BERLAKU ADIL DALAM PEMBERIAN KEPADA ANAK-ANAK
Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Pengabaikan berlaku adil sesama anak dalam pemberian mengakibatkan permusuhan dan pertelingkahan yang berpenjangan. Tidak sedikit pula disebabkan perkara ini hubungan Silatur rahim menjadi terputus dan adik-beradik hidup dalam permusuhan berterusan. Hal ini berleluasa berlaku disebabkan sikap acuh tak acuh sebahagian umat Islam terhadap hukum-hakam agama. Oleh itu tulisan ini akan membincangkan persoalan berlaku adil dalam pemberian kepada anak-anak. Semoga ia dapat menyumbang menyelesai atau mengurangkan kemelut ini.
Kesemua ulama bersepakat disyariatkan berlaku adil dalam pemberian kepada anak-anak dan tidak boleh mengkhususkan sebahagian anak untuk dilebihkan pemberian kepada mereka berbanding anak yang lain. Cuma para ulama berbeza pandangan tentang hukum melebihkan sebahagian anak dalam membuat pemberian berbanding anak yang lain kepada beberapa pandangan. Penjelasannya adalah seperti berikut
PANDANGAN PERTAMA: Haram melebihkan pemberian kepada sebahagian anak tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan dari anak-anak yang lain. Ini merupakan pandangan yang masyhur bagi ulama mazhab Hambali. Dalil mereka adalah seperti berikut:
Dalil Pertama: Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada al-Nukman bin Basyir (النعمان بن بشير ) RA yang berkata:
إن أباه أتى به رسول الله ، فقال: إني نحلت ابني هذا، غلاما كان لي، فقال رسول الله : (( أكل ولدك نحلته مثل هذا؟ )) [وفي رواية لمسلم: (( أكل بنيك نحلت؟ ))] فقال: لا، فقال رسول الله : (( فأرجعه )). رواه البخاري ومسلم
Mafhumnya: “Sesungguhnya bapa beliau pernah membawa beliau kepada Rasulullah SAW, dan berkata: Sesungguhnya saya telah berikan kepada anak saya ini seorang khadam milik saya. Rasulullah SAW bersabda: Apakah bagi setiap anak engkau berikan pemberian seperti ini? beliau menjawab: Tidak. Jawab Rasulullah SAW: Pulangkannya semula.” (al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam riwayat lain di sisi al-Bukhari dan Muslim juga dinyatakan:
أن النعمان بن بشير قال وهو على المنبر: أعطاني أبي عطية، فقالت عمرة بنت رواحة: لا أرضى حتى تشهد رسول الله ، فأَتَى رسولَ الله فقال: إنِّي أعطيتُ ابني من عمرة بنت رواحة عطية، فأَمَرَتْنِي أن أشهدك يا رسول الله، قال: (( أعطيت سائر ولدك مثل هذا ؟ )) قال: لا، قال: (( فاتقوا الله، واعدلوا بين أولادكم )) قال: فرجع فرد عطيته.
Mafhumnya: “Bahawa suatu hari ketika al-Nukman bin Basyir berada di atas mimbar, dia berkata: Suatu hari bapaku memberi kepadaku satu pemberian. Lalu ‘Amrah binti Rawahah (Isteri kepada Basyir dan ibu kepada al-Nukman) berkata: Saya tidak redha (pemberian ini) sehinggalah kamu terlebih dahulu menjadikan Rasulullah SAW saksi terhadapnya. Lalu bapaku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan berkata: Sesungguhnya saya telah berikan kepada anak saya bersama ‘Amrah binti Rawahah ini satu pemberian, akan tetapi ‘Amrah meminta saya menjadikan tuan sebagai saksi wahai Rasulullah. Tanya baginda kepada beliau: Engkau telah berikan kepada semua anakmu pemberian yang sama? Jawab beliau; Tidak. Sabda Baginda SAW: Bertakwalah kamu kepada Allah, dan berlaku adillah diantara anak-anakmu. Kata al-Numan: Lalu bapa saya pulang dan menarik semula pemberiannya.”
