Hadis Tentang Nikah Dan Syarah (1)

KITAB AL-NIKAH[1]

994 – Daripada ‘Abdillah bin Mas’ud RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai sekelian pemuda, sesiapa dari kalangan kamu yang berkemampuan al-Ba’ah, maka hendaklah dia berkahwin, kerana berkahwin itu lebih dapat menundukkan penglihatan dan lebih dapat memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu baginya dapat bertindak sebagai perisai.” [2]

HURAIAN:

Nabi SAW mengarahkan bicara baginda kepada golongan pemuda kerana pada kebiasaannya mereka adalah golongan yang berdepan dengan kekuatan keinginan kepada wanita berbeza dengan orang tua. Yang dinamakan pemuda iaitulah mereka yang telah baligh dan belum melepasi 30 tahun.[3]

Kalimah al-Ba’ah (الْبَاءَةَ) pada asalya bermaksud al-Jima’ (persetubuhan) diambil dari perkataan الْمَبَاءَةِ yang bermaksud (الْمَنْزِلُ) rumah. Orang Arab menyebut مَبَاءَةُ الْإِبِلِ bermaksud tempat tinggal unta. Lama-kelamaan ia digunakan bagi maksud ‘Akad Nikah, kerana seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita, dia sepatutnya menyediakan rumah untuk isterinya. Para ulama berbeza pandangan apakah yang dimaksudkan oleh baginda SAW dengan al-Ba’ah di dalam hadis ini. Terdapat dua pandangan, yang kembali kepada makna  yang satu [4]:

  • Yang dimaksudkan di sini adalah dari sudut bahasa iaitulah jima’. Maka jadilah hadis itu memaksudkan: “Sesiapa dari kalangan kamu semua (para pemuda) yang mampu berjima’ disebabkan mampu memikul tanggungan perkahwinan (مُؤَنُ النِّكَاحِ) iaitulah bebanan dan nafkah perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin. Sesiapa yang tiada kemampuan jima’ disebabkan tiada kemampuan untuk menanggung perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa untuk menyekat syahwatnya.”
  • Yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan memikul tanggungan perkahwinan.[5] Maka jadilah hadis itu memaksudkan: “Sesiapa dari kalangan kamu semua (para pemuda) yang mampu memikul tanggungan perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin…” Hal ini berdasarkan ungkapan yang melengkapkan hadis tersebut iaitulah: “sesiapa yang tiada kemampuan tersebut maka hendalah dia berpuasa.” Kata para ulama yang menyebut pandangan ini: “Orang yang lemah dari melakukan jima’ tidak memerlukan puasa untuk menolak syahwatnya, justeru wajib menafsirkan kalimah al-Ba’ah dengan maksud tanggungan perkahwinan (مُؤَنُ النِّكَاحِ).”

Manakala al-Wijaa’ (الوِجَاء) bermaksud memecahkan urat-urat dua telur anggota peranakan lekai (رَضُّ الْخُصْيَتَيْنِ). Ia memaksudkan puasa itu mampu memecahkan keinginan syahwat kepada wanita.

Majoriti ulama berpandangan arahan berkahwin dari baginda SAW kepada para pemuda di dalam hadis ini berbentuk arahan sunat[6], kerana berdalilkan dengan firman Allah SWT yang memberi pilihan antara berkahwin ataupun memiliki hamba sahaya di dalam firmanNya:

Maksudnya: “…maka (berkahwinlah dengan) seorang wanita sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki…”[7]

Bentuk penghujahannya ialah, dimana memiliki hamba sahaya bukanlah satu kewajipan yang telah ijma’ di kalangan ulama. Justeru sudah tentu berkahwin juga bukan suatu yang wajib, kerana tidak mungkin diberi pilihan antara perkara wajib dan tidak wajib.

Namun pandangan yang lebih rajih, nikah atau berkahwin itu wajib dengan 2 syarat:

  • Memiliki Syahwat (keinginan) berkahwin.
  • Memiliki kemampuan menanggung perkahwinan[8].

Hukum wajib ini berdasarkan ia adalah arahan dari Nabi SAW (الأمر للوجوب). Inilah juga pandangan Daud al-Zahiri, Ibn Hazm dan salah satu riwayat dari al-Imam Ahmad bin Hambal. al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Fath mendakwa ini juga merupakan pandangan أَبُو عَوَانَةَ الْإِسْفَرَايِينِيُّ dari mazhab al-Syafie.

Manakala arahan baginda agar berpuasa pula kerana ia dapat menyempitkan saluran darah, lalu berperanan melemahkan nafsu syahwat. Inilah juga rahsia yang Allah jadikan dari ibadah puasa. Kerana sewajarnya seorang yang berpuasa merasai dia diarahkan berpuasa, lalu dia berusaha menjauhkan diri dari sebab-sebab yang boleh menyemarakkan nafsu syahwatnya yang akan merosak atau mencacatkan pahala puasanya.

Hadis ini juga menjadi dalil akan keharusan berubat untuk mengurangkan nafsu syahwat. Namun ubat tersebut mestilah hanya berfungsi menenangkan keinginan nafsu syahwat bukan menghilangkannya terus. Hal ini kerana terdapat banyak hadis yang berbentuk dorongan kepada perkahwinan, antaranya dari Abi Umamah RA, Nabi SAW bersabda:

تَزَوَّجُوا ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ ، وَلَا تَكُونُوا كَرَهْبَانِيَّةِ النَّصَارَى 

Maksudnya: “Berkahwinlah kamu semua, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan banyaknya kamu semua berbanding umat lain, dan jangan kamu menjadi seperti rahbaniyyah Nasara (Kristian).” (HR al-Baihaqi)

Demikian juga hadis daripada Ibn ‘Abbas RA:

لَا صَرُورَةَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Tiada membujang di dalam Islam.” (HR Ahmad dan Abu Daud. dinilai Sahih oleh al-Hakim)[9]

-------------------- 

[1] Al-Nikah (النكاح) pada bahasa bermaksud himpunan dan campuran. Boleh digunakan dengan maksud persetubuhan dan boleh juga bermaksud ‘Akad. Namun kebanyakan penggunaannya dimaksud kepada ‘Akad kerana lafaz ini tidak terdapat di dalam al-Quran melainkan dengan maksud ‘Akad.

[2] Al-Bukhari 1905, Muslim 1400

[3] Lihat Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi dan Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-‘Asqalani.

[4] Lihat Syarh Sahih  Muslim oleh al-Nawawi

[5] Inilah juga pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Lihat al-Fatawa al-Kubra 3/134.

[6] Al-Nawawi  berkata di dalam Syarh Sahih Muslim: لَكِنَّهُ عِنْدَنَا وَعِنْدَ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً أَمْرُ نَدْبٍ لَا إِيجَابَ maksudnya: “Akan tetapi di sisi kami dan di sisi kekeluruhan ulama (ia) arahan sunat bukan wajib.”

[7] Potongan dari ayat ke-3 dalam surah al-Nisaa’

[8] Al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah al-Rajihi di dalam al-Ifham fi Syarh Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, jilid: 2, halaman: 135.

[9] Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani setelah menyertakan hadis-hadis ini di dalam Fath al-Bari, beliau menyebut: “Hadis-hadis ini sekalipun kebanyakannya lemah, namun himpunannya menunjukkan dapat diketahui maksudnya yang merupakan galakan berkahwin pada asalnya.”


Cetak  
Wallahu a'lam