Pembahagian nifaq kepada al-Nifaq al-Akbar dan al-Nifaq al-Asghar disebut oleh Ibn Rajab di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam 2/343, cetakan al-Risalah. Beliau menyebut:
Maksudnya: nifaq pada syarak terbahagi kepada dua: Pertama: al-Nifaq al-Akbar iaitulah seseorang insan menzahirkan keimanannya kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, para Rasul dan hari kiamat, dia pula menyembunyikan keyakinannya yang menyalahi semua yang dia zahirkan atau sebahagiannya. Inilah nifaq yang ada di zaman Rasulullah SAW. al-Quran diturunkan mencela orang-orang munafiq sebegini dan menghukum mereka sebagai kafir. al-Quran juga menyatakan mereka akan berada di dasar neraka (الدرك الأسفل من النار). Kedua: al-Nifaq al-Asghar atau Nifaq al-‘Amal iaitulah seseorang menzahirkan pada zahirnya sesuatu yang baik atau saleh dan menyembunyikan sesuatu yang menyalahi zahirnya itu.”
Pembahagian ini berbeza dengan sebahagian ulama seperti al-Imam al-Tirmizi, al-Imam Ibn al-‘Arabiy, al-Hafidz Ibn Kathir dan al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang membahagikan nifaq kepada nifaq I’tiqadiy yang menjadikan pemiliknya terkeluar daripada Islam dan nifaq amaliy tidak menjadikan orangnya terkeluar dari Islam. al-Imam al-Tirmizi memberi komentar kepada hadis:
أربع من كن فيه كان منافقاً
“empat perkara yang ada pada seseorang, maka dia seorang yang munafiq…”
kata beliau:
وإنما معنى هذا عند أهل العلم نفاق العمل، وإنما نفاق التكذيب على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم هكذا روي عن الحسن البصري شيئاً من هذا أنه قال: النفاق نفاقان، نفاق عمل ونفاق التكذيب
Maksudnya: “Hanya maksudnya di sisi para ulama ialah nifaq al-‘Amal. Nifaq al-Takzib adalah dimaksudkan kepada nifaq yang berlaku di zaman Rasulullah SAW. demikianlah yang diriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri semakna dengan ini, yang mana beliau berkata: nifaq itu ada dua, nifaq amal dan nifaq al-Takzib.”
Di dalam ‘Aridhah al-Ahwazi 10/100 dinyatakan:
“yang dimaksudkan dengan Nifaq al-Takzib ialah orang yang menzahirkan keimanan melalui lidah dan perbuatannya. Sedangkan hatinya mendustakannya sepertimana orang-orang munafiq di zaman Nabi SAW.”
Kata Ibn Kathir:
“al-Nifaq ialah menzahirkan kebaikan (keislaman) dan menyembunyikan kejahatan (kekufuran). Ada beberapa kumpulan: I’tiqadiy iaitulah orang yang akan kekal di dalam neraka (kerana ia dikira kufur) dan (satu lagi) ‘amaliy yang termasuk dalam dosa besar.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim: 1/47)
Apabila al-Quran menyebutkan ancaman kepada orang-orang kafir, maka termasuk di dalam ancaman itu nifaq akbar, kerana mereka pada hakikatnya adalah kufur dan tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman sama sekali. Apabila al-Quran menyebut ancaman kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafiq secara beriringan, maka yang dimaksudkan dengan orang-orang kafir tersebut ialah mereka yang menzahirkan kekufuran. Manakala orang-orang munafiq pula dimaksudkan kepada orang-orang kafir yang menyembunyikan kekufurannya dan menzahirkan keislaman dan keimanan. (Lihat al-Iman oleh Ibn Taimiyyah, hal.: 48-50)
Termasuk dalam kategori nifaq akbar ialah mereka yang menzahirkan keislaman dan keimanan, namun tidak beriman kepada sebahagian ajaran Islam seperti orang yang tidak meyakini akan wajibnya mentaati rasul SAW atau ada perasaan benci kepada baginda, benci dari membantu ajaran Islam dan bergembira apabila agama Islam ditohmah. Termasuk juga di dalam kategori ini ialah mereka yang memperlekeh dan merendah-rendahkan orang-orang yang beriman kerana mengamalkan tuntutan iman dan Islam. Golongan nifaq akbar ini berada di sepanjanag zaman.