Di dalam al-Bukhari dan Muslim juga terdapat riwayat yang menyatakan:
أن أمّه بنت رواحة، سألت أباه بعض الموهبة من ماله لابنها، فالتوى بها سنة، ثم بدا له، فقالت: لا أرضى حتى تُشهِد رسولَ الله على ما وهبت لابني، فأخذ أبي بيدي، وأنا يومئذ غلام، فأَتَى رسولَ الله فقال: يا رسول الله، إن أمّ هذا بنت رواحة، أعجبها أن أشهدك على الذي وهبت لابنها، فقال رسول الله : (( يا بشير ألك ولد سوى هذا؟ )) قال: نعم، فقال: (( أكلهم وهبت له مثل هذا ؟ )) قال: لا، قال: (( فلا تُشْهِدْنِي إذًا، فإني لا أشهد على جَوْر )).
Mafhumnya: “Bahawa ibu kepada al-Nukman yang bernama ‘Amrah binti Rawahah bertanya kepada bapa al-Nukman berkenaan sebahagian pemberian yang akan diberikan kepada anaknya, lalu bapanya menangguh pemberian tersebut selama setahun, kemudian ia berikan pemberian tersebut kepada al-Nukman. Lalu ibu al-Nukman berkata: Saya tidak menyetujuinya sehinggalah engkau menjadikan Rasulullah SAW sebagai saksi terhadap apa yang engkau berikan kepada anakku ini. Ketika itu saya masih kecil (kata al-Nukman). Lalu bapa saya membawa saya bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu budak ini bintu Rawahah, menghendakkan sangat untuk saya menjadikan tuan sebagai saksi terhadap apa yang saya berikan kepada anaknya ini. lalu Rasulullah SAW bersabda: Wahai Basyir, apakah engkau ada anak selain dari dia ini (al-Nukman)? Jawab beliau: Ya. Sabda baginda SAW: Apakah setiap mereka engkau berikan pemberian yang sama? Jawab Basyir: Tidak. Sabda baginda SAW: Kalau begitu, Jangan engkau menjadikan saya sebagai saksi, kerana sesungguhnya saya tidak akan menjadi saksi dalam perkara yang tidak benar.”
Di sisi Muslim terdapat riwayat yang menyatakan:
(( أكل بَنِيْكَ قد نحلت مثل ما نحلت النعمان؟ )) قال: لا، قال: (( فأَشْهِد على هذا غيري )) ثم قال: (( أَيَسُرُّكَ أن يكونوا إليك في البر سواء؟ )) قال: بلى، قال: (( فلا إذا )).
Mafhumnya: “Apakah setiap anakmu, engkau berikan seperti apa yang engkau berikan kepada al-Nukman? Jawab beliau: tidak. Sabda baginda SAW: oleh itu, carikan saksi selain dari saya. Tidakkah menggembirakan kamu jika mereka semua melakukan kebaikan yang sama kepadamu? Jawab Basyir: Bahkan (ia menggembirakan saya). Jawab baginda SAW: Jika begitu, jangan lakukan demikian.”
Dalil Kedua: Melebihkan pemberian kepada sebahagian anak berbanding anak yang lain akan membawa kepada permusuhan, terputusnya silatulrahim dan menderhakai ibu dan bapa. Kesemua ini diharamkan di dalam agama, oleh yang demikian setiap perkara yang boleh membawa kepada hukum haram, maka ia juga menjadi haram berdasarkan kaedah Li al-Wasail Ahkam al-Maqasid (للوسائل حكم المقاصد) bermaksud: Bagi Sesuatu Cara Itu, Hukum Yang Sama Dengan Tujuannya.
