuatu pemberian. Demikian juga ‘Abdullah bin ‘Umar telah melebihkan sebahagian anaknya atas yang lain رضي الله تعالى عنهم أجمعين. Disunatkan juga anak memberi secara sama rata jika dia memberi sesuatu kepada kedua ibu bapanya. Makruh baginya meninggalkan kesamaan sebagaimana disebut pada anak-anak. Maka jika dia melebihkan salah seorang daripadanya, maka ibu lebih utama berdasarkan hadis: “Sesungguhnya dia (ibu) memiliki dua pertiga daripada bakti.” Adapun adik-beradik atau saudara-mara dan seumpamanya, hukum ini tidak berlaku pada mereka. Namun tidak diragui bahawa berlaku adil (sama) antara mereka adalah dituntut, tetapi tuntutannya tidak seperti tuntutan pada usul (ibu bapa dan ke atas) dan furu' (anak-anak dan ke bawah).” (Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Shuja' 2/68)