Sifat Fizikal Rasulullah SAW (4)

Daripada al-Bara bin ‘Azib RA katanya:

 مَا رَأَيْتُ مِنْ ذِي لِمَّةٍ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ أَحْسَنَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ ، لَهُ شَعْرٌ يَضْرِبُ مَنْكِبَيْهِ ، بَعِيدُ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ ، لَمْ يَكُنْ بِالْقَصِيرِ , وَلا بِالطَّوِيلِ 

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat seseorang memiliki rambut melepasi dua cuping telinga[1], berpakaian Hullah kemerahan[2] yang lebih indah berbanding Rasulullah, baginda memiliki rambut yang menyentuh dua bahu, jauh jarak dua bahu baginda. Baginda bukan seorang yang rendah, bukan juga seorang yang terlalu tinggi.” (HR al-Bukhari dan Muslim. al-Tirmizi juga di dalam kitab Jami’nya)

------------------ 

[1] Rambut melepasi cuping telinga dinamakan لِمَّة seperti yang terdapat di dalam hadis. Dinamakan dengan لِمَّة kerana ia hampir menyentuh dua bahu seperti yang dijelaskan oleh al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim dan al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi. Al-Imam al-Nawawi juga setelah menyenaraikan kepelbagaian lafaz hadis yang menceritakan keadaan rambut baginda, dimana ada yang menyebut melepasi dua cuping telinga. Ada pula yang menyebut sehingga menyentuh dua bahu baginda. Ada juga yang menyebut sehingga pertengahan telinga dan ada juga yang menyebut antara telinga dan bahu, beliau (al-Nawawi) berkata: “Dikatakan bahkan (kepelbagaian riwayat ini berlaku) disebabkan berbezanya waktu. Dimana apabila baginda terlewat memendekkan rambut sehingga sampai ke bahu baginda. Apabila baginda memendekkannya sehingga sampai ke pertengahan dua telinga baginda. Baginda memendekkan dan memanjangkan rambut dalam kadar sedemikian.”

[2] Hullah حُلَّةٍ ialah kain dan selendang. Al-Mubarakfuri  menyebut di dalam Tuhfah al-Ahwazi: “Ibn al-Humam berkata: “al-Hullah al-Hamraa’ الحلة الحمراء ialah dua baju dari Yaman, terdapat padanya garisan-garisan berwarna merah dan hijau bukan hanya berwarna merah sahaja.” Kata Ibn al-Qayyim pula: “Tersilap orang yang menyangka bahawa ia adalah kain merah semata-mata yang tidak bercampur dengan warna yang lain. Sebaliknya al-Hullah al-Hamraa’ ialah dua burdah Yaman yang ditenun dengan garisan-garisan berwarna merah bersama warna hitam seperti semua kain burdah Yaman yang dikenali dengan nama ini sebagai mengambil kira garisan-garisan berwarna yang ada padanya…”


Cetak  
Wallahu a'lam