Kalimah nifaq apabila diitlaqkan di dalam al-Quran maka ia memaksudkan nifaq akbar. Ia berbeza dengan kalimah kufur, di mana kadang-kala al-Quran memaksudkan kufur asghar (dosa besar), kadang-kala memaksudkan kufur akbar. Ia sama seperti penggunakan kalimah zalim, fasiq dan syirik di dalam al-Quran. Berbeza penggunaan kalimah nifaq di dalam al-Sunnah, di mana kadang-kala dimaksudkan kepada nifaq akbar dan kadang-kala dimaksudkan nifaq asghar.
Seorang munafiq selagi dia menzahirkan keislaman dan keimanan, maka dia pada zahirnya adalah seorang muslim. Terlaksana kepadanya hukum-hakam seorang muslim dan pada hukum dunia dia adalah seorang muslim. Ini kerana kita tidak diperintahkan membongkar apa yang ada di dalam hati seseorang kerana ia di luar kemampuan seorang manusia.
Adapun al-Nifaq al-‘Amaliy iaitulah orang-orang beriman yang memiliki ciri-ciri kemunafiqan seperti berbohong apabila berbicara, mungkir janji dan seumpamanya tidak termasuk di dalam ancaman kepada orang-orang kafir. Sebaliknya mereka tergolong dalam kalangan orang Islam yang derhaka. Merekalah yang disebutkan dengan nama nifaq dari sudut sikap yang sama dengan golongan munafiq. (Lihat al-Sarim al-Maslul ‘Ala Syatim al-Rasul oleh Ibn Taimiyyah RH, hal.: 35-36)
Nifaq dan Iman boleh bergabung di dalam hati seseorang. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah RH berdasarkan perkataan para sahabat dan salaf. Lalu beliau menukilkan perkataan Huzaifah RA yang mengatakan hati itu ada empat bahagian, salah satunya ialah hati yang memiliki iman dan nifaq (berdasarkan riwayat oleh Abu Nu‘aim di dalam Hilyah al-Awliya’ 1/276) Demikian juga berdasarkan perkataan ‘Ali Bin Abi Tolib yang menyatakan nifaq itu menzahirkan titik hitam pada hati. Apabila bertambah nifaq seseorang hamba, maka bertambah hitamlah hatinya. Sehinggalah apabila sempurna nifaq itu maka menjadi hitamlah seluruh hatinya. (Riwayat ‘Abdullah bin al-Mubarak di dalam al-Zuhd, hal.: 504. Ibn Athir juga menyebut riwayat ini di dalam al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis 4/271)
Pernyataan dari Huzaifah dan Ali RA ini terdapat bukti di dalam al-Quran iaitulah firman Allah SWT:
هُمۡ لِلۡكُفۡرِ يَوۡمَئِذٍ أَقۡرَبُ مِنۡهُمۡ لِلۡإِيمَٰنِۚ
“Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan." (Ali Imran: 167)
Menurut Ibn Taimiyyah RH, nifaq itu bercabang-cabang. Kadang-kala cabang-cabang nifaq itu bercampur dengan cabang-cabang iman. Sesiapa yang memiliki cabang iman yang paling rendah, dia tidak akan kekal di dalam neraka. Iman yang lemah menyebabkan seseorang terjebak ke dalam maksiat. Adapun sesiapa yang memiliki keikhlasan kepada Allah sebenar-benar ikhlas, dia akan dipelihara dari kemaksiatan (nifaq). (Lihat al-Iman, hal.: 261-263)