Nabi Adam AS آدم

Dinamakan baginda sebagai Adam kerana baginda diciptakan daripada أديم الأرض iaitulah permukaan bumi. Dikatakan juga dinamakan sebagai Adam dari sudut آدم اللون iaitulah baginda berkulit pertengahan antara putih dan hitam (warna tanah). Lihat Tafsir al-Baghawi. Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan baginda telah diajarkan nama-nama semua benda. Ia membawa maksud diajarkan kepada baginda nama setiap sesuatu. Inilah pandangan yang dipilih oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim, beliau berkata: “dan yang sahihnya ialah Allah telah  mengajarkan kepada baginda nama-nama setiap sesuatu kesemuanya.”

Firman Allah SWT: 

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: "Dan Dia mengajarkan kepada Adam Nama-nama (benda-benda) seluruhnya kemudian mengemukakannya kepada Para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!" (al-Baqarah: 31)

Ayat ini menceritakan tentang kelebihan Nabi Adam AS berbanding para malaikat, di mana Allah SWT telah melebihkan baginda dapat mengetahui nama-nama setiap sesuatuKerana itulah Allah SWT memilih Adam untuk menjadi khalifah di muka bumi. Dialog ini berlaku setelah Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepada baginda. Ketikamana para malaikat bertanyakan sebab pemilihan itu, Allah SWT befirman sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang tidak mereka ketahui. Ayat ini juga menunjukkan kemuliaan Adam dengan dilebihkan kepadanya ilmu pengetahuan.

Allah SWT berfirman: 

قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئْهُم بِأَسْمَآئِهِمْ ۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسْمَآئِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّىٓ أَعْلَمُ غَيْبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

Maksudnya: "“Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka Nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka Nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa Sesungguhnya aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?(al-Baqarah: 33) 

Setelah Adam AS menyebut nama-nama yang diajarkan kepadanya, maka terserlahlah kelebihan baginda berbanding para malaikat keseluruhannya. Setelah itu Allah mempersoalankan kepada para malaikan bukankah Dia Maha Mengetahui atas setiap perkara sama ada yang nyata mahupun yang tersembunyia. Maka sudah tentu Dia juga Yang Maha Mengetahui sebab pemilihan Adam untuk menjadi khalifah di muka bumi.

 


Cetak