PANDANGAN KEDUA: Haram melebihkan sebahagian anak dalam pemberian berbanding anak yang lain melainkan jika terdapat maslahah yang dibenarkan oleh agama seperti ketidakmampuan dan keperluan. Pandangan ini merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad. Pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qudamah. Dalil mereka adalah seperti berikut:
Dalil Pertama: Riwayat dari Imam Malik di dalam al-Muwattha daripada ibn Syihab daripada ‘Urwah bin al-Zubair daripada ‘Aisyah RA yang berkata:
إِنَّ أَبَا بَكْرٍ الصِّدِّيقَ كَانَ نَحَلَهَا جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ مَالِهِ بِالْغَابَةِ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ وَاللَّهِ يَا بُنَيَّةُ مَا مِنْ النَّاسِ أَحَدٌ أَحَبُّ إِلَيَّ غِنًى بَعْدِي مِنْكِ وَلَا أَعَزُّ عَلَيَّ فَقْرًا بَعْدِي مِنْكِ وَإِنِّي كُنْتُ نَحَلْتُكِ جَادَّ عِشْرِينَ وَسْقًا فَلَوْ كُنْتِ جَدَدْتِيهِ وَاحْتَزْتِيهِ كَانَ لَكِ وَإِنَّمَا هُوَ الْيَوْمَ مَالُ وَارِثٍ وَإِنَّمَا هُمَا أَخَوَاكِ وَأُخْتَاكِ فَاقْتَسِمُوهُ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ
Mafhumnya: “Sesungguhnya Abu Bakr al-Siddiq pernah memberi kepadanya tamar yang dipotong sebanyak dua puluh Wasq dari hartanya, ketikamana beliau hampir meninggal dunia, beliau berkata: Demi Allah wahai anakku, tiada seorangpun di kalangan manusia yang saya ingin melihatnya kaya selepas saya mati lebih daripada kamu, dan tidak ada seorangpun yang lebih memberatkan saya untuk melihatnya miskin selepas kematianku daripada anda, dan sesungguhnya saya sebelum ini telah memberikan kepadamu tamar yang dipotong sebanyak dua puluh Wasq, sekiranya kamu telah memperolehinya, maka ianya untuk kamu, jika tidak pada hari ini ia merupakan harta semua waris, iaitulah dua saudara lelakimu dan dua saudara perempuanmu, bahagikanlah ia berdasarkan kitab Allah.”
Ibn Qudamah setelah menyenaraikan athar ini, beliau menyebut (al-Mughniy 5/6650): “Boleh difahami bahawa Abu Bakr RA mengkhususkan pemberian ini kepada ‘Aisyah disebabkan keperluan ‘Aisyah dan ketidakmampuan beliau dari mengusahakannya sendiri, demikian juga disebabkan kelebihan beliau sebagai isteri Nabi yang juga merupakan ibu kepada orang-orang yang beriman dan juga disebabkan kelebihan-kelebihan yang lain.”
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari (5/215) berkata:
قد أجاب عروة عن قصة عائشة بأن إخوتها كانوا راضين بذلك
Mafhumnya: “tentang kisah ‘Aisyah ini, ‘Urwah telah menjawab bahawa saudara-saudara ‘Aisyah meredhai pemberian tersebut.”
Kebanyakan ulama juga berpandangan tidak makruh melebihkan pemberian kepada sebahagian anak jika terdapat keperluan untuk dilebihkan seperti anak yang ditimpa penyakit, memiliki anak ramai atau tanggungan, atau anak yang menyibukkan diri dengan menuntut ilmu dan seumpamanya. Demikian juga tidak makruh menyekat pemberian kepada anak yang fasik dan yang menggunakan pemberian yang diberi untuk melakukan maksiat kepada Allah.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH di dalam Majmu’ al-Fatawa berkata:
إذا خص أحدهم بسبب شرعي: مثل أن يكون محتاجا مطيعا لله، والآخر غني عاص يستعين بالمال على المعصية، فإذا أعطى من أمر الله بإعطائه، ومنع من أمر الله بمنعه، فقد أحسن.
