Perbezaan Antara 'Arafah (عرفة) Dengan ‘Arafat (عرفات)

Arafah (عرفة) atau ‘Arafat (عرفات). Jika disebut يوم عرفة ia memaksudkan kepada Hari ‘Arafah iaitulah 9 Zulhijjah. Manakala عرفة dan عرفات merujuk kepada tempat jemaah haji pada hari 9 Zulhijjah. Kedudukannya sekitar 23 KM sebelah timur Mekah. (Lihat al-Qamus al-Muhith 1/836 oleh Fairuzabadi dan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 30/61)

          Terdapat beberapa pandangan ulama tentang perbezaan antara ‘Arafah (عرفة) dan ‘Arafat (عرفات). Ada yang berpandangan kedua-duanya membawa maksud yang sama, merujuk kepada nama tempat untuk melaksanakan wukuf yang merupakan salah satu rukun haji. Ada juga yang berpandangan ‘Arafat (عرفاتmerujuk kepada bukit-bukit dan tempat-tempat untuk melaksanakan wukuf sahaja. Manakala ‘Arafah (عرفة) pula bukanlah kata nama kepada tempat melaksanakan wukuf, sebaliknya ia memaksudkan kepada hari wukuf di ‘Arafat. Dalam kalangan ulama ada juga yang mengatakan ‘Arafat (عرفات) adalah kata nama yang menggunakan lafaz plural yang tiada lagi lafaz plural untuknya. Ada juga yang menyatakan ‘Arafat (عرفاتadalah kata plural untuk ‘Arafah (عرفة) yang merujuk kepada setiap tempat di bumi ‘Arafah. Ada juga yang mengatakan ia adalah kata nama plural kepada suatu yang tunggal. (Lihat al-Sihah 4/1401-1402)

          Para ulama juga berbeza pandangan kenapa kawasan ini dinamakan ‘Arafah (عرفة), antara pandangan tersebut ialah:

[1] Di sinilah tempat pertemuan antara Adam dan Hawwa setelah diturunkan ke bumi dari syurga.

[2] Ketika Jibril AS mengajar Nabi Ibrahim AS manasik haji. Jibril sering berkata kepada Nabi Ibrahim: أعَرَفْتَ أعَرَفْتَ؟ maksudnya: “Apakah kamu sudah tahu, apakah kamu sudah tahu?” Lalu Nabi Ibrahim menjawab: عَرَفْتُ عَرَفْتُ bermaksud: “Aku tahu, aku tahu.”

[3] Penamaan ini diambil dari kalimah العَرْفُ yang bermaksud wangian (الطيب), sempena tempat tersebut adalah tempat yang disuci, dimulia dan diagungkan. Lalu dinamakan ‘Arafah bagi menunjukkan seolah-oleh ia satu tempat yang diwangikan.

[4] Sempena tempat yang menjadikan para hamba mengenal tuhan mereka, Allah yang Maha Agung dengan melaksanakan ibadat dan berdoa kepada-Nya. (Lihat al-Mufradat hal: 561 oleh al-Raghib dan Tafsir al-Qurtubi 2/415)


Cetak