Asbab al-Nuzul ialah perkara yang berlaku dan yang terjadi, dan dengan sebabnya turunnya satu ayat atau beberapa ayat atau satu surah dari al-Quran. Perkara tersebut sama ada satu peristiwa yang berlaku kepada seseorang individu atau kumpulan, sama ada perkara kecil mahun besar, atau kerana soalan yang dilontarkan kepada Nabi SAW, lalu turun beberapa ayat al-Quran bagi menjelaskan jawapan kepada soalan tersebut, atau ayat tersebut berkaitan dengan sesuatu peristiwa lalu ia memberi, mengarahkan umat Islam untuk melakukan sesuatu yang dikehendaki oleh Allah SWT. Justeru Asbab al-Nuzul boleh diertikan sebagai “Sesuatu yang menjadi sebab turunnya ayat al-Quran sama ada waktu terjadinya, atau kerana sesuatu peristiwa atau sesuatu persoalan.” Lihat al-Wajiz fi ‘Ulum al-Kitab al’Aziz oleh DR Muhammad Khazar al-Majaliy, Uni. Al-Urduniyyah. Cetakan Dar al-Tajdid li al-Tiba’ah wa al-Nasr wa al-Tarjamah. Cet: pertama 2003M.
Terdapat dua sighah periwayatan yang menunjukkan Asbab al-Nuzul atau tidak:
1) Pernyataan Jelas: iaitulah apabila periwayat menyatakan dengan jelas. Ia terbahagi kepada dua:
- Periwayat berkata: “Sebab turunnya ayat ialah….” Di sini disebut secara jelas sabab nuzul. Namun kategori ini jarang diketemui.
- Periwayat menyebut sesuatu peristiwa atau soalan yang dilontarkan seterusnya menyebut huruf “ف Ta’qibiyyah iaitulah huruf yang menunjukkan berturutan, yang boleh diterjemahkan sebagai "lalu", seperti periwayat berkata: “Berlaku sesuatu peristiwa, lalu Allah menurunkan ayat…” atau: “Baginda SAW ditanya dengan satu soalan, lalu turun ayat….”
2) Pernyataan yang memiliki andaian: seperti seorang periwayat berkata: “Ayat ini diturunkan sempenan peristiwa berikut…” ibarat seperti ini boleh membawa maksud sabab nuzul, atau ayat mengandungi hukum tersebut atau ia merupakah tafsir kepada ayat.