Mafhumnya: “Jika dikhususkan seseorang dari kalangan mereka (anak-anak) dengan sebab yang diizinkan agama, seperti anak tersebut berhajat dan taat kepada Allah, sedangkan yang lainnya kaya dan melakukan maksiat, menggunakan harta untuk bermaksiat, maka demikian itu dia telah memberikan pemberian kepada orang yang diarahkan oleh Allah untuk diberi pemberian kepadanya, dan menghalang pemberian kepada orang yang diarahkan agar dihalang pemberian kepadanya, maka sesungguhnya dia telah melakukan suatu kebaikan.”
Dalil Kedua: Berdasarkan athar di dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Imam al-Baihaqi yang menyebut: al-Syafie berkata:
وفضل عمر عاصم بن عمر بشيء أعطاه إياه
Mafhumnya: “Dan ‘Umar telah melebihkan sesuatu pemberian kepada ‘Asim bin ‘Umar yang diberikannya.”
Dalil Ketiga: Berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh al-Tohawi di dalam Syarh Ma’aniy al-Athar demikian juga al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra:
أن عبد الرحمن بن عوف فضل بني أم كلثوم بنحل قسمه بين ولده
Mafhumnya: “Bahawa ‘Abdul Rahman bin ‘Auf telah melebihkan anak Ummi Kalthum dalam pemberian yang dibahagikannya antara anaknya.”
Dalil Keempat: Berdasarkan athar yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi juga di dalam al-Sunan al-Kubra daripada Nafi’:
أن ابن عمر قطع ثلاثة أَرْؤُسٍ أو أربعة لبعض ولده دون بعض
Mafhumnya: “Bahawa Ibn ‘Umar telah memotong tiga atau empat Arwus untuk diberikan kepada sebahagian anaknya tanpa diberi kepada sebahagian anaknya yang lain.”
Dr Sulaiman bin Fahd al-‘Iesa (Universiti Islam al-Imam Muhammad bin Sa’ud) berkata: “Dalil-dalil ini memungkinkan kita beranggapan ia sama seperti dengan dalil yang pertama iaitulah bahawa adik-beradik semua mereka merestui pemberian tersebut.” (Artikel dari laman Islamtoday.net: al-‘Adl Bain al-Awlad fi al-‘Atiyyah wa Kaifiyyatiha)
PANDANGAN KETIGA: Haram melebihkan sebahagian anak dalam pemberian jika seorang bapa tidak memiliki harta yang lain. Pandangan ini diriwayatkan daripada Imam Malik berdalilkan:
Dalil Pertama: Berdasarkan sebahagian riwayat tentang kisah al-Nukman bin Basyir, antaranya diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya daripada al-Nukman bin Basyir sendiri yang berkata:
وَقَدْ أَعْطَاهُ أَبُوهُ غُلَامًا ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا هَذَا الْغُلَامُ ؟ قَالَ : أَعْطَانِيهِ أَبِي ، قَالَ : فَكُلَّ إِخْوَتِهِ أَعْطَيْتَهُ كَمَا أَعْطَيْتَ هَذَا ، قَالَ : لَا ، قَالَ : فَرُدَّهُ
Mafhumnya: “Bapanya telah memberikan kepadanya seorang budak (khadam), lalu Nabi SAW berkata kepadanya: Dari mana budak ini? Jawab beliau: Bapaku memberikannya kepadaku. Baginda bersabda kepada bapanya: Setiap adik-beradiknya enkau berikan kepada mereka seperti apa yang engkau berikan kepada dia ini (al-Nukman)? Jawab beliau: Tidak. Kata beliau: lalu dikembalikan pemberian tersebut.”
