Makna الْغِبْطَةُ

Al-Ghibthah (الْغِبْطَةُ) adalah keinginan seseorang untuk memiliki nikmat seperti yang dimiliki orang lain, tanpa mengharapkan nikmat itu hilang daripada orang tersebut. Ia adalah sesuatu yang dibenarkan. Antara contohnya ialah keinginan untuk meniru orang lain dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

لا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ : رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الحِكْمَةَ، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا، وَيُعَلِّمُهَا

"Tidak ada hasad (yang dibenarkan) kecuali dalam dua perkara: seorang lelaki yang diberikan harta oleh Allah, lalu dia membelanjakannya pada jalan yang benar, dan seorang lelaki yang diberikan hikmah oleh Allah, lalu dia mengamalkannya serta mengajarkannya kepada orang lain." (Riwayat al-Bukhari, hadis no. 73)

Para ulama menyatakan bahawa dalam hadis ini, Ghibtah disebut sebagai "hasad" secara kiasan.

Rujukan:

  • al-Dzakhirah oleh al-Qarafi (13/250)
  • Majmu' al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah (10/112)
  • al-Insaf oleh al-Mardawi (5/332).

Ghibthah Dari Sudut Bahasa

Ghibthah bermaksud “berkeadaan baik” (حُسْنُ الـحَالِ) dan berterusan dalam kebaikan (دَوامُ الـخَيْرِ). Dikatakan dalam Bahasa ‘Arab: فُلانٌ في غِبْطَةٍ "Fulan itu berada dalam ghibthah," yang bermaksud dia berada dalam nikmat dan dalam keadaan baik. Ia juga digunakan dengan maksud; mengharapkan (seperti) keadaan seseorang, dalam masa yang sama keadaan baik seseorang itu berkekalan bersamanya. Dikatakan juga, al-Ghibthah adalah sama dengan hasad. Namun ia khas untuk hasad yang tidak dikeji. Seperti perkataan orang ‘Arab: غَبَطْتُهُ، أَغْبِطُهُ، غَبْطاً وغِبْطَةً , bermaksud; Aku mengharapkan apa-apa yang diperolehi oleh orang itu, tanpa aku inginkan hilang darinya apa yang diperolehinya. Al-Ghibthah dari kata الغَبْط yang bermaksud berterusan dan berpanjangan (الدَّوامُ واللُّزُومُ).

Penggunaan Kalimah al-Ghibthah

Ghibthah digunakan dalam beberapa konteks. Antaranya dalam Kitab al-Buyu’: Bab al-Syarikah  (كِتابُ البُيوعِ: باب: الشَّرِكَة),  juga dalam Kitab al-Wakalah: Bab Syurut al-Wakalah (كِتابُ الوَكالَةِ، باب: شُروط الوَكالَة), juga dalam Kitab al-Nikah: Bab al-Wilayah (كِتاب النِّكاح، باب: الوِلايَة), yang dimaksudkan kepada sesuatu yang terbaik (الأصْلَح), paling bermanfaat (الأنْفَع) dan yang lebih memberikan kebaikan (الأحَظّ في الأشْياءِ). Contoh penggunaannya seperti ayat: لِلْوَلِيِّ أن يَبِيعَ عَقارَ مُوَلِّيهِ إن كان لَهُ فِيهِ غِبْطَةٌ maksudnya: Wali dibenarkan menjual harta (seperti tanah atau bangunan) milik orang yang berada di bawah jagaannya jika terdapat "ghibthah" dalam tindakan tersebut. Iaitulah manfaat, maslahah atau kebaikan yang jelas untuk orang yang dibawah jagaannya itu.

 


Cetak