Soalan:
Ayah saya telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri yang merupakan ibu tiri saya. Ayah tiada anak dengan ibu tiri saya itu. Ketika hidup ayah saya tinggal bersama ibu tiri di rumah milik saya. Oleh itu, di mana ibu tiri saya ber‘iddah? Adakah dia berhak mendapat nafkah yang wajib? Jika saya menuntut kembali rumah tersebut, ibu tiri saya bagaimana iddah ibu tiri saya? Bolehkah ibu tiri saya menyempurnakan ‘iddahnya di rumah keluarganya? Dan adakah dia berhak terhadap perabot rumah yang dia tinggal, sedangkan sebahagian besar daripadanya adalah hadiah kepada ayah saya?
Jawapan:
- Kewajipan bagi seorang wanita yang kematian suami ialah tetap berada di rumah tempat tinggalnya bersama suaminya sehingga tamat tempoh ‘iddah. Kewajipan tetap berada di rumah ini lebih ditekankan pada waktu bermalam, berdasarkan kisah Fari‘ah binti Malik (فَرِيعَةٌ بنت مالك) yang bertanya kepada Nabi ﷺ untuk bermalam di rumah selain rumah kematian suaminya, namun Baginda ﷺ tidak mengizinkannya.
Sekalipiun demikian, para ulama mengecualikan keadaan darurat yang membolehkan wanita ber‘iddah berpindah dari rumah tersebut ke rumah lain, seperti jika dia takut akan keselamatannya, atau rumah itu adalah rumah sewa dan dia tidak mampu membayar sewanya, serta lain-lain keadaan yang diharuskan. Al-Khatib al-Syarbini berkata:
(وَتَنْتَقِلُ) الْمُعْتَدَّةُ (مِنْ الْمَسْكَنِ) الَّذِي كَانَتْ فِيهِ عِنْدَ الْفُرْقَةِ لِعُذْرٍ، وَذَلِكَ (لِخَوْفٍ مِنْ هَدْمٍ أَوْ غَرَقٍ) عَلَى مَالِهَا أَوْ وَلَدِهَا (أَوْ) لِخَوْفٍ (عَلَى نَفْسِهَا) تَلَفًا أَوْ فَاحِشَةً لِلضَّرُورَةِ الدَّاعِيَةِ إلَى ذَلِكَ
"Wanita yang dalam ‘iddah boleh berpindah dari rumah yang didiaminya ketika perpisahan kerana ada uzur; seperti takut runtuh, tenggelam, ancaman harta atau anaknya, atau bimbang berlaku mudarat pada dirinya sama ada kehilangan nyawa atau kecederaan yang ketara; maka itu adalah kerana darurat yang menuntut untuk berpindah." (Mughni al-Muhtaj, 5/107).
- Adapun nafkah untuk seorang isteri yang kematian suami, dia tidak lagi berhak mendapat nafkah daripada harta peninggalan suami, sama ada dia hamil atau tidak. Ini kerana dia adalah salah seorang pewaris yang sudah ditentukan bahagiannya dalam pusaka. Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّما النَّفَقةُ وَالسُّكنَى لِلمَرأةِ إِذا كانَ لِزَوجِها عَلَيهَا الرَّجعةُ
"Sesungguhnya nafkah dan tempat tinggal hanyalah untuk isteri yang masih mempunyai hak rujuk daripada suaminya." (Riwayat al-Nasa’i).
Wanita yang kematian suami tidak lagi mempunyai hak rujuk, maka gugurlah nafkahnya dari harta suami.
Al-Imam Zakariya al-Ansari berkata:
(وَلَا مُؤْنَةَ) مِنْ نَفَقَةٍ وَكِسْوَةٍ (لِحَائِلٍ بَائِنٍ) وَلَوْ بِفَسْخٍ أَوْ وَفَاةٍ لِانْتِفَاءِ سَلْطَنَةِ الزَّوْجِ عَلَيْهَا... (لَيْسَ لِلْحَامِلِ الْمُتَوَفَّى عَنْهَا زَوْجُهَا نَفَقَةٌ)
"Tidak ada kewajipan menanggung nafkah dan pakaian bagi wanita yang tidak hamil berpisah secara ba’in, sama ada berpisah dengan fasakh atau kematian; kerana hilang kuasa suami ke atasnya… Dan tiada juga nafkah bagi wanita hamil yang kematian suami.” (Fath al-Wahhab Bi Syarh Manhaj al-Tullab, 2/145).
Al-Imam al-Syafi‘i pula berkata:
لَا يَكُونُ عَلَى زَوْجِ الْمَرْأَةِ الْمُتَوَفَّى عَنْهَا سَكَنُهَا لِأَنَّ مَالَهُ مَمْلُوكٌ لِغَيْرِهِ
"Tiada kewajipan (ke atas harta suami yang meninggal) menyediakan tempat tinggal untuk siisteri, kerana harta si mati telah menjadi milik orang lain." (al-Umm, 5/242).
- Jika anak si mati yang memiliki rumah menuntut kembali rumahnya dan tidak memperbaharui sewa untuk wanita tersebut, maka dibolehkan baginya menyempurnakan ‘iddah di rumah keluarganya kerana darurat. Walau bagaimanapun, disarankan agar anak lelaki berbuat baik terhadap isteri ayahnya, bersabar sehingga tamat ‘iddah, serta menolong dan memenuhi keperluannya sebagai tanda berbakti kepada ayah anda. Nabi ﷺ bersabda:
إنَّ أبَرَّ البِرِّ صِلَةُ الوَلَدِ أَهلَ وُدِّ أَبِيهِ
"Sesungguhnya sebaik-baik bakti seorang anak ialah menyambung hubungan baik dengan orang yang dicintai oleh bapanya." (Riwayat Muslim).
- Adapun segala harta, rumah, perabot atau apa sahaja peninggalan si mati dianggap sebagai harta pusaka yang mesti dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid. Jika perabot tersebut memang milik isteri, contohnya termasuk dalam barang hantaran yang dinyatakan dalam akad nikah, maka ia tidak termasuk pusaka. Tetapi jika bukan milik isteri, maka ia menjadi sebahagian daripada pusaka dan mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Isteri itu tidak berhak menuntut apa-apa tambahan selain daripada haknya menurut syarak.