Berdasarkan hadis ini al-Imam Malik berpandangan Basyir tidak memiliki harta lain melainkan seorang budak (khadam) tersebut. Namun Dr. Sulaiman bin Fahd al-‘Iesa tidak menerima dakwaan Basyir tidak mempunyai harta yang lain kerana di dalam sahih Muslim juga ada diriwayatkan bahawa al-Nukman bin Basyir ada berkata: “Bapaku telah memberikan kepadaku sebahagian daripada hartanya…”
Dalil Kedua: Hadis pemberian Abu Bakr kepada ‘Aisyah yang telah disebut di atas. Hadis tersebut menunjukkan Abu Bakr telah melebihkan pemberian kepada ‘Aisyah berbanding adik-beradiknya yang lain sebanyak dua puluh Wasq dari harta Abu Bakr. Ini menunjukkan harus melebihkan pemberian dari sebahagian harta yang ada.
Dalil Ketiga: Melebihkan sebahagian harta yang ada dalam pemberian kepada anak-anak tidak mewujudkan permusuhan sesama mereka, kerana masih berbaki sebahagian harta lagi untuk diberikan kepada yang lain.
PANDANGAN KEEMPAT: Makruh melebihkan pemberian kepada sebahagian anak. Inilah pandangan mazhab Abu Hanifah jika pemberian lebih itu tanpa sebab, namun sekiranya bersebab maka hukumnya harus. Inilah juga pandangan ulama mazhab Syafie. Hukum Makruh ini juga masyhur dari ulama mazhab Malik. Dalilnya adalah seperti berikut:
Dalil Pertama: Semua hadis tentang kisah al-Nukman bin Basyir. Ulama yang mendokong pandangan ini memahami arahan Nabi SAW:
اتقوا الله وأعدلوا بين أولادكم
Mafhumnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anakmu.” Arahan ini membawa maksud arahan sunat, manakala tegahan yang ada di dalam hadis al-Nukman ini pula membawa maksud al-Tanzih. Namun Dr. Sulaiman Fahd al-‘Iesa tidak menerima alasan ini, terutamanya hadis ini datang dalam bentuk terdapat beberapa penegasan, ia jelas menunjukkan arahan tersebut adalah arahan yang berbentuk kewajipan dan tegahan berbentuk larangan.
Dalil Kedua: Berdasarkan sebahagian riwayat hadis al-Nukman, dimana baginda ada bersabda: “Pulangkannya semula.” Iaitu ambil semula pemberian lebih kepada al-Nukman tersebut. Hadis ini menunjukkan diterima pemberian tersebut, jika tidak ia tidak perlu dipulangkan. Namun Ibn Hajr menyebut maksud perkataan Nabi SAW ini ialah jangan kamu biarkan pemberian itu terus kepadanya.
Dalil Ketiga: Berdasarkan perkataan Nabi SAW dalam hadis al-Nukman juga, dimana baginda bersabda: “Carilah saksi selain aku dalam perkara ini.” Ini menunjukkan keizinan mengadakan saksi lain dalam pemberian tersebut. Namun al-Imam Ibn Hajar berpandangan perkataan baginda ini membawa maksud celaan berdasarkan keseluruhan hadis.
Dalil keempat: Berdasarkan tindakan beberapa sahabat yang melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak mereka seperti yang telah disebutkan di atas. Namun perbuatan beberapa sahabat tersebut boleh difahami ianya direstui oleh anak-anak yang lain, terutamanya terdapat perkataan ‘Urwah yang menunjukkan perkara ini.
Dalil Keenam: Berdasarkan ijmak ulama bahawa harus sesuatu pemberian diberikan kepada orang lain selain anak. Jika perkara ini harus maka melebihkan pemberian kepada sebahagian anak juga adalah harus. Namun Dr. Sulaiman Fahd al-‘Iesa berpandangan ini merupakan qiyas pada tempat yang terdapat Nas, dan cara ini tidak dibenarkan.
PANDANGAN KELIMA: Harus melebihkan pemberian kepada sebahagian anak jika tidak bertujuan menimbulkan kemudharatan. Ini merupakan satu pandangan di sisi ulama mazhab Hanafi. Dalil mereka adalah sama seperti dalil pandangan keempat, melainkan mereka berpandangan hukum harus atau tidak, bergantung kepada tujuan sama ada untuk mendatangkan kemudharatan atau tidak. Dr. Sulaiman Fahd al-‘Iesa berpandangan mengkhususkan hukum tidak boleh melebihkan pemberian kepada sebahagian anak kerana bertujuan kemudharatan ini tidak memiliki dalil.
