Sifat Fizikal Rasulullah SAW (3)

al-Bara bin ‘Azib (البراء بن عازب) RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , رَجُلاً مَرْبُوعًا , بَعِيدَ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ ، عَظِيمَ الْجُمَّةِ إِلَى شَحْمَةِ أُذُنَيْهِ الْيُسْرَى ، عَلَيْهِ حُلَّةٌ حَمْرَاءُ ، مَا رَأَيْتُ شَيْئًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang pertengahan (tidak terlalu tinggi dan rendah), lebar antara dua bahu, hujung rambut sampai ke hujung dua telinga. Baginda memakai baju dan kain berwarna merah. Tidak pernah sama sekali aku (al-Barra’ bin ‘Azib) melihat sesuatu yang lebih indah berbanding baginda.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Makna Ungkapan Dan Perkataan

  • Ungkapan رَجُلاً مَرْبُوعًا ia sama dengan riwayat daripada Anas bin Malik sebelum ini iaitulah: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَبْعَةً iaitulah pertengahan tinggi, bukan tinggi yang keterlaluan, bukan juga rendah. Ungkapan ini bertujuan memberi gambaran, namun bukti-bukti yang ada menunjukkan baginda SAW lebih hampir kepada tinggi berbanding rendah.[1] Namun al-Albani di dalam Mukhtasar al-Syama’il al-Muhammadiyyah membariskan رَجِلاً مَرْبُوعًا dengan kasrah huruf ‘JIM’. Di bahagian komentar beliau menyebut: Ia adalah sifat bagi rambut baginda.[2] Ia bermaksud baginda memiliki rambut yang pertengahan panjang.
  • Manakala ungkapan بَعِيدَ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ, dimana kalimahبَعِيدَ diriwayatkan dengan Mukabbarah (sesuatu yang menunjukkan jauh) iaitulah بَعِيْدَ dan Musaghgharah (sesuatu yang menunjukkan jauh sedikit) iaitulah بُعَيْدَ.
  • Ungkapan عَظِيمَ الْجُمَّةِ إِلَى شَحْمَةِ أُذُنَيْهِ pula menerangkan panjang rambut baginda. Terdapat 3 ciri yang dinyatakan:
  • الْجُمَّةِ Iaitulah panjang rambut yang terletak di atas bahu.
  • الوَفرة Iaitulah apa-apa (rambut) yang sampai hingga ke cuping bawah telinga.
  • اللِّمة iaitulah panjang rambut yang melepasi cuping bawah telinga, sama ada sampai menyentuh bahu ataupun tidak.
  • al-Syeikh ‘Abdul Razak ‘Abdul Muhsin al-Badr berpandangan di dalam hadis ini dinyatakan baginda memakai pakaian berwarna merah. Sedangkan terdapat larangan memakai pakaian berwarna merah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Barra bin ‘Azib:

نهانا النبي صلى الله عليه وسلم عن المَيَاثِرِ الْحُمْرِ

Maksudnya:  “Nabi SAW pernah melarang kami dari hamparan berwarna merah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ulama berpandangan larangan ini membawa maksud larangan memakai pakaian yang benar-benar berwarna merah. Namun jika warna merah bercampur dengan warna lain seperti warna putih, hitam dan seumpamanya maka tidak termasuk di dalam larangan.[3] Pandangan beliau ini sama seperti yang dijelaskan oleh al-Imam al-Nawawi dan al-Mubarakfuri.

  • Ungkapan مَا رَأَيْتُ شَيْئًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ dimana al-Barra’ menyebut مَا رَأَيْتُ شَيْئًا yang bermaksud: “Tidak pernah aku melihat sesuatu.” Beliau tidak menyatakan: “Tidak pernah aku melihat seseorang.” Ungkapan ini bertujuan memasukkan setiap sesuatu termasuk selain manusia yang beliau penah lihat seperti bulan, matahari dan selainnya yang terdiri dari perkara-perkara yang memiliki kecantikan. Ungkapan ini menunjukkan kesempurnaan ciptaan, kecantikan dan keindahan rupa dikurniakan oleh Allah SWt kepada baginda SAW. Nanti akan muatkan juga perkataan ‘Ali bin Abi Tolib tentang keindahan baginda. 

 

[1] Lihat Syarh Syama’il al-Nabiy SAW oleh al-Syeikh ‘Abdul Razzaq bin ‘Abdul Muhsin al-Badr. hal. 23

[2] Halaman: 14

[3] Lihat Syarh Syama’il al-Nabiy SAW, hal. 24


Cetak  
Wallahu a'lam