Takrifan Masjid

Masjid pada bahasa ialah:

i. Kata Ibn Manzhur المسجد dengan س dibaris fathah atau kasrah: “yang disujud padanya”. Kata al-Zajjaj: “Setiap tempat yang dilakukan ibadat padanya maka ia masjid.”

ii. Kata Sibawaih: “Adapun masjid, mereka menjadikan kata nama untuk bait (rumah)…”

iii. Kata Ibn al-‘Arabi: “Masjad adalah Mihrab al-Buyut. Musalla al-Jama’aat adalah masjid. al-Masajid adalah jama’nya.”

Berdasarkan pengertian yang diberikan oleh para ulama, dapat disimpulkan lafaz masjid dengan fathah Jim adalah Isim Makan dari kalimah سجد di bawah bab كتب مكتب dan سعى مسعى . Namun istilah Syar’ie menggunakan lafaz masjid dengan Jim dibaris kasrah seperti firman Allah:

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ

Maksudnya: “…Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (mesjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sholat di dalamnya…”(al-Taubah: 108)

Sebahagian  Arab pula meringankan sebutan pada tempat jim dengan ي, lalu disebut مسيَد (Tathqif al-Lisan wa Talqih al-Jinan oleh Ibn al-Makki)

Masjid pada istilah ialah:

i. Tempat yang disediakan untuk menunaikan solat lima waktu (المكان المهيَّأ للصلوات الخمس ). (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 37/194)

Namun takrifan ini terdedah kepada kritikan kerana tidak semua tempat yang disediakan untuk solat lima waktu itu masjid. Ia juga tidak diwakafkan kerana Allah Taala. Sedangkan mewakafkan tempat termasuk salah satu syarat sesuatu masjid berdasarkan ijmak. (Ahkam al-Waqh Fi al-Syari'ah al-Islamiyyah 70-71) 

Selain itu juga, Allah SWT telah menjadikan bumi ini sebagai tempat untuk menunaikan solat berdasarkan hadis Nabi SAW:

جعلت لي الأرض مسجداً وطهوراً

Maksudnya: “Dijadikan kepadaku muka bumi itu sebagai masjid dan alat bersuci.”

ii. Satu kawasan (بقعة ) dari permukaan bumi yang dijadikan untuk Allah Taala dan dikhususkan untuk solat (بقعة من الأرض جعلت لله تعالى وخصصت للصلاة) (al-Mughniy 4/464 dan Ahkam al-Sajid Fi Islam)

Takrifan ini juga dikritik kerana tidak dikhususkan untuk solat lima waktu. Maka ia akan menjadikan tempat solat hari raya, tempat solat jenazah yang diwakafkan sebagai masjid. Sedangkan masjid adalah disediakan untuk menunaikan solat lima waktu dan sah iktikaf di dalamnya berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: “… janganlah kamu menggauli mereka itu (para isteri), sedang kamu beri´tikaf di dalam masjid…” (al-Baqarah: 187)

iii. Di sisi ulama mazhab Hanafi dan al-Syafie, masjid ialah: “Tempat yang diwakafkan untuk menunaikan solat jamaah” (المكان الموقوف لأداء صلاة الجماعة ) ” (al-Bahr al-Ra-iq 5/268 dan Hasyiah Ibn 'Abidin 4/356)

Dr. Ibrahim bin Soleh al-Khudhairi mentarjihkan pengertian ini yang menjadikan sesuatu tempat itu dianggap masjid apabila ia diwakafkan dan untuk ditunaikan solat jamaah.


Cetak