TARJIHAN: Dr. Sulaiman Fahd al-‘Iesa berkata: Setelah dibentangkan pandangan-pandangan para ulama dalam persoalan ini, setelah melakukan pemerhatian, penelitian terhadap dalil-dalil mereka dan melakukan perbahasan yang perlu, pandangan yang lebih rajih (pandangan yang lebih terserlah dan benar) adalah PANDANGAN PERTAMA. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
- Kekuatan dan kesahihan dalil yang ada bagi pandangan yang pertama, disertai dengan petunjuk yang jelas kepada kewajipan berlaku adil dan larangan melebihkan pemberian kepada sebahagian anak. Di samping itu dalil bagi pandangan yang lain adalah lemah dan dapat dibatalkan melalui perbincangan yang dilakukan terhadapnya.
- Melebihkan pemberian kepada sebahagian anak berbanding sebahagian yang lain merupakan wasilah mewujudkan permusuhan antara anak dan bapa demikian juga antara anak sesama anak, keadaan ini akan menatijahkan terputusnya Silatulrahim.
PERSOALAN SAMPINGAN YANG TIMBUL
- Berlaku adil ini wajib ke atas bapa dan juga ibu berdasarkan hadis Nabi SAW:
اتقوا الله وأعدلوا بين أولادكم
Mafhumnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anakmu.”
- Kewajipan berlaku adil dalam pemberian ini adalah khusus kepada anak-anak sahaja berdasarkan dalil yang ada. Ia tidak termasuk kerabat adik-beradik yang lain.
- Haram menjadi saksi dalam pemberian yang tidak adil antara anak-anak. Penyaksian seperti ini termasuk membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.
- Bagaimana Berlaku Adil Dalam Pemberian Kepada Anak-Anak? Para ulama mazhab Hanafi, Syafie dan kebanyakan Fuqaha (ulama Fekah) berpandangan berlaku adil dalam pemberian antara anak lelaki dan perempuan adalah dalam bentuk sama-rata dan tidak boleh dibezakan. Ini juga pandangan Sufyan al-Thauri dan Ibn al-Mubarak. Manakala ulama mazhab Malik dan Hambali pula berpandangan berlaku adil dalam pemberian antara anak lelaki dan perempuan adalah dengan cara melebihkan pemberian kepada anak lelaki berbanding perempuan, dalam bentuk pemberian kepada seorang anak lelaki menyamai pemberian untuk dua orang anak perempuan, sama seperti pembahagian harta pusaka. Pandangan ini menjadi pilihan ‘Ato bin Abi Rabah, Muhammad bin al-Hasan, Ahmad bin Hambal, Ishak bin Rahuwaih demikian juga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah.
Dr. Sulaiman Fahd al-‘Iesa memilih pandangan ini. Beliau berkata: “Ini kerana ia diqiyaskan kepada pembahagian Allah terhadap harta pusaka. Menyamakan perempuan dengan lelaki bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh agama dalam melebihkan pemberian, sedangkan Allahlah yang lebih mengetahui maslahah untuk kita.”
