Sifat Fizikal Rasulullah SAW (5)

Daripada ‘Ali bin Abi Tolib katanya:

لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ , وَلا بِالْقَصِيرِ ، شَثْنُ الْكَفَّيْنِ وَالْقَدَمَيْنِ ، ضَخْمُ الرَّأْسِ ، ضَخْمُ الْكَرَادِيسِ ، طَوِيلُ الْمَسْرُبَةِ ، إِذَا مَشَى تَكَفَّأَ تَكَفُّؤًا , كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ مِنْ صَبَبٍ ، لَمْ أَرَ قَبْلَهُ , وَلا بَعْدَهُ مِثْلَهُ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Tidaklah baginda Nabi SAW itu terlalu tinggi, tidak juga rendah,[1] dua bahu dan dua kaki baginda agak berisi, kepala yang kuat,[2] tulang-tulang sendi[3] yang kuat, panjang bulu-bulu roma halus yang terbentang antara dada dan pusat baginda, apabila baginda berjalan condong ke hadapan, seperti sedang menuruni jalan menurun, belum pernah aku melihat seorangpun seperti baginda sebelum dan selepas baginda SAW.”  (HR al-Tirmizi. Dan katanya: “Hadis ini Hasan Sahih.” Di sahihkan juga oleh al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi. Al-Albani menyatakan hadis ini lemah sanadnya. Akan tetapi terdapat jalan-jalan periwayatan lain yang saling menguatkan seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Sa’d di dalam al-Tabaqaat. Manakala ungkapan شَثْنُ الْكَفَّيْنِ وَالْقَدَمَيْنِ dan yang akhir terdapat di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, hadis dari Anas)

Makna Ungkapan Dan Perkataan

  • Ungkapam لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالطَّوِيلِ , وَلا بِالْقَصِيرِ bermaksud sederhana tinggi. Sifat ini suatu yang disepakati oleh ramai dari kalangan sahabat yang mensifatkan ketinggian baginda SAW.
  • Ungkapan شَثْنُ الْكَفَّيْنِ وَالْقَدَمَيْنِ bermaksud: “Dua bahu dan dua kaki berisi.” Kalimah شَثْنُ juga bermaksud jari-jemari dan telapak tangan.[4] Namun ia tidaklah bermakna jari-jemari baginda besar dan kasar. Kerana Anas bin Malik RA pernah mensifatkan tangan baginda SAW dengan menyebut:

وَلَا مَسَسْتُ خَزًّا وَلَا حَرِيرًا وَلَا شَيْئًا كَانَ أَلْيَنَ مِنْ كَفِّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Dan tidaklah pernah daku menyentuh pakaian, mahupun sutera, mahupun sesuatu lain yang lebih lembut dari telapak tangan Rasulullah SAW.” (HR al-Tirmizi dan katanya Hadis Hasan Sahih). Hadis ini menunjukkan tangan baginda adalah lebih lembut dari sutera.

  • Manakala ungkapan ضَخْمُ الْكَرَادِيسِ diterjemahkan: “Tulang-tulang sendi yang kuat.” Ini kerana kalimah الْكَرَادِيسِ ialah penghujung atau bucu tulang. Dalam sebahagian riwayat dinyatakan sebagai جَلِيْل اْلمُشَاش membawa maksud yang sama iaitulah hujung tulang. Ada juga yang berpandangan الْكَرَادِيسِ bermaksud tempat berhimpun tulang, iaitulah sendi-sendi yang menjadi tempat berhimpun tulang.

Ungkapan شَثْنُ الْكَفَّيْنِ وَالْقَدَمَيْنِ ، ضَخْمُ الرَّأْسِ ، ضَخْمُ الْكَرَادِيسِ memaksudkan kekuatan binaan. Dimana Allah SWT telah memberikan kepada baginda tubuh badan yang gagah dan perkasa.

  • Ungkapan طَوِيلُ الْمَسْرُبَةِ dimana kalimah الْمَسْرُبَةِ bermaksud rambut atau bulu roma yang terbentang dari dada ke pusat yang dimiliki oleh baginda SAW. Ia adalah bulu roma halus yang bermula dari kawasan dada hingga ke pusat.
  • Ungkapan كَأَنَّمَا يَنْحَطُّ مِنْ صَبَبٍ dimana kalimah الصَبَبٍ bermaksud kawasan tanah yang merendah. Ia memberi maksud baginda SAW apabila berjalan seperti sedang berjalan menuruni kawasan rendah, menunjukkan kepantasan dan kecergasan.

------------------- 

[1] Perkara ini dinyatakan oleh setiap sahabat yang mensifatkan Nabi SAW.

[2] Diterjemahkan kepada kepala yang kuat kerana berdasarkan huraian beberapa ulama yang menyatakan ia menunjukkan kehebatan kepimpinan baginda dan kesempurnaan kekuatan pemikiran. Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, demikian juga Jam’ al-Rasa’il fi Syarh al-Syama’il.

[3] Seperti dua lutut, dua bahu dan dua siku.

[4] Lihat Mukhtasar al-Syamail al-Muhammadiyyah. hal. 15.


Cetak  
Wallahu a'lam