al-Iftirasy الافتراش

Dari sudut bahasa apabila dikatakan افْتِراشُ الشَّيْءِ  ia bermaksud: “membentangkannya (sesuatu).” Justeru jika seseorang membentangkan dua lengannya ke lantai, dikatakan perbuatannya itu sebagai: افْتَرَشَ ذِراعَيْهِ iaitulah dia membentangkan dua lengannya seperti hamparan untuknya.

Selain itu الافتراش juga boleh membawa maksud memijak dan duduk di atas hamparan, seperti ungkapan Arab: افْتِراشُ البِساطِ yang dimaksudkan perbuatan memijak dan duduk di atas hamparan.

            Arab juga mengungkapan perkataan: وافْتِراشُ المَرْأةِ dengan maksud “menjadikan wanita itu sebagai isteri.” Kerana itu dinamakan setiap seorang dari suami dan isteri itu adalah فِراشًا bagi pasangannya.

Para fuqahak memakruhkan iftirasy dua lengan bagi lelaki di dalam solat dengan maksud meletakkan dua lengan tangan di atas lantai ketika sujud, disebabkan terdapat hadis yang melarang seseorang menghamparkan dua lengannya di dalam solat seperti افْتِراشَ الكَلْبِ hamparan (lengan/kaki) anjing (ketika duduk). Mereka juga memakruhkan membentangkan jari-jari kaki (tidak dilipatkan ke arah kiblat) ketika sujud. Sebahagian mereka pula memakruhkan orang lelaki duduk dalam solat dengan dihamparkan dua kakinya dan duduk di atas dua tumit. Akan tetapi sunat seseorang duduk di atas kaki kiri yang dibentangkan dan menaikkan kaki kanannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 5/277-278)

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan duduk al-Iftirasyh adalah seseorang yang menunaikan solat duduk di atas buku lali kaki kirinya dan menaikkan kaki kanannya dengan dipacakkan jari-jari kaki kanannya.


Cetak