Tidak diwajibkan bagi ibu dan bapa untuk sama-rata dalam memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Bahkan yang wajib ialah berdasarkan keperluan kebiasaan. Adapun selain dari keperluan kebiasaan dilakukan dalam bentuk yang makruf, jika lebih dari yang makruf maka ia termasuk dalam bab pemberian. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:
لا يجوز للإنسان أن يفضل بعض أبنائه على بعض إلا بين الذكر والأنثى فإنه يعطي الذكر ضعف ما يعطي الأنثى لقول النبي صلى الله عليه وسلم " اتقوا الله واعدلوا في أولادكم " فإذا أعطى أحد أبنائه 100 درهم وجب عليه أن يعطي الآخرين مائة درهم ويعطي البنات 50 درهما ، أو يرد الدراهم التي أعطاها لابنه الأول ويأخذها منه ، وهذا الذي ذكرناه في غير النفقة الواجبة ، أما النفقة الواجبة فيعطي كلا منهم ما يستحق فلو قدر أن أحد أبنائه احتاج إلى الزواج ، وزوجه ودفع له المهر لأن الابن لا يستطيع دفع المهر فإنه في هذه الحال لا يلزم أن يعطي الآخرين مثل ما أعطى لهذا الذي احتاج إلى الزواج ودفع له المهر لأن التزويج من النفقة ، وأود أن أنبه على مسألة يفعلها بعض الناس جهلا ؛ يكون عنده أولاد قد بلغوا النكاح فيزوجهم ، ويكون عنده أولاد آخرون صغار ، فيوصي لهم بعد موته بمثل ما زوج به البالغين وهذا حرام لا يجوز لأن هذه الوصية تكون وصية لوارث والوصية لوارث محرمة لقوله صلى الله عليه وسلم : " إن الله أعطى كل ذي حق حقه فلا وصية لوارث " .{ أخرجه بهذا اللفظ أبوداود ( 3565 ) والترمذي ( 2 / 16 ) وغيرهما وحسن الألباني الإسناد بهذا اللفظ ، وصحح لفظ " لا وصية لوارث " في الإرواء ( 6 / 87 ) } فإن قال أوصيت لهم بهذا المال لأني قد زوجت إخوتهم بمثله فإننا نقول إن بلغ هؤلاء الصغار النكاح قبل أن تموت فزوجهم مثلما زوجت إخوتهم فإن لم يبلغوا فليس واجبا عليك أن تزوجهم . فتاوى إسلامية ( 3 / 30 )
Mafhumnya: “Tidak boleh bagi seseorang untuk melebihkan sebahagian anak berbanding sebahagian yang lain melainkan antara anak lelaki dan perempuan. Hal ini demikian kerana anak lelaki diberi sekali ganda lebih berbanding anak perempuan berdasarkan sabda Nabi SAW: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah dinatara anak-anakmu.” Sekiranya seseorang memberikan seratus dirham kepada salah seorang anaknya, maka wajib dia memberikan kepada anaknya yang lain seratus dirham juga dan kepada anak-anak perempuan lima puluh dirham. Atau dia ambil semula wang yang telah dia berikan kepada anaknya yang pertama tadi. Ini dalam persoalan pemberian yang tidak termasuk nafkah yang wajib. Adapun nafkah yang wajib, setiap anak diberi berdasarkan apa yang diberhak terima, sekiranya seseorang anak perlu berkahwin, kemudian dia kahwinkan anak tersebut dan membayar wang mahar perkahwinannya, disebabkan anaknya itu tidak mampu membayar sendiri wang mahar, maka dalam keadaan seperti ini bapa tadi tidak wajib memberi perkara yang sama kepada anak-anak yang lain seperti apa yang telah dia berikan kepada anaknya yang berhajat kepada perkahwinan ini. Demikian itu kerana perkahwinan termasuk di dalam nafkah…” (Fatwa Islamiah 3/30)
- Kebanyakan ulama berpandangan arahan berlaku adil ini termasuk juga dalam perkara yang bukan harta seperti berlaku adil peluang berbual, mendampingi dan seumpamanya. Sekiranya anak-anak masih kecil perlu juga berlaku adil dalam memberi ciuman dan seumpamanya.
- Tidal diwajibkan adil dalam bentuk perasaan sayang dan kecenderungan. Hal ini kerana adil dalam bentuk perasaan adalah suatu yang tidak mampu dilakukan. Namun wajib bagi ibu dan bapa menyembunyikan perasaan tersebut, kerana menzahirkannya akan menyebabkan permusuhan dan keburukan yang lebih besar.